Arkib Tag: Korea Selatan

Tesla jual seunit kereta sahaja di Korea pada Januari

DI Malaysia, Tesla nampaknya disanjung tinggi oleh pengguna dan peminat kenderaan elektrik (EV) namun di Korea Selatan, lain pula ceritanya.

Menurut Free Malaysia Today, pengeluar EV dari Texas itu hanya berjaya menjual seunit Model Y pada Januari lalu berikutan kebimbangan mengenai keselamatan, harga dan infrastruktur pengecasan.

Data daripada badan penyelidik yang berpangkalan di Seoul, Carisyou dan kementerian perdagangan Korea menunjukkan penjualan pada bulan itu merupakan prestasi terburuk Tesla sejak Julai 2022.

Menurut Carisyou lagi, jumlah pendaftaran EV baharu di negara itu pada Januari 2023 merudum sebanyak 80% berbanding Disember 2022.

Difahamkan, sambutan untuk EV di Korea Selatan perlahan akibat kadar faedah dan inflasi yang lebih tinggi yang memaksa pengguna untuk mengekang perbelanjaan.

Selain itu, kebimbangan tentang kebakaran bateri dan kekurangan pengecas pantas turut menjadi faktor penyumbang kepada penurunan permintaan EV di sana.

Lee Hang-Koo, ketua Institut Teknologi Konvergensi Automotif Jeonbuk berkata kebanyakan orang Korea yang inginkan keret Tesla sudah pun membelinya.

Malah beliau mendakwa, sesetengah orang Korea tidak menyukai Tesla dan bimbang tentang kualiti pengeluaran selepas mendapat tahu sebahagian daripadanya dibuat di China.

Lee juga berkata bahawa ramai orang mengelak daripada membeli kenderaan pada bulan Januari kerana mereka mahu menunggu pengumuman subsidi daripada kerajaan.

Nak bercuti di Korea Selatan? Jom pam minyak di Petron

Kempen Pam dan Menang Jom Jalan-Jalan anjuran Petron Malaysia kini kembali lagi, kali ini dengan kerjasama Organisasi Pelancongan Korea (KTO) Malaysia serta ONE TV Asia.

Menerusi kempen ini yang bermula 1 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024, pelanggan Petron Miles (P-Miles) berpeluang memenangi percutian percuma ke Korea Selatan dan menyaksikan K-Pop atau K-Drama.

Menurut Petron Malaysia, mereka menyasarkan untuk menganugerahkan 62 pemenang bertuah dengan hadiah menarik yang bernilai lebih RM250,000 dalam tempoh masa sepanjang tiga bulan.

“Kerjasama kami dengan KTO dan ONE TV Asia adalah tepat pada masanya kerana kami berhasrat untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami menerusi pendedahan kepada pengalaman budaya yang memperkaya, lawatan ke lokasi pelancongan yang menarik, hidangan kulinari terbaik ataupun lawatan eksklusif ke studio TV,” kata Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia.

Kempen ini terbuka kepada semua pemegang kad P-Miles dan boleh disertai di lebih 770 stesen minyak Petron di seluruh negara. Dengan pembelian petrol minimum RM50, pemegang kad P-Miles akan mendapat satu penyertaan, manakala pengguna aplikasi mudah alih P-Miles akan mendapat penyertaan lima kali ganda.

Bukan itu sahaja, Petron juga bekerjasama dengan Malaysian Airlines untuk menyediakan dua penyertaan bagi setiap penukaran mata ganjaran Enrich Miles sepanjang tempoh kempen.

Kempen Jom Jalan-Jalan pertama dilancarkan pada tahun 2021 dengan kerjasama Tourism Malaysia, untuk menawarkan pelanggan setia Petron pakej percutian menarik di Malaysia selepas pergerakan terbatas akibat pandemik.

Kemudian, ianya diteruskan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Türkiye pada tahun 2022, di mana pelanggan berpeluang memenangi pakej percutian ke Türkiye melalui Turkish Airlines.

Hyundai, Kia yakin mampu jual 7.08 juta kenderaan berakhir 2021

PENGANALISIS ekonomi percaya Hyundai Motor Co. dan rakan kerjasamanya Kia Corp. bakal mencatatkan keuntungan tinggi pada suku kedua tahun ini.

Ia dipacu permintaan positif bagi kenderaan syarikat terbabit dalam usaha mengimbangi gangguan output kekurangan semikonduktor.

Hyundai serta Kia merupakan pengeluar kenderaan kelima terbesar di dunia dengan penjualan dijangka mencatat keuntungan operasi lebih 1.86 trilion won dan 1.34 trilion won bagi suku berakhir 30 Jun.

Tahun lalu, Hyundai dan Kia mencatat hanya 590 bilion won dan 145 bilion won dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, laporan pakar turut melihat kejayaan Hyundai dan Kia susulan penjualan kenderaan mewah yang kukuh di pasaran Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

“Kombinasi campuran produk yang lebih baik, insentif lebih rendah dan harga jualan purata lebih tinggi di pasaran AS membantu mengimbangi kesan kekurangan cip,” kata penganalisis di Hana Financial Investment Co.

Sejak Januari hingga Jun, Hyundai dan Kia menjual 3.47 juta kenderaan.

Ia meningkat 25 peratus daripada 2.77 juta unit pada tempoh sama tahun lalu.

Tahun ini, dua syarikat gergasi itu membuat unjuran penjualan 7.08 juta kenderaan.

Bagaimanapun, ia sedikit rendah berbanding 7.2 juta unit tahun lalu.

Berdasarkan tinjauan kenderaan utiliti crossover IONIQ 5 milik Hyundai dan model sedan K8 antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Awal tahun 2022, dua model baharu Genesis GV60 SUV dan Kia’s Sportage SUV akan diperkenalkan pula kepada pengguna.

Sembilan maut, rakaman bangunan runtuh atas bas tular

SEKURANG-KURANGNYA sembilan maut apabila sebuah bangunan lima tingkat yang diruntuhkan mengenai bas sedang berhenti berhampiran lokasi kejadian.

Insiden berlaku di bandar Gwangju, Korea Selatan itu turut mencederakan beberapa individu lain.

Portal berita BBC melaporkan, bas tersebut membawa lebih 17 penumpang ketika kemalangan berlaku.

Jurucakap pasukan bomba berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca bangunan terbabit diruntuhkan.

Sementara itu, saksi kejadian berkata insiden berlaku sekelip mata apabila bangunan tersebut runtuh tepat mengenai bas malang berkenaan.

“Saya tidak dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya ketika bangunan tersebut runtuh kerana dilitupi debu tebal.

“Untuk mendapatkan kepastian, saya semak kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati sebuah bangunan runtuh mengenai bas,” kata Yang Ik-je kepada media.

Terdahulu, para pekerja melakukan kerja pemusnahan bangunan mengakui telah menutup kawasan berkenaan sementara waktu bagi tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, rakaman insiden terbabit turut tular di media sosial.

Pada tahun 1995, Korea Selatan pernah berdepan kejadian sama apabila sebuah bangunan pasar raya runtuh dan mengorbankan 500 nyawa.