Arkib Tag: Korea

Nombor plat hijau punya pasal, jualan kereta mewah merosot di Korea

JUALAN kenderaan berjenama mewah seperti Bentley, Porsche dan Rolls-Royce dilaporkan jatuh merudum di Korea Selatan.

Ini bukan disebabkan rakyat di sana sudah tidak mampu tetapi peraturan penggunaan nombor plat berwarna hijau untuk kereta syarikat membuatkan ramai tidak senang duduk.

Menurut laporan Korea Times, peraturan itu dikuatkuasakan awal tahun ini oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan bagi menghalang pemilik perniagaan daripada membeli supercar sebagai kenderaan syarikat untuk mengelak daripada membayar cukai.

Di bawah peraturan itu, semua kereta syarikat berharga lebih 80 juta won (RM276,850) dikehendaki menggunakan plat nombor pendaftaran berwarna hijau untuk membezakannya dengan kenderaan persendirian.

Laporan itu berkata, pembeli nampaknya tidak senang duduk kerana orang akan mengetahui kereta mewah yang mereka pandu itu sebenarnya bukan milik mereka. Bukan itu sahaja, plat hijau itu juga akan menarik perhatian pegawai cukai.

Kesan peraturan plat hijau ke atas jualan kereta mewah dan eksotik sangat ketara. Sebagai contoh, pendaftaran kenderaan Bentley di Korea merosot 77% untuk tiga bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jualan Rolls-Royce dan Porsche masing-masing jatuh 35% dan 23%, manakala jualan Lamborghini turun 22 peratus dari Januari hingga Mac.

Menurut Korea Times lagi, tahun lalu kereta syarikat menyumbang 40% kepada jumlah keseluruhan pendaftaran tahun lalu namun tahun ini, angka tersebut turun kepada 28%.

Namun ada pengeluar yang mengatakan kemerosotan jualan itu berpunca daripada faktor ekonomi.

“Memandangkan ekonomi tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan segera, permintaan untuk kenderaan mahal merosot,” kata seorang eksekutif yang tidak dinamakan.

 

Sah! TUDM bakal peroleh 18 unit FA-50 dari Korea Selatan

KOREA Aerospace Industries Co (KAI), pengeluar pesawat dari Korea Selatan, berkata mereka telah menandatangani kontrak bernilai 1.2 trilion won (RM4.08 bilion) untuk membekalkan 18 pesawat pejuang kepada Malaysia.

KAI menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan untuk 18 unit pesawat Fighter-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) FA-50, dengan penghantaran bermula pada 2026.

Pemilihan FA-50 untuk kontrak FLIT-LCA ini bermakna pesawat Korea Selatan itu telah mengalahkan calon-calon dari India (HAL Tejas), Pakistan (JF-17), Rusia (MiG-35), dan Turki (Hurjet).

Ini merupakan kontrak keempat KAI untuk pembekalan pesawat di rantau Asia Tenggara selepas Indonesia, Filipina dan Thailand.

Terdahulu pada Oktober lepas, wakil delegasi Malaysia dikatakan berada di kilang KAI (Korean Aerospace Industries) di Korea Selatan untuk membuat penilain fizikal terhadap pesawat yang menjadi calon akhir itu.

TUDM pada Jun 2021 telah membuka tender FLIT-LCA berkenaan iaitu pesawat pejuang ringan bagi menggantikan barisan BAE Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM yang semakin berusia.

Hyundai Palisade dijual di Malaysia bulan ini, dibuka untuk tempahan

MODEL Hyundai Palisade bakal berada di pasaran Malaysia bulan ini.

Hyundai-Sime Darby Motors berkata, pelanggan berminat boleh membuat tempahan sama ada secara dalam talian atau berkunjung di mana-mana pusat pamerannya seluruh negara.

Palisade merupakan sebuah model utiliti sukan (SUV) dengan tiga baris tempat duduk dengan dua pilihan enjin sama ada petrol atau diesel.

Versi petrol didatangkan dengan enjin 3.8 liter bentangan V6 dual CVVT yang mampu menjana 295 PS dan 355 Nm.

Sementara itu, versi diesel pula didatangkan dengan enjin R2.2 CRDi yang menghasilkan 200 PS dengan daya kilas 440 Nm.

Foto ihsan Hyundai

Rekaan luaran menawan

Tidak dinafikan, Palisade mempunyai rekaan menawan yang mana Hyundai telah menghasilkan lampu utama kelihatan lebih elegan.

Pada masa sama, ia juga didatangkan dengan gril hadapan sedikit besar dan diikuti rekaan lampu belakang jenis menegak.

Foto ihsan Hyundai

Ruang kabin

Ruang kabin Palisade mempunyai ciri-ciri mewah. Ini termasuk pengayaan kerusi yang dibaluti kulit Nappa premium.

Selain itu, sistem One-Touch pada tempat duduk baris kedua antara selling point paling utama. Fungsi ini penting kepada penumpang di kerusi barisan ketiga.

Penggunaan One-Touch membolehkan bahagian kerusi barisan kedua digerakkan untuk memudahkan penumpang di belakang keluar-masuk kenderaan.

Setakat ini, berdasarkan pemerhatian di laman sesawang Hyundai, syarikat itu nampaknya masih merahsiakan harga bagi model Palisade.