fbpx

BMW M8 yang lebih ekstrem hasil talaan Manhart Performance, sehingga 823hp!

bmw m8 competition manhart 02

SELEPAS M5 CS, M8 Competition adalah model paling berkuasa yang ada dalam barisan BMW M. Dengan 625PS, 750Nm dan kelajuan maksimum yang mencecah 305km/j, coupe dua pintu itu mampu menakutkan sesiapa sahaja yang memandunya biarpun dalam versi standard.

Walaupun begitu, jentera itu boleh menjadi lebih ekstrem lagi dan ini dibuktikan oleh Manhart Performance menerusi hasil tangan terbarunya yang dinamakan sebagai MH8 800.

Seperti yang anda mungkin tahu, M8 Competition mempunyai enjin S63 4.4-liter twin-turbo V8 yang sama dengan M5 CS namun sentuhan magis syarikat dari Wuppertal itu menjadikan ia jauh lebih ‘berbisa’ berbanding sedan itu dengan kuasa sebanyak 823 PS dan 1,070 Nm!

Dari segi prestasi, sudah tentu MH8 800 mempunyai kelebihan yang ketara jika dibandingkan dengan versi standard. Masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan dari 3.2 saat kepada 2.6 saat, manakala kelajuan maksimum pula tidak dinyatakan namun pastinya ada sedikit peningkatan.

Ini dicapai menerusi penggunaan perisian ECU, pengecas turbo dan intercooler keluaran syarikat itu sendiri, sistem ambilan udara karbon serta sistem ekzos dengan paip yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan empat muncung berukuran 100mm dengan selongsong gentian karbon.

Apa yang menarik, Manhart turut menawarkan paip OPF-Delete dan dowpipe perlumbaan namun kedua-dua komponen ini tidak diiktiraf TÜV, bermakna ia haram untuk digunakan di kebanyakan negara.

Dari segi penampilan, tidak banyak yang dilakukan kerana M8 Competition memang sedia segak. Namun untuk membuatkan ia kelihatan lebih agresif, Manhart menggunakan gril berwarna hitam serta pakej karbon yang merangkumi splitter hadapan, bonet, skirt sisi dan diffuser.

Sebagai pelengkap, jentera ini juga diberikan rim Spider 21-inci yang dibalut tayar berukuran 275/30 di hadapan dan 295/30 di belakang. Gegelung KW bukan sahaja menghasilkan stance yang lebih sporty, malah mampu mengoptimumkan dinamik pemanduan. Penambahbaikan untuk ruang kabin pula terhad kepada balutan Alcantara pada stereng.

Harga untuk pakej naik taraf ini tidak dinyatakan, namun penawarannya sangat terhad iaitu 10 unit sahaja. Unit berwarna biru matte ini merupakan unit kelima yang dihasilkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved