Arkib Tag: manhart

Manhart V 350 bukti MPV tidak semestinya membosankan

WALAUPUN mempunyai bentuk badan berkotak dan bumbung yang tinggi, MPV masih ada potensi untuk tampil lebih sporty dan menarik, dengan syarat ia mendapat sentuhan yang betul dari mereka yang pakar.

Buktinya? Lihat sahaja hasil kerja terbaru dari Manhart ini. Dikenali sebagai V 350, ia masih sebuah van namun mempunyai aura yang lebih menggerunkan.

Ini kerana V 350 didatangkan dengan bampar depan baharu dengan bukaan intake yang besar, yang jelas diinspirasikan daripada bampar Mercedes-AMG, berserta lip pada bahagian bawah.

Selain itu, terdapat juga gril dengan kemasan mesh, penutup bonet yang lebih ‘berotot’ dan skirt sisi. Bahagian belakang pula menampilkan sambungan dapra, diffuser dan empat muncung ekzos. Oleh kerana ini Manhart, semua komponen kit badan diperbuat daripada gentian karbon.

Seperti yang boleh dilihat, V 350 Manhart ini kelihatan lebih rendah berbanding biasa. Ia dilengkapi dengan set gegelung H&R yang mengurangkan ketinggian sebanyak 25 mm, dipadankan pula dengan rim double spoke 20 inci.

Enjin 2.2-liter turbodiesel yang asal dikekalkan namun dengan penggunaan unit kawalan tambahan MHtronik, ia kini menghasilkan 280 PS dan 585 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 41 PS dan 85 Nm.

Harga untuk pakej ini tidak dinyatakan namun semua komponen dijual secara berasingan, dengan harga bermula dari 625 euro untuk gril hingga 4,685 euro untuk bampar belakang dan diffuser.

BMW M8 yang lebih ekstrem hasil talaan Manhart Performance, sehingga 823hp!

SELEPAS M5 CS, M8 Competition adalah model paling berkuasa yang ada dalam barisan BMW M. Dengan 625PS, 750Nm dan kelajuan maksimum yang mencecah 305km/j, coupe dua pintu itu mampu menakutkan sesiapa sahaja yang memandunya biarpun dalam versi standard.

Walaupun begitu, jentera itu boleh menjadi lebih ekstrem lagi dan ini dibuktikan oleh Manhart Performance menerusi hasil tangan terbarunya yang dinamakan sebagai MH8 800.

Seperti yang anda mungkin tahu, M8 Competition mempunyai enjin S63 4.4-liter twin-turbo V8 yang sama dengan M5 CS namun sentuhan magis syarikat dari Wuppertal itu menjadikan ia jauh lebih ‘berbisa’ berbanding sedan itu dengan kuasa sebanyak 823 PS dan 1,070 Nm!

Dari segi prestasi, sudah tentu MH8 800 mempunyai kelebihan yang ketara jika dibandingkan dengan versi standard. Masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan dari 3.2 saat kepada 2.6 saat, manakala kelajuan maksimum pula tidak dinyatakan namun pastinya ada sedikit peningkatan.

Ini dicapai menerusi penggunaan perisian ECU, pengecas turbo dan intercooler keluaran syarikat itu sendiri, sistem ambilan udara karbon serta sistem ekzos dengan paip yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan empat muncung berukuran 100mm dengan selongsong gentian karbon.

Apa yang menarik, Manhart turut menawarkan paip OPF-Delete dan dowpipe perlumbaan namun kedua-dua komponen ini tidak diiktiraf TÜV, bermakna ia haram untuk digunakan di kebanyakan negara.

Dari segi penampilan, tidak banyak yang dilakukan kerana M8 Competition memang sedia segak. Namun untuk membuatkan ia kelihatan lebih agresif, Manhart menggunakan gril berwarna hitam serta pakej karbon yang merangkumi splitter hadapan, bonet, skirt sisi dan diffuser.

Sebagai pelengkap, jentera ini juga diberikan rim Spider 21-inci yang dibalut tayar berukuran 275/30 di hadapan dan 295/30 di belakang. Gegelung KW bukan sahaja menghasilkan stance yang lebih sporty, malah mampu mengoptimumkan dinamik pemanduan. Penambahbaikan untuk ruang kabin pula terhad kepada balutan Alcantara pada stereng.

Harga untuk pakej naik taraf ini tidak dinyatakan, namun penawarannya sangat terhad iaitu 10 unit sahaja. Unit berwarna biru matte ini merupakan unit kelima yang dihasilkan.