Arkib Tag: kompaun

JPJ Pulau Pinang buka kaunter pandu lalu, mudah urusan bayar saman

PENDUDUK Pulau Pinang ingin membayar saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh berbuat demikian menggunakan perkhidmatan kaunter pandu lalu.

Perkhidmatan disediakan bermula hari ini sehingga September depan.

Memetik kenyataan JPJ, kaunter pandu lalu bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan malah, mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Urus niaga kaunter pandu lalu yang dilaksanakan itu melibatkan urusan memperbaharui lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian.

“Waktu urus niaga kaunter pandu lalu adalah pada hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Manakala bagi hari Jumaat bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari,” kata Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa.

Setakat ini, lebih 100,000 saman aktif masih belum dilunaskan melibatkan pelbagai kesalahan.

Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, JPJ menawarkan pengurangan kompaun 70 peratus bermula 8 Ogos sehingga 16 September ini.

Namun, pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam dikehendaki hadir ke pejabat JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum urusan pembayaran dilakukan.

Enam individu bayar ‘tiket’ RM4,000 untuk tonton lumba haram di Pekan

ENAM individu terpaksa membayar harga ‘tiket’ mahal apabila dikompaun RM4,000 kerana menonton perlumbaan haram.

Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pihak polis yang membuat rondaan di jalan Kuantan- Segamat di Pekan sekitar jam 12.15 pagi semalam mendapati kesemua mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka.

Individu terlibat juga dikatakan berkumpul di luar kereta dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kompaun dikenakan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (P.U (A) 293_2021).

Polis turut menyita dua buah motosikal dan tiga kereta untuk siasatan lanjut.

Langgar SOP naik kenderaan, 12 warga asing dikompaun RM1,500 di Gemas

Gagal mematuhi peraturan had penumpang kenderaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 12 pekerja warga asing dikompaun RM1,500.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, kesemua yang dikompaun terdiri daripada warga Bangladesh dan India, lapor Bernama.

Jelas Chang Hook, warga asing berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan ketika ditahan polis.

Pada masa sama, polis menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak dikenakan kompaun kerana hanya mengikut arahan majikan.

Pihak polis difahamkan akan memanggil majikan kesemua pekerja berkenaan bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mei lalu, kerajaan mengehadkan hanya tiga individu dibenar berada dalam sebuah kenderaan.

Jumlah itu termasuk termasuk individu yang memandu kenderaan.

Arahan berkuatkuasa bersempena PKP yang dilaksanakan bermula 12 sehingga 7 Jun depan.

JPJ tutup kaunter sehingga 17 Mei, tawaran diskaun saman tetap berjalan

INDIVIDU masih belum melangsaikan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh berbuat demikian dengan kadar segera.

Ini kerana tawaran diskaun 70 peratus masih diteruskan JPJ sehingga 11 Jun depan.

Diskaun diberikan terhadap individu yang dikenakan kesalahan kompaun.

Tawaran diskaun juga dilanjutkan kepada saman yang masih aktif termasuk individu yang telah disenarai hitam.

Mereka disenarai hitam perlu hadir ke pejabat JPJ bagi memudahkan urusan dokumentasi.

Bagaimanapun, pesalah yang mempunyai kes di mahkamah tidak layak menerima diskaun yang ditawarkan.

Sebelum ini, JPJ mengumumkan tawaran diskaun saman sebagai langkah mengurangkan beban orang ramai susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, JPJ turut mengumumkan penutupan semua kaunter seluruh negara bermula jam satu petang ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kaunter JPJ seluruh negara akan beroperasi semula pada 17 Mei (Isnin).

Isu langgar SOP Covid-19: KBS arah SIC tangguh semua kejohanan drag

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) diarahkan menangguhkan sebarang kejohanan drag buat sementara waktu.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan arahan itu berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sewaktu kejohanan perlumbaan MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021, Jumaat lalu.

Penangguhan berkuat kuasa sehingga KBS berpuas hati dengan penilaian semula dan penambahbaikan membabitkan protokol pengurusan venue di SIC.

Bagaimanapun, aktiviti sukan permotoran lain di SIC dibenarkan dan tertakluk kepada kebenaran KBS serta pihak berwajib.

Sementara itu, penganjur MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021 iaitu MUSC Motorsports tidak dibenarkan menganjurkan sebarang kejohanan drag di SIC atau mana-mana litar sehingga diberi kebenaran oleh KBS dan pihak berwajib.

MUSC Motorsports sebelum ini dikenakan kompaun RM20,000 kerana gagal mengawal peserta melaksanakan penjarakan fizikal dan memastikan pengunjung program mematuhi SOP Covid-19.