Arkib Tag: m4

BMW 3.0 CSL dengan enjin 6-silinder paling berkuasa, manual 6-kelajuan

TAHUN ini nampaknya BMW meraikan ulangtahun jenama M yang ke-50 dengan beberapa model ikonik seperti M4 CSL dan M2 baharu.

Dan yang terakhir mungkin sebagai penutup, BMW M memperkenalkan pula 3.0 CSL. Ia sebagai penghormatan kepada CSL (atau nama penuhnya Coupe Sport Lightweight) asal dari 1970an, dan dikatakan sebagai “model istimewa paling eksklusif” dalam sejarah M.

Gril kidney yang unik diambil dari konsep 3.0 CSL Hommage 2015, tetapi diolah semula dengan corak berlian, dan lingkaran luarannya menerima kemasan satin aluminium.

Terdapat ruang kemasukan udara yang besar di bampar depan untuk penyejukan enjin dan brek. Kemudian corong udara di atas hud pula mirip model CSL 1970.

BMW 3.0 CLS 2023 ini mendapat lampu depan laser dari M4 CSL dengan kemasan kuning yang sama, inspirasi dari jentera lumba GT3. Di bahagian sisi, paling menyerlah ialah fender kembung yang menjadi identity CSL, serta rim bersaiz 20-inci di depandan 21-inci di belakang, dengan centerlock.

Rim bercorak Y ini dibaluti oleh tayar Michelin dengan tulisan “50” untuk menandakan ulangtahun jenama itu. Dan pelengkap gaya luaran ini ialah spoiler besar seperti Batmobile, yang juga diinspirasikan dari model klasik yang asal.

BMW 3.0 CSL ini hadir dengan warna khas Alpine White Uni dengan grafik M tradisional. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder paling berkuasa pernah dikeluarkan oleh Bavaria.

Enjin ini menghasilkan 553hp dan 550Nm tork, dan output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual 6-kelajuan dan differential M.

Ciri lain termasuklah brek karbon-seramik, suspensi adaptif M, penyerap hentak kawalan elektronik, tempat duduk bucket karbon, trim pintu CFRP, dan tombol gear berwarna putih.

Hanya 50 unit 3.0 CSL ini akan dikeluarkan, dan setiap unit mendapat nombor siri khas. Menurut BMW, cat putih pada kereta ini memerlukan proses khas manakala komponen CFRP pula dihasilkan dengan tangan.

BMW M4 CSL yang lebih berkuasa, lebih keras, lebih pantas – 550hp, 0-100 dalam 3.7 saat

JELMAAN BMW M4 yang paling ‘hardcore’ iaitu M4 CSL telah pun tiba dan ia hadir tepat pada masanya bagi meraikan ulang tahun divisyen BMW M GmbH yang ke-50. Jadi, apa yang membuatkan jentera yang diberi jolokan “Competition, Sport, Lightweight” ini begitu istimewa?

Pertama sekali, walaupun dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang sama dengan M4 Competition, BMW telah meningkatkan tekanan boost pengecas turbo dari 1.7 bar kepada 2.1 bar. Sistem penyejukan turut ditambah baik bagi memastikan ia dapat beraksi pada tahap tertinggi untuk tempoh masa yang lebih lama.

Hasilnya, kuasa meningkat dari 510PS kepada 550PS dengan titik puncak yang sama iaitu 6,250rpm. Tork kekal pada 650Nm antara 2,750rpm dan 5,950rpm, namun ini sudah cukup untuk membolehkan M4 CSL melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.7 saat, 0.2 saat lebih pantas berbanding M4 Competition.

Bukan itu sahaja, dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang, masa pecutan 0-200km/j dapat disingkatkan dari 12.5 saat kepada 10.7 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 307km/j, menunjukkan peningkatan sebanyak 17km/j jika dibandingkan dengan versi Competition.

Peningkatan kuasa bukanlah satu-satunya faktor yang menyumbang kepada prestasi M4 CSL. Menurut BMW, jentera coupe ini juga telah menjalani diet yang menyebabkannya kehilangan berat sebanyak 100kg, dengan berat keseluruhan kini hanya 1,625kg.

Ini dicapai dengan mengeluarkan tempat duduk belakang, menggunakan tempat duduk bucket M Carbon, mengurangkan penebat bunyi, menggunakan komponen-komponen CFRP pada bahagian luaran dan dalaman, sistem ekzos titanium serta sistem brek M Carbon seramik.

Malah, BMW turut berjaya mengurangkan berat dengan memberikan perhatian terhadap sekecil-kecil perincian seperti gril, lampu belakang, karpet lantai dan sistem pendingin hawa.

Untuk pengendalian pula, syarikat itu menggunakan cagak enjin dan transmisi yang lebih keras, serta strut brace yang direka khusus untuk model ini. Sistem suspensi adaptif M pula mengurangkan ketinggian sebanyak 8mm, manakala stereng M Servotronic dengan nisbah boleh ubah memastikan pemandu berkomunikasi dengan kereta dengan lebih baik.

Semua pembaikan yang diaplikasikan pada M4 CSL nampaknya membuahkan hasil apabila ia berjaya membuat catatan masa 7 minit 15.677 saat di litar Nurburgring Nordschleife, menjadikan ia kereta produksi BMW yang terpantas setakat ini.

