BMW M4 CSL yang lebih berkuasa, lebih keras, lebih pantas – 550hp, 0-100 dalam 3.7 saat
JELMAAN BMW M4 yang paling ‘hardcore’ iaitu M4 CSL telah pun tiba dan ia hadir tepat pada masanya bagi meraikan ulang tahun divisyen BMW M GmbH yang ke-50. Jadi, apa yang membuatkan jentera yang diberi jolokan “Competition, Sport, Lightweight” ini begitu istimewa?
Pertama sekali, walaupun dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang sama dengan M4 Competition, BMW telah meningkatkan tekanan boost pengecas turbo dari 1.7 bar kepada 2.1 bar. Sistem penyejukan turut ditambah baik bagi memastikan ia dapat beraksi pada tahap tertinggi untuk tempoh masa yang lebih lama.
Hasilnya, kuasa meningkat dari 510PS kepada 550PS dengan titik puncak yang sama iaitu 6,250rpm. Tork kekal pada 650Nm antara 2,750rpm dan 5,950rpm, namun ini sudah cukup untuk membolehkan M4 CSL melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.7 saat, 0.2 saat lebih pantas berbanding M4 Competition.
Bukan itu sahaja, dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang, masa pecutan 0-200km/j dapat disingkatkan dari 12.5 saat kepada 10.7 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 307km/j, menunjukkan peningkatan sebanyak 17km/j jika dibandingkan dengan versi Competition.
Peningkatan kuasa bukanlah satu-satunya faktor yang menyumbang kepada prestasi M4 CSL. Menurut BMW, jentera coupe ini juga telah menjalani diet yang menyebabkannya kehilangan berat sebanyak 100kg, dengan berat keseluruhan kini hanya 1,625kg.
Ini dicapai dengan mengeluarkan tempat duduk belakang, menggunakan tempat duduk bucket M Carbon, mengurangkan penebat bunyi, menggunakan komponen-komponen CFRP pada bahagian luaran dan dalaman, sistem ekzos titanium serta sistem brek M Carbon seramik.
Malah, BMW turut berjaya mengurangkan berat dengan memberikan perhatian terhadap sekecil-kecil perincian seperti gril, lampu belakang, karpet lantai dan sistem pendingin hawa.
Untuk pengendalian pula, syarikat itu menggunakan cagak enjin dan transmisi yang lebih keras, serta strut brace yang direka khusus untuk model ini. Sistem suspensi adaptif M pula mengurangkan ketinggian sebanyak 8mm, manakala stereng M Servotronic dengan nisbah boleh ubah memastikan pemandu berkomunikasi dengan kereta dengan lebih baik.
Semua pembaikan yang diaplikasikan pada M4 CSL nampaknya membuahkan hasil apabila ia berjaya membuat catatan masa 7 minit 15.677 saat di litar Nurburgring Nordschleife, menjadikan ia kereta produksi BMW yang terpantas setakat ini.
Model ini pastinya akan menjadi rebutan ramai kerana hanya 1,000 unit akan dihasilkan untuk pasaran global. Harga dikatakan bermula dari $140,895 (RM618,388).
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.