Bekalan kuasa lima stesen LRT ditutup untuk kerja pembaikan


DUA tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang berdepan kemalangan tempoh hari berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian, awal pagi ini.
Kedua-dua tren terbabit dibawa keluar Team Recovery Rapid Rail sekitar jam 5.24 pagi tadi.
Tren (TR40) selamat sampai ke depoh Subang sementara TR81 dibawa ke depoh Gombak.
Ketika ini, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menumpukan kepada kerja pembaikan landasan di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.
Bagi tujuan itu, pasukan Prasarana terpaksa menutup pembekalan kuasa untuk seluruh jajaran terlibat dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai.
Terdapat lima stesen terlibat dengan penutupan bekalan kuasa iaitu:
• Stesen Damai
• Stesen KLCC
• Stesen Ampang Park
• Stesen Kampung Baru
• Stesen Dang Wangi

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuat pemeriksaan sebaik kerja pembaikan selesai.
Sementara itu, Prasarana mengesahkan terdapat satu landasan ditutup susulan kemalangan pada Isnin.
Masa perjalanan yang diambil untuk sesebuah tren adalah 16 minit.
Justeru, semua pengguna diminta bersabar dengan sebarang kesulitan yang dihadapi.
Pada malam Isnin lalu, dua tren berlanggar antara satu sama lain di laluan antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.
Insiden menyebabkan puluhan pengguna cedera dan dikejarkan ke hospital.
Laporan penuh insiden kemalangan dipercayai diperoleh dalam masa terdekat.

Seorang Nerd yang berminat dalam dunia automotif serta hal ehwal politik sebagai pengetahuan am.