Arkib Tag: latihan

Boeing T-7A Red Hawk didedah, mula diserah kepada tentera udara AS

BOEING telah mula mengeluarkan T-7A Red Hawk pertama untuk Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di bawah fasa Engineering and Manufacturing Development.

Jet-jet itu akan menjadi pesawat latihan baharu pertama menggantikan T-38 Talon yang telah dioperasikan sejak lebih 60 tahun lepas.

Dalam satu majlis pendedahan di kilang Boeing di St. Louis, Missouri, wakil-wakil industri dan pegawai Tentera Udara telah diberi taklimat mengenai ciri-ciri canggih dan unik T-7A yang dijangka digunakan dalam siri latihan.

T-7A juga merupakan pesawat Boeing pertama yang direka secara digital sepenuhnya dan sejumlah 351 unit akan diserahkan kepada Tentera Udara tahun depan.

Pesawat latihan terbaharu ini direka oleh Boeing bersama Saab dan melalui rekaan digital, kejuruteraan serta perisian canggih, membolehkan masa pembangunan pesawat disingkatkan.

Malah Red Hawk ini juga merupakan pesawat pertama Tentera Udara dengan pemula nama “e” iaitu eT-7, menunjukkan falsafah rekaan digital menyeluruh padanya.

Sebaik memasuki perkhidmatan nanti, pesawat ini dijangka mempunyai lebih banyak kebolehan berbanding pesawat sebelumnya dengan elemen latihan baharu yang boleh dimasukkan.

Hubungan antara Boeing dengan Saab juga diperkukuh, dimana Saab akan mula memasang komponen ekor pesawat di West Lafayette, Indiana, AS.

Boeing T-7A Red Hawk dikuasakan enjin General Electric F404, ia mempunyai kelajuan maksima 1,300km/j dan kelajuan meluncur skitar 975km/j.

T-7A juga mampu terbang pada altitud maksima 50,000 kaki dengan kemampuan mendaki 33,500 kaki seminit.

Buat masa ini, Boeing T-7A yang siap dipasang ini akan terus berada di St. Louis untuk ujian darat dan penerbangan sebelum diserahkan kepada 99th Flying Training Squadron.

Pesawat penyerang A-10 Thunderbolt buat latihan mendarat dan berlepas di jalan raya

PENDUDUK di utara Michigan biasa melihat pesawat tentera terbang rendah, tapi tidak serendah ini. Pada 5 Ogos lepas, enam buah pesawat dari Michigan Air National Guard mendarat dan berlepas dari sebuah jalan raya dua-lorong.

Latihan bersejarah itu melibatkan dua buah pesawat penyerang A-10 Thunderbolt dan dua pesawat pengangkut C-146, serta dirakam oleh 127th Wing of the Michigan yang berpangkalan di Selfridge Air National Guard Base. Ia latihan pertama seumpamanya yang dilakukan di jalan raya awam.

A-10 Thunderbolt dalam latihan pendaratan di jalan raya. Gambar: Facebook/127th Wing

Menurut MLive.com, jalan raya itu ditutup selama lima jam untuk latihan itu. Ia sebahagian dari misi latihan tahunan Northern Strike, tapi ia tidak pernah dibuat di jalan raya awam.

Tetapi hanya tidak pernah mendarat di jalan raya di Amerika Syarikat (AS). Pesawat A-10 dari skuadron itu sebelum ini pernah membuat pendaratan jalan raya di Estonia pada 2018. Dan latihan seumpama ini biasa dilakukan oleh pasukan tentera lain seluruh dunia.

Pesawat Saab Gripen milik Tentera Udara Sweden yang membuat latihan pendaratan di jalan raya. Gambar: Blog Before Flight

Terdapat juga yang berkata jalan raya di AS sebenarnya memang direka mempunyai beberapa bahagian lurus untuk digunakan oleh pesawat tentera sekiranya berlakunya peperangan.

Mendarat di jalan raya mungkin nampak biasa, tetapi dari presepektif juruterbang, ia agak mencabar. Di lapangan terbang, juruterbang mempunyai titik rujukan dan prosedur spesifik untuk memasuki aliran trafik udara, membuat pusingan, dan mendarat.

Tanda-tanda di landasan adalah serupa di semua lapangan terbang, dan landasan juga biasanya lebih lebar dari jalan raya dua-lorong. Latihan sebegini memberi peluang kepada juruterbang merasai pengalaman beroperasi di kawasan luar biasa sekiranya berlaku kecemasan.

Dan paling penting, ia nampak cool untuk ditonton.