Arkib Tag: md helicopters

Enam helikopter MD 530G Tentera Darat selamat tiba ke tanah air

ENAM buah helikopter MD 530G milik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) selamat tiba di Malaysia. Kesemua aset tersebut tiba ke negara ini melalui jalan laut pada hujung minggu lalu.

Menurut sumber Air Times News Network, keenam-enam kontena yang mengandungi MD 530G telah pun dikeluarkan dari kawasan pelabuhan dan ditempatkan di sebuah hangar milik syarikat tempatan.

Sumber: Defence Security Asia

“Kesemua helikopter tersebut telah dibawa dari sebuah pelabuhan di pantai barat Amerika Syarikat dengan menggunakan sebuah kapal kontena,” kata sumber itu kepada Air Times.

“Pelayaran tersebut berjalan selama 5 minggu sebelum tiba di Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan Majlis Penyerahan MD 530G akan diadakan pada minggu hadapan.

Sumber: Asian Defence Journal

“Pelancaran mungkin akan dijalankan sebelum sambutan Hari Tentera Darat Malaysia,” katanya.

Tentera Darat Malaysia akan menyambut Hari Ulang Tahun ke-89 pada 1 Mac nanti.

Pada Januari lalu, syarikat MD Helicopters, Inc. (MDHI) mengesahkan kesemua MD 530G telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui firma Halaman Optima/ Destini Prima.

MDHI juga mengesahkan seramai lapan juruterbang dan sembilan mekanik dari Tentera Darat Malaysia telah selesai menjalani latihan di Texas.

Perolehan MD 530G menjadi tumpuan umum berikutan kelewatan penerimaan aset tersebut dari AS. Pembelian kesemua pesawat terbabit adalah bernilai RM300 juta pada tahun 2015 dan sepatutnya diterima pada sekitar 2017-2018.

MDHI serah enam MD 530G kepada Kementerian Pertahanan Malaysia

MD Helicopters, Inc. (MDHI) mengumumkan penerimaan awal enam unit helikopter MD 530G Light Scout Attack untuk Kementerian Pertahanan Malaysia melalui agen mereka Halaman Utama/Destini Prima.

Pesawat-pesawat itu kini dalam transit ke Malaysia untuk penerimaan akhir dan dijangka tiba ke sini menjelang penghujung suku pertama 2022.

Sumber: MDHI

Lapan juruterbang dan enam mekanik dari Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darata telah menyempurnakan operasi pemasangan senjata dan pengisian bahan api (FARP) di Texas Barat, Amerika Syarikat (AS).

Naib presiden senior Destini Prima, Ek Sing Nguong, Lt Kol TUDM (Bersara) berkata: “Kami sangat berbesar hati menerima penyerahan pesawat berkebolehan di MD Helicopters bagi pihak Kementerian Pertahanan Malaysia.”

“Ia sangat mengujakan untuk membawa program ini ke peringkat seterusnya. Kami tidak sabar menunggu ketibaan aset-aset ini di Kuala Lumpur untuk menyempurnakan latihan penerimaan akhir,” katanya.

Sumber: MDHI

530G ialah versi terkini untuk pelbagai jenis konfigurasi helikopter penyerang ringan berdasarkan Model 500/530.

MD 530G untuk Malaysia terus menaikkan penanda aras prestasi dengan integrase pengesan Wescam L3 MX10D dan sistem persenjataan Pathfinder Ares dari Tek Fusion.

Sistem-sistem ini digunakan untuk menyokong mesingan mini Dillion M134, mesingan berat dan pod roket FN Herstal, serta roket 2.75-inci jenis ‘folding-fin’.

Pesawat ini berupaya melaksanakan bantuan rapat siang atau malam serta berkebolehan melakukan tinjauan yang baik.

Naib presiden program dari MDHI, Duncan Koerbel mengulas, “530G meneruskan sejarah panjang platform penyerang ringan MDHI. Pesawat ini memberikan nilai dan prestasi terbaik dalam kelasnya.”

Tambah Koerbel, “Ia mudah diselenggara, sangat lincah, dan dengan lebih 27 juta jam penerbangan, sedia untuk misinya.

“MDHI berbesar hati membantu kerajaan Malaysia mempertahankan keselamatan darat dan maritimnya.”