Arkib Tag: Mandalika

Marquez belum pulih daripada diplopia, sah terlepas GP Argentina

PELUMBA pasukan Repsol Honda Marc Marquez sah tidak beraksi di Grand Prix (GP) Argentina hujung minggu ini.

Perkara itu disahkan pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau yang merawat Marquez berikutan masalah diplopia dialaminya.

Memetik laporan dikeluarkan Dorna Sports, Marquez masih mengalami masalah penglihatan atau double vision.

Bagaimanapun, apa yang dialami Marquez tidak begitu serius dan menunjukkan tanda positif.

“Beliau (Marquez) menunjukkan tanda pemulihan namun, tidak pulih sepenuhnya.

“Marquez perlu menjalani rawatan lanjut dan lebih rapi agar dapat pulih seperti sedia kala,” kata Dr Sanchez.

Pada perlumbaan GP Indonesia, Marquez berdepan kemalangan sehingga menyebabkan dirinya mengalami gegaran otak.

Masalah dihadapi Marquez bukan kali pertama dan pernah mengalaminya dua tahun lalu dalam kemalangan di GP Sepanyol.

Alami gegaran otak, Marquez belum pasti beraksi di GP Argentina

NASIB juara dunia MotoGP sebanyak lapan kali Marc Marquez terus menjadi tanda tanya pasca perlumbaan Grand Prix Indonesia minggu lalu.

Susulan kemalangan ketika sesi warm up di Litar Antarabangsa Mandalika, Marquez disahkan mengalami masalah diplopia atau double vision.

Portal motogp.com melaporkan pelumba asal Sepanyol itu kini mendapatkan rawatan di Barcelona bersama pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau.

Dr Sanchez mengesahkan masalah dihadapi Marquez sama seperti dilaluinya dalam kemalangan pada tahun 2011.

Sementara itu, Marquez meminta semua peminatnya bertenang sambil berharap masalah kesihatan dihadapi tidak menjejaskan kempen perlumbaan musim ini.

“Saya mula mengalami ketidakselesaan dengan penglihatan dan kami memutuskan bertemu Dr Sanchez.

“Nasib baik keadaan kini kurang teruk berbanding kecederaan yang saya alami pada penghujung tahun lalu. Terima kasih semua di atas sokongan anda,” katanya.

Pada perlumbaan di Mandalika, Marquez terbabas ketika pusingan warm up yang menyaksikan pelumba itu melayang ke udara.

Beliau kemudian disahkan tidak dapat berlumba kerana mengelami gegaran otak sebelum diterbangkan ke hospital di Lombok.

Setakat ini, masih menjadi tanda tanya sama ada Marquez dapat beraksi pada pusingan ketiga MotoGP di Argentina minggu depan.

Juarai Moto2 di Mandalika, siapa Somkiat Chantra?

KEJAYAAN memenangi perlumbaan Moto2 di Litar Antarabangsa Mandalika menyaksikan nama pelumba Thailand Somkiat Chantra menjadi sebutan dalam kalangan peminat sukan permotoran.

Kemenangan Chantra bukan sahaja mengharumkan nama negaranya tetapi membuka mata banyak pihak mengenai potensi pelumba Asia Tenggara.

Jika diamati terdapat pelbagai kejayaan telah ditempa oleh Chantra sebelum memenangi perlumbaan Moto2 di Indonesia, semalam.

Pada 2016, Chantra berjaya memenangi Asian Talent Cup sekaligus menjadi batu loncatan untuknya menyertai kejohanan JuniorGP.

Foto ihsan Facebook / Honda Team Asia

Kemudian, Cantra berjaya menyertai Moto3 dengan tiket wildcard ketika perlumbaan berlangsung di Buriram, Thailand pada tahun 2018.

Apa yang menarik, Chantra berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan walaupun merupakan pelumba baharu bagi kategori Moto3.

Setahun kemudian, Chantra berhijrah ke perlumbaan Moto2 dengan menyertai Idemitsu Honda Team Asia.

Chantra berjaya menamatkan musim 2020 dengan kedudukan 10 terbaik manakala, pada tahun 2021 dirinya berjaya menduduki tangga lima terbaik.

Foto ihsan Facebook / Honda Team Asia

Semalam, Chantra membuktikan dirinya sebagai pelumba yang tidak boleh dipandang ringan pasukan lawan.

Pelumba bernombor 35 ini berjaya menjuarai perlumbaan dengan catatan masa 25’40.876 iaitu perbezaan 0.3230 saat di hadapan Celestino Vietti.

Pemerhatian di media sosial mendapati ramai memuji Chantra yang tidak pernah berputus asa untuk mengecapi kejayaan dalam sukan permotoran.

Kami di Engear mengucapkan syabas buat Chantra dan semoga lebih banyak kejayaan dikecapi.

P/S: Bila pula pelumba Malaysia bakal juara MotoGP ya?

Isu kualiti litar selesai, deruman MotoGP bakal gegar Mandalika minggu ini

LITAR Antarabangsa Mandalika difahamkan telah bebas daripada masalah membabitkan kualiti asphalt atau bitumen.

