Arkib Tag: LLM

Gentari lancar stesen pengecasan EV 200 kW di PETRONAS Penchala Link

Gentari dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pembukaan stesen pengecasan pantas EV di PETRONAS Penchala Link (arah Damansara).

Stesen pengecas antara bandar ini menyediakan pengecas DC 200 kW yang dilengkapi tiga muncung pengecas.

Berbanding pengecas 24 kW sedia ada, masa pengecasan dapat dikurangkan kira-kira 20 minit.

Ini membolehkan pengguna mengecas kapasiti bateri lebih 60 peratus dan tempoh berhenti yang lebih singkat.

Stesen pengecas Gentari ini mampu meningkatkan akses kepada pengecasan berkelajuan tinggi memandangkan ia merupakan satu-satunya pengecas 200 kW dalam radius lima kilometer.

Inisiatif ini mencerminkan perancangan koridor strategik LLM serta komitmennya memperkukuh infrastruktur lebuh raya Malaysia untuk era EV.

Kerjasama Gentari dan LLM mengubah fungsi lebuh raya daripada sekadar penghubung antara negeri kepada infrastruktur yang dapat menyokong pergerakan EV antara bandar disumbangkan oleh lokasi strategik dan selaras dengan keperluan perjalanan sebenar.

 

PLUS tutup lorong NKVE waktu malam hingga November

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jambatan KTMB yang merentangi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Jambatan tersebut terletak di KM11.25 di antara Persimpangan Shah Alam dan Subang. Kerja naik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini (30 Mac 2023) dan dijangka siap sepenuhnya pada awal November 2023.

Dalam satu kenyataan, PLUS berkata kerja naik taraf akan dijalankan pada waktu malam bermula jam 10 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut. Ia akan melibatkan penutupan lorong di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam.

Semua lorong akan dibuka semula kepada pengguna lebuh raya mulai jam 5 pagi bagi memastikan tiada gangguan terhadap aliran trafik terutamanya pada waktu-waktu puncak.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

Untuk maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan kecemasan, pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000.