Arkib Tag: komuter

KTM Komuter akan terima bayaran guna kad kredit, Apple Pay, Samsung Pay

KTM Komuter beberapa hari lepas mengumumkan mereka akan mula menerima pembayaran menggunakan kad debit di stesen Lembah Klang dan Utara.

Ini berikutan pemasangan sistem Pintu Kawalan Automatik (ACG) baharu di stesen-stesen yang menelan belanja RM29 juta selain menyokong sistem pembayaran terbuka.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Buat masa ini, hanya kad debit bank tempatan sahaja yang boleh digunakan di stesen komuter. Tetapi RM30 akan dicaj sebagai nilai pegangan sementara (pre-auth) semasa masuk ke stesen, dengan baki dipulangkan dalam tempoh 1-3 hari selepas harga tambang perjalanan ditolak.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Menurut KTMB, amaun RM30 ini dipegang untuk memastikan dana mencukupi bagi tambang komuter. Ia untuk meliputi harga tambang maksimum dan mengelakkan perjalanan pengguna terganggu akibat baki tidak mencukupi.

Selain kad debit berlogo MyDebit, sistem ACG yang baru di stesen turut menerima pembayaran kad Touch n Go dan kad Komlink sekarang. Pengguna yang mahu menikmati tambang konsesi 50 peratus seperti warga emas, OKU dan pelajar sekolah, boleh menggunakan kad Komlink.

Penerimaan kad kredit, Apple Pay dan Samsung Pay di masa depan

KTMB juga memaklumkan dalam kenyataan terbaharu, ACG akan membolehkan sistem pembayaran terbuka digunakan di stesen komuter.

Tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat kerana memerlukan sambungan ke setiap perkhidmatan pembayaran secara berasingan. Ini untuk memastikan setiap cara pembayaran benar-benar stabil sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Sehubungan itu, pembayaran menggunakan semua jenis kad kredit akan disediakan di stesen KTM pada akhir November 2023, jelas KTM. Ini akan menyediakan lebih banyak pilihan pembayaran dan fleksibiliti kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan KTM.

Di samping itu, KTM juga menyatakan bahawa pembayaran melalui Apple Pay dan Samsung Pay akan dilancarkan di semua stesen KTM pada awal tahun 2024. Ini membolehkan pembayaran yang lebih efisyen dan terbuka untuk kemudahan semua penumpang.

Sesak: Ramai `malas’ naik pengangkutan awam – CEO KTMB

RAMAI warga Lembah Klang merungut apabila hampir semua lebuh raya dan laluan utama sesak tanpa mengira masa sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 pada 1 April lalu.

Kesesakan tersebut dikaitkan dengan sikap orang ramai yang tidak minat menggunakan pengangkutan awam yang didakwa susah dan lambat.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, “Pengangkutan awam seperti tren komuter antara pengangkutan yang jika digunakan secara maksimum mampu membantu mengurangkan kesesakan jalan-jalan di Lembah Klang.”

“Sikap pengguna yang enggan menggunakan pengangkutan awam itu turut memberi kesan kepada rangkaian tren komuter KTMB yang sehingga kini kapasiti setiap tren yang beroperasi tidak penuh.”

Tren KTMB. Gambar oleh KTMB

Menurut beliau, bagi sektor Lembah Klang, setiap hari komuter hanya membawa 21,000 penumpang sedangkan kemampuannya boleh mencapai kira-kira 40,000 penumpang.

“Angka itu menunjukkan ruang penumpang di dalam sesebuah komuter hampir separuh kosong,” ujarnya.

Kata Mohd. Rani, penduduk Lembah Klang dianggarkan berjumlah 2.5 juta orang tetapi mereka yang memilih khidmat komuter sekitar 0.6 juta sahaja dan KTMB kekurangan hampir 50 peratus penumpang setiap hari berbanding 21,000 yang menggunakan komuter.

“Kita sudah mengadakan pelbagai promosi bagi menarik perhatian orang awam untuk naik komuter bagi mengelak kesesakan jalan raya. Namun, orang ramai lebih suka memandu kenderaan sendiri.

“Jika ramai orang awam menggunakan perkhidmatan komuter, saya percaya ia dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya yang sekarang menghantui mereka,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Rani berkata, rungutan mengenai ketibaan komuter di setiap stesen yang mengambil masa lama, ia hanya boleh diselesaikan dalam masa lima tahun akan datang mengikut fasa yang sudah dirancang.

“Kami masih dalam proses mendapatkan frekuensi seperti sebelum Covid-19, kenaikan penumpang akan membebankan dari segi frekuensi selain kami juga masih beroperasi menggunakan satu landasan.

“Frekuensi akan ditambah baik dan dijangka bakal mencapai tujuh minit setiap satu tren yang datang ke stesen berbanding sekarang sekitar 30 ke 45 minit untuk ketibaan sebuah tren,” katanya.

Mohd. Rani berkongsi, untuk perkhidmatan pengangkutan awam komuter yang menggunakan enam set koc di Lembah Klang, pengangkutan tesebut mampu memuatkan sejumlah 856 penumpang termasuk yang duduk dan berdiri.

Komuter terkeluar landasan, 70 penumpang selamat

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan kejadian sebuah tren komuter terkeluar dari landasan berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian terdapat lebih 70 penumpang dalam tren berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan atau orang awam dalam insiden terbabit.

Insiden menyebabkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau menerusi saluran media sosial KTMB.