Arkib Tag: KLCC

Rider didakwa bakar motosikal, skuter elektrik depan KLCC

AZRIL Kamarunzaman didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di luar pusat beli-belah Suria KLCC minggu lepas.

Penghantar makanan berusia 34 tahun ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Azril, Muhamad Ridzuan Umar merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

13 motosikal, 4 skuter elektrik hangus dijilat api depan KLCC

SEBANYAK 13 motosikal dan empat skuter elektrik hangus terbakar dalam kejadian di tempat parkir pusat belah-belah Suria KLCC di ibu negara, semalam (13 April 2023).

Menurut laporan, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.45 petang dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan jentera bantuan dari BBP Keramat dengan kekuatan 15 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Mohd. Iqbal Khan Malek Khan Khan berkata, setibanya pasukan di lokasi kejadian mereka mendapati terdapat kebakaran melibatkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik.

“Pemeriksaan mendapati sembilan motosikal dan empat skuter hangus terbakar manakala empat lagi rosak teruk akibat kejadian itu.

“Operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive untuk memadam kebakaran daripada merebak telah dilakukan,” katanya sambil menambah kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.04 petang.

“Punca dan kerugian kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Bekalan kuasa lima stesen LRT ditutup untuk kerja pembaikan

DUA tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang berdepan kemalangan tempoh hari berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian, awal pagi ini.

Kedua-dua tren terbabit dibawa keluar Team Recovery Rapid Rail sekitar jam 5.24 pagi tadi.

Tren (TR40) selamat sampai ke depoh Subang sementara TR81 dibawa ke depoh Gombak.

Ketika ini, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menumpukan kepada kerja pembaikan landasan di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Bagi tujuan itu, pasukan Prasarana terpaksa menutup pembekalan kuasa untuk seluruh jajaran terlibat dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai.

Terdapat lima stesen terlibat dengan penutupan bekalan kuasa iaitu:

• Stesen Damai
• Stesen KLCC
• Stesen Ampang Park
• Stesen Kampung Baru
• Stesen Dang Wangi

Kelihatan beberapa petugas sedang membaiki laluan tren yang rosak akibat kemalangan.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuat pemeriksaan sebaik kerja pembaikan selesai.

Sementara itu, Prasarana mengesahkan terdapat satu landasan ditutup susulan kemalangan pada Isnin.

Masa perjalanan yang diambil untuk sesebuah tren adalah 16 minit.

Justeru, semua pengguna diminta bersabar dengan sebarang kesulitan yang dihadapi.

Pada malam Isnin lalu, dua tren berlanggar antara satu sama lain di laluan antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Insiden menyebabkan puluhan pengguna cedera dan dikejarkan ke hospital.

Laporan penuh insiden kemalangan dipercayai diperoleh dalam masa terdekat.

Tren LRT bertembung, 47 penumpang parah

DUA tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terlibat dalam satu kemalangan, malam ini.

Memetik laporan media insiden menyebabkan 47 penumpang parah manakala, 166 yang lain cedera ringan.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian melibatkan tren nombor 40 dan 81.

“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan.

“Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” memetik kenyataan itu.

Setakat berita ini dilaporkan, bantuan menyelamat masih diteruskan pasukan paramedik.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Maklumat awal mendapati kedua-dua tren berkenaan bertembung dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Insiden berlaku jam 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang rosak dan sedang dipandu uji.

Sementara itu, beberapa foto dan video tular di media sosial berhubung kemalangan tersebut.

Menerusi foto dan video tular, kelihatan beberapa penumpang mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.

Berita lanjut berhubung kejadian ini akan dilaporkan dari masa ke masa.