Arkib Tag: land cruiser

Toyota Land Cruiser 70 Series facelift dilancarkan di Jepun

TOYOTA Land Cruiser 70 Series versi facelift, yang diperkenalkan pada Ogos lalu, kini telah dilancarkan di pasaran Jepun.

Untuk pengetahuan, kali terakhir model ini dijual di negara itu adalah pada 2015 sebelum ia ditarik balik dari pasaran kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Model kelahiran semula ini pastinya tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam aspek itu kerana walaupun mengekalkan reka bentuk klasik dan casis ladder frame yang asal, ia telah dikemas kini dengan ciri-ciri moden.

Antara ciri yang dimaksudkan adalah Vehicle Stability Control (VSC), Active Traction Control (A-TRC), Hill Start Assist Control (HAC), Downhill Assist Control (DAC) serta electronic differential lock.

Menurut Toyota, sistem suspensi SUV ini juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih selesa di atas jalan raya.

Dari segi keselamatan, Land Cruiser 70 Series dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi pelbagai ciri termasuk Pre-Crash Safety, Lane Departure Alert, Road Sign Assist, Auto High Beam dan pelbagai lagi.

Versi JDM ini dikuasakan oleh enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8-liter empat silinder dengan 204 PS dan 500 Nm, sama seperti Hilux. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan ‘6 Super ECT’ dan sistem pacuan empat roda.

Di Australia, Land Cruiser 70 Series boleh didapati dengan enjin turbodiesel 4.5-liter V8 yang menghasilkan 205 PS dan 430 Nm. Kuasanya mungkin lebih rendah namun enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.

Harga jualan di Jepun bermula dari 4.8 juta yen (RM151,747). Ia dipasang di kilang pemasangan Toyota Auto Body Yoshiwara.

Toyota Land Cruiser 70 Series diberikan facelift, enjin 2.8L Hilux

TOYOTA Land Cruiser 70 Series diperkenalkan buat pertama kali pada 1984 sebagai pengganti kepada 40 Series. Walaupun dengan kemunculan model-model generasi baharu Land Cruiser, ia terus ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu dengan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan ia kekal relevan.

Untuk tahun 2023, Land Cruiser 70 Series diberikan facelift, pelbagai kelengkapan dan teknologi terkini serta enjin baharu. Ia akan kembali ke pasaran Jepun selepas jualannya dihentikan pada 2015 kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Bermula dengan reka bentuk, Land Cruiser 70 Series tampil dengan lampu LED berbentuk bulat yang dicantumkan dengan gril, serta lampu signal yang terkeluar, tidak ubah seperti yang terdapat pada model asal.

Dari sisi, profil SUV ini secara keseluruhannya dikekalkan manakala di belakang, lampu brek kini dialihkan ke bampar. Posisi asal lampu itu ditutup dengan panel yang dicat mengikut warna badan.

Ruang dalaman pula menampilkan skrin 4.2 inci dengan grafik retro pada kluster instrumen. Bergantung kepada pasaran, pelanggan juga akan mendapat skrin sentuh 6.7 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi keselamatan, Land Cruiser 70 Series didatangkan dengan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Alert, Road Sign Assist, Auto High Beam dan pelbagai lagi.

Model ini masih menggunakan casis ladder frame yang asal namun kali ini, ia diberikan ‘nadi’ baharu yang dikatakan lebih cekap bahan api, senyap dan mampu menawarkan prestasi off-road  yang lebih baik.

Enjin yang dimaksudkan adalah turbodiesel 1GD-FTV 2.8-liter empat silinder yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan ‘6 Super ECT’ dan sistem pacuan empat roda.

Di Australia, Land Cruiser 70 Series juga ditawarkan dengan enjin turbodiesel 4.5-liter V8 yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan. Ia menjana 205 PS dan 430 Nm, 1 PS lebih tinggi tetapi kurang 70 Nm jika dibandingkan dengan enjin 1GD-FTV.

Gah! Toyota Land Cruiser Jepun terima ‘sentuhan’ Modellista

PASARAN automotif Jepun menyaksikan kemunculan pertama Toyota Land Cruiser 300 baharu selepas diperkenalkan, Jun lalu.

Didatangkan dengan varian GR Sport, model ini dilengkapi aksesori menarik daripada Modellista.

Saiz yang begitu besar membuatkan model ini kelihatan begitu ‘gah’. – Foto ihsan Toyota

Antara kelebihan Toyota Land Cruiser 300 baharu termasuk tambahan spoiler hadapan, ruang bukaan udara serta kemasan krom dan hiasan jalur hitam pada fender.

Selain itu, Toyota Land Cruiser 300 baharu juga mempunyai skirting tambahan pada bampar belakang yang mempunyai kemasan seakan diffuser.

Para pelanggan juga diberi pilihan untuk melakukan penambahan aksesori lain seperti spoiler, plet krom dan paling utama, rim 21 inci!

Bahagian belakang Land Cruiser 300 yang sangat menawan. – Foto ihsan Toyota

Berikut antara beberapa aksesori lain yang terdapat pada Toyota Land Cruiser 300:-

  • Lampu kaki penumpang
  • Panel besi tepi pintu,
  • Pelekat cermin cahaya infra-red
  • Lampu but

Bagaimanapun, Toyota Land Cruiser 300 versi global tidak mempunyai spoiler, hiasan fender dan lampu tambahan bahagian dalam.

Bahagian rekaan rim juga agak berlainan bagi unit pasaran global yang mana ia juga didatangkan dengan dua warna sama ada hitam atau perak.

Ruang bagasi Land Cruiser 300. – Foto ihsan Toyota

Pembeli Toyota Land Cruiser 2021 dilarang jual semula kenderaan mereka dalam tahun pertama

TOYOTA Land Cruiser kekal popular di beberapa pasaran dan generasi terbaharu LC300 telah pun memperoleh 22,000 unit pra-tempahan di Jepun. Tetapi, Toyota Jepun melarang pemiliknya di sana menjual semula Land Cruiser ini dalam tempoh setahun pertama.

Menurut majalah Jepun, Creative311, pembeli harus menandatangani satu surat perjanjian menunjukkan mereka bersetuju untuk tidak menjual semula Land Cruiser mereka itu.

Dikatakan pemilik tidak dibenarkan menjual semula Land Cruiser mereka dalam tempoh 12 bulan selepas dibeli, dan jika didapati melanggar perjanjian, mereka tidak akan dibenarkan membeli Toyota lagi. Serius betul, mengapa?

Ada beberapa sebab. Paling utama ialah Toyota mahu mengelakkan dari pemilik menjual semula ke pasaran lain yang popular dengan harga lebih tinggi. Toyota mahu SUV ini dibeli oleh mereka yang mahu betul-betul menggunakannya, jadi seorang pembeli hanya boleh beli satu unit Land Cruiser.

Toyota juga berkata, “Terdapat risiko ia mungkin melanggar undang-undang tukaran asing, dan bergantung kepada destinasi eksport, ia boleh menyebabkan masalah yang mengancam keselamatan global.”

Maksud tersiratnya ialah Toyota risau Land Cruiser ini akan digunakan oleh kumpulan pengganas, seperti terbukti pada versi lama yang mana SUV ini dan Hilux menjadi pilihan.

Maka sebab itu, pembeli di Jepun harus mengesahkan pembelian itu bukan bertujuan untuk eksport atau tujuan jualan semula.