Model ini pastinya akan menjadi rebutan ramai kerana hanya 1,000 unit akan dihasilkan untuk pasaran global. Harga dikatakan bermula dari $140,895 (RM618,388).

BMW Malaysia mencari pemilik BMW M tertua sempena sambutan ulangtahun ke-50

BMW M GmbH akan menyambut ulangtahun yang ke-50 pada Selasa depan, 24 Mei 2022. Dan untuk itu, BMW Group Malaysia akan menyertai sambutan itu dengan mencari pemilik BMW M tertua di negara ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang. BMW M dikatakan sebagai “huruf paling berkuasa di dunia”, dengan penghasilan jentera-jentera berprestasi tinggi dan jentera lumba yang mendominasi litar-litar seluruh dunia.

Ianya bermula dengan penubuhan divisyen BMW Motorsport GmbH pada sekitar 1972 dan menjadi elemen penting dalam BMW Group memandangkan mereka mampu menggabungkan fungsi perlumbaan dengan rupa sporti untuk sesebuah kenderaan.

Pasukan ini bermula dengan projek 3.0 CSL yang dibina untuk European Touring Car Championship. Jentera ini terus mendominasi perlumbaan ini setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

BMW 3.0 CSL juga menjadi dua model pertama di BMW Art Cars yang dicat oleh artis terkenal Alexander Calder dan Frank Stella.

Sehingga hari ini, BMW M telah menghasilkan pelbagai jentera berprestasi tinggi yang seronok dipandu, bermula M1, M2, M3, M4, M5, M6, M8, termasuk SUV mereka X3 M, X4 M, X5 M dan X6 M.

Berbalik kepada pencarian BMW M tertua di Malaysia, BMW Malaysia mencari model BMW M tertua dalam setiap siri.

Jika anda adalah pemilik atau anda mengenali pemilik berkenaan, anda boleh hantarkan butiran di pautan ini.

Dan ada pemenang! Ya, pemenang berpeluang memenangi barangan BMW M eksklusif dan kenderaan mereka akan dipamerkan oleh BMW Group Malaysia. Mereka yang bukan pemilik tetapi menghantar butiran yang betul juga akan memenangi hadiah.

Tarikh tutup penghantaran/penyertaan adalah pada 8 Jun 2022 ini.

BMW M3 dan M4 Competition mendarat di Malaysia, 510hp, dari RM640k

SEDAN prestasi tinggi BMW kini telah tiba di Malaysia, bukan sebuah, tetapi sepasang iaitu M3 dan M4 Competition.

Harga adalah seperti berikut:

BMW M3 Competition

Harga: RM639,664 (RM664,800 sebelum pengecualian cukai SST)

Harga dengan jaminan lanjutan: RM691,040

BMW M4 Competition

Harga: RM659,357 (RM684,800 sebelum pengecualian cukai SST)

Harga dengan jaminan lanjutan: RM711,040

Jika dilihat pada harga, pengecualian cukai SST bermakna anda boleh mendapat penjimatan sehingga RM25,443. Jaminan lanjutan pula merangkumi pakej dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis 5-tahun.

Kedua-dua BMW G80 M3 Competition dan G82 M4 Coupe Competition adalah hampir serupa dari segi mekanikal. Perbezaan utama adalah dari segi gaya badan; M3 ialah sedan empat-pintu manakala M4 ialah coupe dua-pintu.

BMW M3 dan M4 Competition dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo S58, 6-silinder sebaris yang menjana 510hp dan 650Nm tork. Dengan kotak gear M Steptronic 8-kelajuan, pecutan 0-100 dapat dicapai dalam 3.9 saat sahaja.

M3 G82 dan M4 G82 generasi terkini hadir dengan gaya lebih agresif, menampilkan gril kidney menegak kemasan hitam, dan warna sama juga didapati pada lip depan, pemijak tepi, penutup cermin sisi, spoiler, serta diffuser. Bumbung pula adalah gentian karbon berwarna hitam Shadow Line, sebahagian dari BMW Individual.

Kelengkapan luaran lain adalah lampu LED, ekzos krom hitam, rim 19-inci depan dan 20-inci belakang dengan rekaan 826 M bicolour, dan tayar 275/35 depan serta 285/30 belakang.

Selain itu, kelengkapan standard pada M3 dan M4 adalah suspensi Adaptive M, pembeda M Sport, M Drive Professional dengan 10 tahap Traction Control, pengira catatan masa, dan drift analyser.

Bahagian kabin M3 dan M4 pula dilengkapi kemasan kulit Merino hitam, tempat duduk M Sport, stereng M, pedal kaki M, pendingin hawa tiga-zon, Comfort Access, paparan instrumen digital 12.3-inci, dan unit infotainmen Navigation Professional 10.25-inci.

Untuk pasaran Malaysia, BMW M3 dan M4 boleh dipilih dengan tujuh warna; Sao Paulo Yellow, Isle of Man Green, Alpine White, Brooklyn Grey Metallic, Toronto Red, Portimao Blue dan Black Sapphire.

Galeri BMW M3 Competition

Galeri BMW M4 Competition