Arkib Tag: Labuan

Shell tak jadi tutup 34 stesen minyak di Sabah tahun depan

MENERUSI satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Jabatan Ketua Menteri Sabah mengesahkan bahawa Shell telah membatalkan rancangannya untuk menutup 34 stesen minyak di Sabah menjelang Januari tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan sama berkata kerajaan negeri mengalu-alukan berita baik itu.

“Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah,” katanya.

Menurut kenyataan itu susulan daripada pengumuman Shell mengenai rancangan penutupan tersebut pada Jun lepas, Hajiji telah bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman untuk membincangkan perkara berkenaan.

Pada Jun lalu, Shell Timur Sdn Bhd selaku pengendali kiosk Shell di Sabah dan Labuan dilaporkan akan menutup 35 stesen minyak yang kurang produktif di kawasan pantai timur bagi mengekalkan prestasi syarikat.

Stesen yang terjejas ialah 10 di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu.

Suntik vaksin Covid-19 secara pandu lalu di Labuan

PENDUDUK Labuan mula menjalani proses penerimaan vaksin Covid-19 secara pandu lalu mulai semalam.

Langkah itu dibuat oleh pihak berwajib bagi melancarkan proses pemberian vaksin kepada penduduk.

Memetik laporan Bernama, lokasi pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu terletak di ruang letak kereta Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada penerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, setakat ini lebih 56,000 penduduk Labuan telah menerima vaksin Covid-19.

“Kami menjangkakan ramai yang akan hadir mulai 8 Julai ini.

“Kebanyakan penerima dos pertama harus mendapatkan suntikan kedua mereka sehampir mungkin dengan selang masa tiga minggu,” katanya.

Ketika ini, terdapat peningkatan jumlah penduduk Labuan mendaftar untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Untuk rekod, 85.3 peratus populasi dewasa telah mendaftar setakat semalam berbanding 40.8 peratus pada 1 Jun lalu.