Arkib Tag: Kulim

Inokom bangunkan kemudahan pengecatan baharu bernilai RM300 juta

Inokom Corporation Sdn Bhd melancarkan kemudahan pengecatan baharu (Paint Shop 3 atau PS3) di kilang Kulim.

Dengan nilai kira-kira RM300 juta, PS3 merupakan antara pelaburan pemasangan automotif terbesar Sime Darby Berhad setakat ini.

Pelaburan ini bertujuan meletakkan Inokom sebagai rakan pemasangan pilihan bagi ekosistem automotif tempatan dan serantau, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing.

Pembangunan PS3 turut mendapat kerjasama rapat daripada pasukan sokongan teknikal Mazda yang menyediakan pemindahan pengetahuan, latihan dan bimbingan teknikal.

Tingkat kapasiti pengeluaran

Kemudahan ini direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun berdasarkan operasi dua syif dan kadar 15 unit sejam.

Selain itu, ia juga mempunyai keupayaan mengecat komponen plastik.

Dengan penambahan PS3, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan Inokom kini meningkat kepada 100,000 unit setahun.

Kemudahan ini turut menyokong pelbagai model kenderaan dan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta memenuhi keperluan masa depan.

Keupayaan automasi

Antara kelengkapan yang wujud pada fasiliti PS3 ini termasuklah:

  • 32 robot pengecat dan pengedap
  • sistem penukaran warna Cartridge Bell (CBS) automatik
  • sistem pra-rawatan dan elektro-pemendapan (PTED) automatik
  • sistem penghantaran bersepadu

Sistem CBS mampu melakukan penukaran warna dalam tempoh masa kurang 10 saat dan menyokong sehingga 27 variasi warna, bertujuan untuk mengurangkan masa henti operasi dan mengurangkan pembaziran.

PS3 turut mengguna pakai proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran (three-coat, one-bake) yang lebih cekap tenaga dan mampu memendekkan masa tanpa menjejaskan kualiti.

Dari segi kelestarian alam sekitar, PS3 menggunakan pendekatan berikut:

  • sistem Regenerative Thermal Oxidiser (RTO) yang mampu mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 60%
  • sistem penapisan dry scrubber untuk mengurangkan keperluan penggunaan air dalam operasi bilik semburan cat
  • penggunaan cat berasaskan air yang lebih mesra alam

Porsche Cayenne CKD ‘buatan Malaysia’ capai unit pengeluaran ke-1000

PORSCHE Malaysia meraikan pencapaian bermakna mereka dengan pengeluaran Cayenne CKD yang ke-1,000. Ya, sebanyak 1,000 unit SUV ‘buatan Malaysia’ itu telah ‘lahir’ dari kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah itu. Porsche mula memasang Cayenne CKD pada Mac 2022 lepas.

“Kami sangat gembira dengan pencapaian Cayenne pemasangan tempatan ini, mengesahkan lagi bahawa SUV Porsche menjadi kegemaran pelanggan kami,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

“Kilang pemasangan tempatan kami di Inokom terus menyokong perkembangan kami, memenuhi permintaan dari peminat kereta sports di Malaysia.

“Pertambahan dalam permintaan ini juga menunjukkan kualiti kami – bukti bahawa Porsche dibina pada standard tertinggi,” tambahnya.

Dari segi luaran, Cayenne CKD dilengkapi lampu LED Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, dan rim RS Spyder bersaiz 21-inci. Tiga pilihan warna badan ditawarkan, dengan kemasan kontra hitam berkilat.

Di bahagian kabin pula, Porsche Cayenne ini didatangkan dengan dua pilihan balutan kulit, BOSE Surround Sound System, tempat duduk dengan pelarasan 14-arah dan tirai untuk tingkap belakang.

Sebagai sebuah SUV yang sporti untuk pemandu tegar, terdapat Porsche Advanced Cockpit untuk maklumat pemanduan serta stereng sports dengan paddleshifters dan Direct Touch Control.

Ia juga dilengkapi Comfort Access, Porsche Communication Management System dengan paparan 12-inci, bantuan parkir ParkAssist, serta sambungan Porsche Connect dan Apple CarPlay.

Porsche Cayenne ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340hp pada 5,300-6,400rpm dan 450Nm tork pada 1,340-5,300rpm.

Porsche Cayenne Malaysia ini juga mendapat personalisasi khas dari aksesori Tequipment yang merangkumi sistem pengangkutan bumbung dengan rak basikal, jaring bagasi, pengalas ruang bagasi, tikar lantai semua-cuaca, dan bekas penjagaan kereta.

Anda yang mahukan lebih eksklusiviti boleh memilih Porsche Exclusive Manufaktur Package. Ini terdiri dari pakej SportDesign, sistem ekzos sports, lampu belakang LED, projektor pintu LED dengan logo Porsche, dan kunci sepadan dengan kereta.

Sime Darby, Porsche mula operasi pemasangan Cayenne di Kulim

SEJARAH baharu tercipta bagi Sime Darby dan Porsche selepas secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan bagi model Cayenne di Kulim, Kedah.

Ia secara tidak langsung juga menjadi operasi pemasangan tempatan pertama yang dibuat di luar Eropah.

Memetik laporan media, pengeluaran model Cayenne ini hanya dikhaskan untuk pasaran Malaysia sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad Group berkata, pihaknya akan terus berusaha memberikan kualiti terbaik kepada para pelanggan.

Selain itu, Datuk Jeffry Salim Davidson turut berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai bersama Porsche.

“Kami berbesar hati dengan kepercayaan berterusan daripada Porsche kepada Sime Darby.

“Pada masa sama kami bertekad menawarkan produk berkualiti Porsche serta prestasi dan pengalaman pemanduan mengujakan,” katanya.

Operasi di Kulim itu turut membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Fasiliti tersebut juga dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sekaligus menyokong pertumbuhan rantaian industri automotif negara.

Porsche turut berharap perniagaannya berkembang di rantau ini malah, menerima penerimaan positif daripada pengguna.