Arkib Tag: mampu milik

Nio bakal lancar jenama baharu Alps, Firefly yang lebih mampu milik

Selain daripada menawarkan harga jualan yang lebih rendah berbanding pesaing, salah satu strategi yang turut digunakan oleh kebanyakan pengeluar automotif China ialah dengan memperkenalkan jenama baharu untuk menarik perhatian pembeli baharu.

Nio seperti contoh dilapor akan melancarkan sub-jenama Firefly (bukan syarikat penerbangan) di Eropah pada tahun 2025.

 

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, syarikat baharu Firefly ini akan melancarkan kenderaan dengan julat harga antara 100,000 yuan hingga 200,000 yuan (RM65k-RM131k).

Tidak terhenti setakat Firefly, Nio juga mahu memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama Alps dengan model kenderaan berharga antara 200,000 yuan hingga 300,000 yuan (RM131k-RM197k).

 

Laporan Reuters menyebut, presiden Nio Lihong Qin mengesahkan jenama Firefly itu akan mendarat di Eropah pada tahun 2025.

Jenama Nio telah pun bertapak di beberapa buah negara di Eropah, dengan julat harga jualan bermula antara €50,000 hingga €91,000 (RM256k-RM465k).

Harga jualan yang agak mahal menjadikan Nio sukar untuk menjual model kenderaan mereka dalam unit yang besar.

Namun, dengan pelancaran jenama baharu Alps dan Firefly dijangka mampu mengubah keadaan tersebut pada masa akan datang.

 

Kempen Proton Rahmah 2023 – Servis berpatutan untuk model baharu dan lama

PROTON hari ini melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 sebagai menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kempen itu menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

“Dengan pelancaran Kempen Rahmah, pemilik Proton akan dapat memeriksa kereta mereka secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik, yang akan meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya yang bakal datang,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan beliau berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan inisiatif menu Rahmah yang dilancarkan pada Januari 2023, kerajaan sedang berusaha untuk mengembangkannya ke sektor lain yang boleh membuat perubahan nyata untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata: “Keputusan Proton untuk melancarkan Kempen Rahmah adalah selaras dengan usaha kami untuk menawarkan nilai tambahanan kepada pelanggan dan adalah penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.

“Mulai hari ini hingga 31 Mei 2023, pelanggan boleh menikmati pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan menikmati pakej perkhidmatan berharga hanya RM150.

“Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan.”

Kempen Proton Rahmah 2023 bermula pada 12 April sehingga 31 Mei 2023. Ia disasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.

Minat kereta Perancis? Ini Peugeot ‘bon produit’ bawah RM30k

HARI ini kita melihat lagi kepada kereta Perancis, antara satu jenama yang agak popular di Malaysia iaitu Peugeot. Ia juga antara jenama tertua di dunia.

Peugeot juga banyak menghasilkan kereta-kereta menarik dan ikonik seperti 205 GTi dan model-model baharu mereka tidak kurang hebatnya, seperti 3008 yang memenangi anugerah World Car of the Year beberapa tahun lepas.

Peugeot kegemaran penulis adalah 308 GTi (untuk lenjan syok sendiri) dan 508 SW (untuk kegunaan keluarga).

Baik, jika anda berminat hendak mendekati jenama Perancis dengan logo singa ini, kami akan senaraikan beberapa model menarik dalam pasaran terpakai dengan harga boleh pecah tabung.

1. Peugeot 308 1.6 – RM20,800

Powerful turbo engine, mengikut kata iklannya. Kereta ini juga telah diservis pendingin hawanya dengan compressor baharu, serta mendapat nombor plat menarik 2828.

Model tahun 2010 ini nampak sangat okay dan terjaga. Apa yang membuatkan harganya agak jatuh adalah persepsi masyarakat kita yang ‘takut’ dengan jenama ini.

Sebenarnya dari segi mekanikal, Peugeot cukup tahan lasak dan pemanduannya sangat selesa. Cuma ada beberapa panel yang mungkin mudah rosak kerana tidak tahan dengan cuaca kita.

2. Peugeot 207 1.6 – RM16,000

Ini model yang lebih kompak dari tadi, “kereta jarang digunakan”, menurut kata iklan. Bebas kemalangan, pendingin hawa masih sejuk dan tayar agak baharu (90 peratus).

Jika benar seperti dikatakan, bolehlah dicari kerana harganya RM16,000 memang cantik.

Beberapa tips untuk melihat sama ada kereta itu benar-benar ‘low mileage’ atau perbatuan rendah, boleh periksa keadaan tempat duduk dan juga pedal minyak serta brek. Jika semuanya masih mantap dan ketat, maka kemungkinan besar memang jarang dipandu.

 3. Peugeot 408 – RM22,000

Kereta ini agak unik kerana tiada di Eropah. Peugeot 408 asalnya dari 308 hatchback yang dipanjangkan menjadi sedan, mula dijual untuk pasaran China.

Unit dalam iklan ini merupakan model tahun 2016 dan didaftar pada 2017. Menurut pemilik juga, komponen ‘wear and tear’ telah diganti, dan kita boleh minta semua resit untuk diteliti.

4. Peugeot 3008 – RM25,000

Seterusnya kita masuk ke segmen MPV, kami cadangkan 3008 tahun 2012. Enjin 1.6 turbo yang digunakan diberi nama Prince, dan unit ini juga datang dengan panoramic sunroof dan head-up display.

Keadaan nampak masih cantik dan original, cuma tuannya mahu tunai sahaja. Pandai-pandailah belek dengan teliti dan mungkin boleh berbual agar dapat kurang lagi.

5. Peugeot 5008 – RM26,000

Model yang cuma setahun muda dari 3008 tadi, tapi hanya tambahan RM1,000, iaitu RM26,000. Boleh menimbulkan kemusykilan. Tapi mungkin kerana urgent sale, seperti dinyatakan pada iklan.

Ini sebenarnya sebuah kenderaan yang sangat mantap untuk kegunaan keluarga, salah satu sebabnya kerana ada panoramic sunroof. Mesti keluarga tersenyum punya. Oh ya, 5008 ini juga sangat selesa.

6. Peugeot 508 – RM26,500

Untuk yang mahukan gaya sedikit ‘atas’, ini ada sebuah kereta eksekutif iaitu Peugeot 508. Model ini antara sedan segmen-D bukan premium paling sedap dipandu pada zaman itu.

Sama seperti kebanyakan model dalam senarai ini, Peugeot 508 menggunakan enjin 1.6 turbo Prince. Menurut iklan, kereta ini high spec, baru diservis dan merupakan kereta keluarga.

RM26,500 harga dipinta untuk kereta tahun 2012 ini, ngam?

7. Peugeot Expert – RM30,000

Akhir sekali sebuah van ringan yang sangat jarang dijumpai di Malaysia. Ia bersaiz seperti Hyundai Starex dan ia agak popular di Eropah.

Hanya ada satu unit dalam laman web Mudah.my, dan ia merupakan varian Teepee, antara gred tertinggi.

Dengan enjin 2.0, van ini dikatakan telah digunakan oleh organisasi, mungkin satu NGO (badan bukan kerajaan). Kenderaan sebegini biasanya mungkin perbatuan agak tinggi, tetapi servis mungkin bagus.

Harga RM30k sedikit mahal, tapi memang satu alternatif menarik kepada Starex atau Maxus G10.

Jadi, jika anda lihat model-model dalam senarai ini dan rasa berminat, pastikan anda berani. Peugeot sebenarnya bukanlah satu kereta yang susah dijaga, ia juga agak lasak, cuma perlu tahu mekanik mana yang mampu menyelenggara jenama ini.