fbpx

‘Sakitnya tuh di sini’, penduduk belum terima pampasan bina litar Mandalika?

Penduduk tempatan sedang menyaksikan sesi ujian MotoGP di Litar Mandalika, Lombok. - Foto ihsan Instagram/@hrc_motogp
Penduduk tempatan sedang menyaksikan sesi ujian MotoGP di Litar Mandalika, Lombok. - Foto ihsan Instagram/@hrc_motogp

LITAR Mandalika terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga maya terutama bagi peminat sukan MotoGP.

Kali ini isunya bukan lagi masalah permukaan litar seperti dirintih majoriti pelumba MotoGP tetapi terarah kepada rungutan penduduk setempat.

Semuanya gara-gara foto dimuatnaik di akaun laman sosial Instagram milik Repsol Honda Team.

Menerusi foto berkenaan, kelihatan tiga individu mengenakan kain sarung sedang mencangkung di luar litar sambil menyaksikan sesi ujian rasmi MotoGP.

Memetik laporan Utusan Malaysia, tiga individu tersebut dikenali sebagai Sibawaeh, 53, Medan, 47 dan Amaq Manim, 57.

Ketiga-tiga individu berkenaan merupakan sebahagian pemilik tanah yang dijadikan litar lumba tersebut.

Apa yang menyedihkan, mereka mendakwa masih belum menerima pembayaran tanah yang sepatutnya dilangsaikan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC).

Mengakui sakit hati dengan isu belum selesai itu, mereka juga mendakwa pernah dijanjikan bayaran lumayan oleh ITDC.

“Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat.

“Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah (jual tanah) ini akan selesai,” kata Sibawaeh.

Sebelum ini, Litar Mandalika terletak di Lombok dikritik beberapa pelumba MotoGP yang kecewa dengan tahap keselamatan mereka.

Ini kerana beberapa bahagian litar berkenaan didakwa dilitupi kesan selut sekaligus menyukarkan corak tunggangan pelumba.

Sementara itu, Gabenor Nusa Tenggara Timur dikatakan telah membentuk pasukan tindakan bagi menyelesaikan masalah pembayaran tanah.

Bagaimanapun, masih tiada penyelesaian dibuat setakat ini dan lebih mengejutkan hanya dua daripada 10 pemilik tanah menerima pampasan setakat ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved