Arkib Tag: kerusi keselamatan kanak-kanak

Thule perkenal 3 model kerusi keselamatan kanak-kanak di Thule Expo 2026

Jenama gaya hidup aktif terkenal dari Sweden, Thule memperkenalkan rangkaian kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia menerusi Thule Expo 2026.

Acara itu menghimpunkan 180 tetamu termasuk 80 pengedar Asia Pasifik, rakan perniagaan tempatan serta wakil media.

Berikut merupakan perincian ringkas bagi tiga model kerusi keselamatan kanak-kanak yang baharu dilancarkan:

Thule Maple (RM1,990.00)

Maple merupakan kerusi keselamatan untuk bayi baru lahir dan bayi kecil, dengan tumpuan kepada perlindungan serta keselesaan.

Ia menawarkan fungsi rebah dan keserasian dengan kereta sorong Thule bagi memudahkan peralihan antara perjalanan dalam kenderaan dan aktiviti di luar.

Thule Elm (RM2,890.00)

Elm pula ialah kerusi keselamatan premium untuk kanak-kanak kecil yang dilengkapi fungsi putaran 360 darjah.

Ia menyokong penggunaan menghadap belakang untuk tempoh lebih lama serta menawarkan beberapa posisi rebah bagi memudahkan rutin harian keluarga.

Thule Palm (RM1,790.00)

Palm merupakan kerusi booster berpenyandar tinggi yang memenuhi piawaian i-Size, dibangunkan dengan pendekatan bahawa keselesaan menyumbang kepada keselamatan.

Ciri utamanya termasuk panduan laluan tali pinggang keledar yang mudah digunakan dan sambungan ISOFIX untuk kestabilan.

Rekaannya turut dioptimumkan bagi membolehkan sehingga tiga kerusi dipasang sebaris di tempat duduk belakang, bergantung pada model dan ruang kenderaan.

Thule Alfi (RM1,990.00)

Melengkapkan rangkaian ini ialah Thule Alfi, tapak kerusi keselamatan ISOFIX yang serasi dengan Thule Maple dan Thule Elm.

Direka untuk memudahkan ibu bapa, Alfi menyediakan panduan pemasangan yang membantu memastikan kerusi dipasang dengan betul dan selamat.

Sistem sambungannya turut membolehkan kerusi dipasang dengan cepat dan mudah.

Produk lain turut dipamerkan

Selain produk kerusi keselamatan kanak-kanak, Thule turut mempamerkan variasi produk gaya hidup aktif termasuklah:

  • kereta sorong bayi
  • beg galas
  • beg bagasi
  • kotak bumbung kenderaan
  • khemah bumbung
  • rak pembawa basikal

BMW Group Malaysia serah 90 kerusi keselamatan kanak-kanak kepada keluarga B40

BMW Group Malaysia baru-baru ini menyerahkan 90 kerusi keselamatan kanak-kanak bersubsidi sepenuhnya kepada keluarga dalam komuniti B40 menerusi Program Subsidi NEXTStep.

Dilancarkan pada Mei lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°, program itu bermatlamat untuk memberi tumpuan terhadap kepentingan keselamatan jalan raya bagi kanak-kanak dengan menjadikan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih mudah untuk diakses bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Program subsidi ini dibuka kepada pasangan yang bakal menimang cahaya mata serta keluarga yang memiliki anak dengan berat 36 kg ke bawah, dan dengan pendapatan isi rumah bulanan bawah RM3,500.

Menurut BMW Group Malaysia, lebih 900 pendaftaran telah diterima sepanjang tempoh permohonan tersebut dibuka. Ini membuktikan betapa pentingnya keperluan akses ke atas kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Dalam majlis penyerahan itu, penerima diberikan tunjuk ajar mengenai cara pemasangan dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak menerusi demonstrasi yang dijalankan oleh sekumpulan Pengajar Keselamatan Penumpang Kanak-Kanak (COSI) daripada Safe ‘n Sound.

Sejumlah 12 kerusi keselamatan kanak-kanak telah diserahkan semasa acara tersebut, dan bilangan yang berbaki telah diserahkan kepada ibu bapa yang menetap di dalam dan di luar kawasan Lembah Klang.

Kerusi keselamatan kanak-kanak bersubsidi penuh yang dibekalkan meliputi model-model seperti snskidz Ace (Infant Carrier) snskidz sport (Convertible Seat), snskidz Whizz (ISOFIX Seat), snskidz Proto (Combination Booster) dan mifold (Booster Seat), yang masing-masing lazimnya disediakan pada harga runcit bernilai RM 199, RM279, RM 499, RM 399, dan RM199.

BMW Group Malaysia memulakan program subsidi yang pertama melalui inisiatif BMW Safety 360° pada 2019. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 25,000 pendaftaran. Sehingga kini, lebih 400 keluarga telah menerima kerusi keselamatan kanak-kanak bersubsidi, termasuk penerima Program Subsidi NEXTStep.

Permohonan subsidi kerusi kanak-kanak dibuka bermula 1 Mac

BERITA penting untuk golongan ibu bapa yang sedang merancang mendapatkan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Seperti diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2022 tahun lalu, ibu bapa berminat mendapatkan subsidi bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak boleh berbuat demikian bermula 1 Mac ini.

Memetik laporan The Rakyat Post, ibu bapa boleh membuat permohonan menerusi laman web www.mycrs.gov.my.

Bagaimanapun, tidak semua layak menerima subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 itu.

Berdasarkan syarat ditetapkan, pemohon mesti berada dalam kategori isi rumah B40 dan berusia 21 tahun ke atas.

Pemohon juga perlu menetap di Malaysia dan mempunyai anak atau anak angkat berusia 12 ke bawah.

Sebagai makluman tambahan, sebuah keluarga hanya layak memohon satu permohonan subsidi sahaja.

Setiap pemohon boleh menyemak keputusan permohonan bermula 1 April 2022.

Pembelian kerusi keselamatan hanya terhad kepada kedai diluluskan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Setakat ini, masih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan penerangan mengenai kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Ramai kalangan ibu bapa kurang memberi perhatian mengenai keperluan kerusi keselamatan kanak-kanak dan salah satu alasan diberikan adalah kerana harganya agak mahal.

Bagi mengetahui lanjut mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak, saksikan video yang pernah kami sediakan sebelum ini.