Arkib Tag: lamborghini huracan

Lamborghini Huracan Sterrato All-Terrain Edition, 12 unit, semua sudah habis terjual

Supercar dengan elemen off-road bukanlah satu perkara aneh, memandangkan dalam dunia ini terdapat beberapa model yang membawakan tema yang sama, seperti contoh Porsche 911 Dakar dan Lamborghini Huracan Sterrato.

Jenama lembu Itali baru-baru ini melancarkan siri produksi terhad Sterrato yang dinamakan sebagai siri All-Terrain.

 

 

Dihasilkan menerusi program pemperibadian Ad Personam, Lamborghini Huracan Sterrato All-Terrain ini membawakan empat tema dan warna khusus, iaitu NEVE (salji), SABBIA (padang pasir), BOSCO (hutan hijau) dan TERRA (kerikil).

NEVE menampilkan kemasan warna samaran kusam, sementara SABBIA pula mempunyai tona asli yang muncul daripada padang pasir yang panas.

 

 

Tema BOSCO pula lebih ke arah warna hijau pokok dan hutan, manakala TERRA pula membawakan warna yang hangat daripada landskap yang kering dan gersang.

Kesemua tema yang disebutkan itu tadi mempunyai persamaan yang ketara – elemen hitam kusam pada bumbung dan seksyen bawah badan, rel bumbung, cross bar dan rim tempa bersaiz 19 inci.

 

 

Selain itu, setiap satu unit All-Terrain ini menampilkan angkup brek berwarna cerah, diikuti dengan kemasan krom gelap, karbon dan Alcantara pada ruang dalaman.

Huracan Sterrato All-Terrain dikuasakan oleh nadi bentangan V10 5.2 liter berkuasa 601 hp dan 560 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

 

 

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat sementara kelajuan tertinggi adalah sekitar 260 km/j.

Hanya 12 unit sahaja Huracan Sterrato All-Terrain yang akan diproduksikan, di mana kesemua unit telah pun habis dijual kepada pelanggan terpilih daripada tiga pasaran utama, iaitu US & Amerika Latin (ALA), Eropah, Timur Tengah & Afrika (EMEA) dan Asia Pasific & Australia (APAC).

 

Wanita isi minyak Lamborghini sambil rakam video dikecam netizen

SEORANG wanita dikecam pengguna media sosial berikutan tindakannya mengisi petrol sebuah Lamborghini Huracan sambil merakam video menggunakan telefon pintar.

Rata-rata komen mengecam kerana tindakannya itu seolah-olah mengambil ringan faktor keselamatan.

Menerusi video tular di media sosial, wanita itu mahu menunjukkan kepada pengguna jumlah bayaran bagi isian penuh untuk supercar itu “murah je”, iaitu hanya kira-kira RM400.

Lebih tepat lagi, jumlahnya ialah RM446.90 untuk 72.08 liter memandangkan dia mengisi Lamborghini itu dengan petrol prestasi tinggi jenis Shell V-Power yang berharga RM6.20 seliter.

Berdasarkan komen ditinggalkan pengguna media sosial, mereka mengecam perbuatan wanita tersebut, malah mengingatkannya mengenai larangan penggunaan telefon bimbit di stesen minyak.

“Tidak reti fikir bab keselamatan diri, orang lain dan premis minyak. Menyusahkan orang,” kata seorang pengguna laman sosial.

“Bila pergi sekolah, tapi tidak tahu undang-undang. Di stesen minyak tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit,” marah seorang lagi pengguna.