Arkib Tag: MAA

Jualan kereta di Malaysia capai paras tertinggi pada 2023

PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jualan keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia meningkat ke paras tertinggi sebanyak 799,731 unit pada 2023, mewakili peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 721,177 unit yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, kenaikan itu dipacu terutamanya oleh subsegmen kereta penumpang berikutan ekonomi domestik yang berdaya tahan serta senario sosiopolitik yang stabil.

Tambah beliau, pertumbuhan itu juga didorong oleh insentif bebas cukai, pelancaran baharu seperti kenderaan elektrik pada harga kompetitif serta persekitaran rantaian bekalan industri yang bertambah baik.

“Pertumbuhan jualan industri yang dicatatkan pada tahun lepas juga merupakan peningkatan tahunan kedua sejak penurunan pada 2020-2021 akibat pandemik Covid-19.

“Ini adalah tahun kedua berturut-turut menyaksikan angka TIV itu melepasi paras 700,000,” kata beliau.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad meninggal dunia di Jeddah

PRESIDEN Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun di Jeddah semalam.

Allahyarhamah bukanlah nama yang asing dalam industri automotif tempatan. Beliau telah menyandang jawatan sebagai Presiden MAA sejak tahun 2000 lagi, selain memegang jawatan sebagai Perunding Kanan Hyundai-Sime Darby Motors.

Sementara itu DRB-Hicom dalam satu kenyataan media menzahirkan rasa sedih atas kembalinya Datuk Aishah ke Rahmatullah.

“Beliau adalah seorang yang gigih dalam industri automotif dan telah memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran Malaysia sepanjang kerjayanya,” tulis kenyataan itu.

Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, berkata Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan di dalam industri yang beliau sangat cintai.

“Kepimpinan, visi, dan dedikasi beliau dalam menguruskan MAA telah memberi impak yang berkekalan kepada industri, dan beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri dan seluruh masyarakat”, kata Syed Faisal.

 

MAA unjur jualan kenderaan elektrik meningkat lebih tinggi tahun ini

PRESIDEN Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata pihaknya mengunjurkan jualan kenderaan elektrik (EV) yang jauh lebih tinggi tahun ini berbanding 2,631 unit yang terjual pada 2022.

Menurut Datuk Aishah, ini disebabkan oleh pengenalan pelbagai model EV baharu di pasaran, ditambah dengan insentif cukai jualan yang memberangsangkan.

Di Malaysia, EV yang diimport sepenuhnya (CBU) dikecualikan daripada duti eksais dan import sehingga akhir tahun 2023, manakala EV pemasangan tempatan (CKD) menikmati pengecualian duti eksais dan import, serta pengecualian SST sehingga akhir tahun 2025.

Sementara itu, pembeli EV pula tidak perlu membayar cukai jalan dan akan menikmati pengecualian cukai peribadi sehingga RM2,500 untuk kos berkaitan pengecasan EV, sehingga akhir tahun ini.

Berbalik kepada unjuran jualan EV, Datuk Aishah berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 650,000 unit bagi 2023 akan merangkumi jualan kenderaan hibrid dan EV.

 

MAA juga akan membuat rayuan kepada kerajaan untuk mempertimbankan pelanjutan insentif EV untuk tempoh yang lebih lama sehingga 2030 dan bukan secara tahunan.

“Kami berpendapat pelanjutan insentif berdasarkan dari tahun ke tahun tidak mencukupi (kerana) anda perlu membuat banyak pelaburan dan semua pelabur perlu yakin bahawa EV akan terus dijual,” katanya.

Tahun lalu menyaksikan kemunculan beberapa model EV menarik ke pasaran tempatan termasuk BYD Atto 3, GWM Ora Good Cat, Volvo C40 Recharge Pure Electric, BMW iX dan barisan Mercedes-EQ.

Jualan kenderaan meningkat 552% kepada 48,922 unit pada Julai 2022

JUALAN kenderaan baharu di Malaysia melonjak lebih enam kali ganda kepada 48,922 unit pada Julai 2022 berbanding 7,499 unit pada Julai 2021.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 63,366 unit yang direkodkan pada Jun 2022, angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 22.8 peratus.

Jumlah jualan kenderaan penumpang adalah sebanyak 43,594 unit manakala kenderaan komersil pula sebanyak 5,328 unit bulan lalu.

Persatuan Automotif Malaysia dalam satu kenyataan bulanan berkata secara kumulatif bagi tujuh bulan pertama 2022, jualan kenderaan meningkat 48.3 peratus kepada 380,595 unit dari 256,677 unit yang dicatat setahun lalu.

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) yang tinggi pada Jun 2022 disebabkan oleh pemenuhan tempahan oleh syarikat-syarikat kenderaan yang menerima banyak tempahan sebelum 30 Jun 2022, iaitu hari terakhir insentif pengecualian cukai jualan.

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 52,061 kenderaan dikeluarkan pada Julai berbanding 2,775 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Setakat ini, jumlah pengeluaran kenderaan naik kepada 369,994 unit berbanding 244,063 setahun lalu.

Mengenai unjuran untuk bulan Ogos, MAA berkata jualan dijangka kekal sama pada paras Julai 2022.

MIDF Research ramal sektor automotif kekal positif pada 2022

SEKTOR automotif dijangka kekal positif tahun ini dengan pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 12 sehingga 14 peratus tahun ke tahun.

Menurut MIDF Research, ia berikutan gangguan bekalan akibat banjir pada Januari lalu yang bersifat sementara.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada Januari 2022 telah merosot 38 peratus bulan ke bulan kepada 40,581 unit, lapor Bernama.

MIDF Research meramalkan TIV pada sekitar 570,000 – 580,000 unit tahun ini.

Ini menyebakan ia lebih konservatif berbanding unjuran pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 600,000 unit oleh MAA.

“Ia berada pada penghujung julat TIV tahunan pra-pandemik memandangkan kami masih bimbang dengan kekurangan bekalan cip global.

“Bagaimanapun, sebarang TIV yang lebih kukuh daripada jangkaan berperanan untuk memperkuat saranan positif kami ke atas sektor ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan positifnya kepada sektor automotif yang berperanan terhadap pemulihan penggunaan domestik.

Situasi didorong tempahan tertunggak kukuh, sokongan pelepasan cukai, kadar faedah rendah dan situasi pekerjaan serta pendapatan isi rumah beransur baik.

Sementara itu, Bermaz Auto Bhd (BAuto) dinamakan sebagai pilihan utama berikutan pengembangan jenama itu selepas pengambilalihan francais Kia dan Peugeot.

Perkembangan itu sekali gus menyebabkan pengembangan struktur di bahagian pasaran dan pertumbuhan yang mengatasi industri.

Dalam perkembangan sama, Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor automotif.

Jualan pada Februari 2022 dijangka sama seperti Januari 2022 berikutan jumlah hari bekerja lebih singkat dan gangguan rantaian bekalan akibat banjir serta kekurangan cip.