Presiden Mandalika Grand Prix Association (MGPA) berkata, pembaharuan asphalt telah dibuat melibatkan beberapa selekoh dan sedang dipantau rapi.

“Pembaharuan semula asphalt telah dijalankan dari selekoh 16 hingga selekoh lima.

“Trek dilihat lebih baik dari sebelum ini. Trek juga akan dipantau dan dilihat oleh Pegawai Keselamatan FIM, Fraco Uncini bagi tujuan proses homologasi,” katanya.

Sebelum ini, Tarmac Sports Malaysia melaporkan kualiti asphalt di litar tersebut menjadi perdebatan dalam kalangan pelumba dan pasukan.

Perkara itu berlaku sebaik selesai sesi ujian rasmi MotoGP, bulan lalu.

Penduduk tempatan sedang menyaksikan sesi ujian MotoGP di Litar Mandalika, Lombok. – Foto ihsan Instagram/@hrc_motogp

Sementara itu, terdapat beberapa lagi kontroversi melibatkan Litar Antarabangsa Mandalika termasuk isu pembayaran tanah yang tertunggak kepada penduduk setempat.

Antara lain, penjawat awam juga dikatakan digesa membeli tiket perlumbaan sebagai sokongan kepada penganjuran MotoGP di Indonesia.

Kali terakhir deruman jentera MotoGP bergema di bumi Indonesia adalah pada tahun 1997 dengan Litar Antarabangsa Sentul menjadi tuan rumah.

Pertamina Grand Prix Indonesia 2022 akan berlangsung bermula 17 sehingga 20 Mac.

Persoalannya, pelumba manakah bakal menaiki podium nanti? Sama-sama kita nantikan…

Jualan tidak capai sasaran, penjawat awam diwajibkan beli tiket MotoGP

Jualan tiket perlumbaan MotoGP yang bakal berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia pada 19 dan 20 Mac ini dilaporkan kurang mendapat sambutan.

Sehingga 20 Februari lalu, hanya 21,530 kepaing tiket sudah terjual manakala kerajaan tempatan menyasarkan sebanyak 35,000 akan dijual.

Demi memastikan sasaran jualan tercapai, pihak berkuasa tempatan bakal mewajibkan semua penjawat awam untuk membeli tiket perlumbaan berkenaan.

Harga tiket MotoGP di negara itu dijual antara 431,000 hingga 2.5 juta rupiah (bersamaan RM125 hingga RM728).

Litar Mandalika. Kredit: MotoMalaya

Sambutan masyarakat tempatan terhadap perlumbaan itu amat tinggi memandangkan ini kali pertama perlumbaan MotoGP dianjurkan di negara tersebut, namun beberapa situasi menyebabkan penjualan tiket perlahan.

Situasi Covid-19 terkini juga menjadi faktor penyumbang kerana para pengunjung perlu berbelanja lebih bagi melakukan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke dalam litar.

Selain itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga sebelum ini meminta supaya jumlah pengunjung bagi acara permotoran itu dikurangkan bagi mengawal penularan Covid-19.

Persatuan Grand Prix Mandalika sebelum ini mencadangkan supaya sebanyak 100,000 pengunjung dibenarkan menyaksikan perlumbaan itu sebelum diturunkan kepada 60,000 orang.

 

‘Sakitnya tuh di sini’, penduduk belum terima pampasan bina litar Mandalika?

LITAR Mandalika terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga maya terutama bagi peminat sukan MotoGP.

Kali ini isunya bukan lagi masalah permukaan litar seperti dirintih majoriti pelumba MotoGP tetapi terarah kepada rungutan penduduk setempat.

Semuanya gara-gara foto dimuatnaik di akaun laman sosial Instagram milik Repsol Honda Team.

Menerusi foto berkenaan, kelihatan tiga individu mengenakan kain sarung sedang mencangkung di luar litar sambil menyaksikan sesi ujian rasmi MotoGP.

Memetik laporan Utusan Malaysia, tiga individu tersebut dikenali sebagai Sibawaeh, 53, Medan, 47 dan Amaq Manim, 57.

Ketiga-tiga individu berkenaan merupakan sebahagian pemilik tanah yang dijadikan litar lumba tersebut.

Apa yang menyedihkan, mereka mendakwa masih belum menerima pembayaran tanah yang sepatutnya dilangsaikan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC).

Mengakui sakit hati dengan isu belum selesai itu, mereka juga mendakwa pernah dijanjikan bayaran lumayan oleh ITDC.

“Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat.

“Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah (jual tanah) ini akan selesai,” kata Sibawaeh.

Sebelum ini, Litar Mandalika terletak di Lombok dikritik beberapa pelumba MotoGP yang kecewa dengan tahap keselamatan mereka.

Ini kerana beberapa bahagian litar berkenaan didakwa dilitupi kesan selut sekaligus menyukarkan corak tunggangan pelumba.

Sementara itu, Gabenor Nusa Tenggara Timur dikatakan telah membentuk pasukan tindakan bagi menyelesaikan masalah pembayaran tanah.

Bagaimanapun, masih tiada penyelesaian dibuat setakat ini dan lebih mengejutkan hanya dua daripada 10 pemilik tanah menerima pampasan setakat ini.