Arkib Tag: Mazlan Lazim

Mazlan: 82 peratus kenderaan Polis Kontijen Negeri Sembilan lebih usia

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan 82 peratus daripada 827 kenderaan milik Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah melebihi had usia penggunaan.

Mazlan berkata, aset berkenaan akan digantikan mengikut kemampuan bajet diperuntukkan kerajaan dari masa ke masa.

Jelasnya, kenderaan terbabit bagaimanapun masih dapat digunakan susulan penyeliaan dan penyelenggaraan mengikut jadual.

“Itu sebabnya kita masih lagi dapat menggunakan kenderaan itu, dari masa ke masa kita akan gantikan kenderaan tersebut dalammelaksanakan tanggungjawab.

“Kita yakin bahawa kenderaan yang ada di kontinjen ini masih dapat digunakan dan kita dapat selenggara dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program penyerahan kenderaan pasukan kepada ketua polis daerah dalam kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan pengurusan aset berusia itu melibatkan kos tinggi dan bukan suatu yang mudah untuk ditangani.

Sebanyak 25 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan van Go Auto Higer Ace diserahkan kepada kontinjen Negeri Sembilan.

Ia adalah keseluruhan daripada 640 unit yang diedarkan di seluruh negara melibatkan kos RM108 juta bagi kegunaan penugasan anggota polis.

PDRM terima 400 Toyota GS Cargo, kontijen Selangor dapat paling banyak

POLIS Selangor menerima 35 unit kenderaan baharu pacuan empat roda model Toyota Hilux Single CAB 2.4 jenis GS Cargo (4WD GS Cargo).

Perolehan kenderaan baharu itu bertujuan melancarkan pergerakan anggota polis dalam menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kenderaan itu mampu memuatkan 10 anggota untuk sekali penugasan.

Tambahnya, Selangor menerima kenderaan baharu terbanyak berbanding kontijen lain seluruh negara.

“Kita buat (perolehan) 400 pacuan empat roda GS Cargo merangkumi semua kontinjen.

“Untuk kontinjen Selangor kita bekalkan lebih sebanyak 35 buah kerana ia kontinjen yang besar dan mempunyai daerah yang banyak.

“Dalam tempoh dua minggu lagi insya-Allah serahan kenderaan pacuan empat roda GS Cargo ini akan dilakukan di Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.

Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 25 Jun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Mazlan ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Mazlan berkata kenderaan baharu itu sesuai bagi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) dan light strike force (LSF).

Kontinjen Selangor telah menerima agihan 37 kenderaan bagi 2020 dan 2021 untuk kegunaan di IPD serta balai-balai polis.

Antara kenderaan terbabit termasuk 18 lori model Hino, tiga pacuan empat roda Toyota Hilux D/C 2.8 Black EDI dan dua Mitsubishi Triton 2.4 VG Premium.