Arkib Tag: kereta peronda

Perodua serah tujuh unit Ativa & dua unit Aruz kepada dua IPD di Selangor

Perodua baru-baru ini menyerahkan sembilan unit kenderaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Langat dan KLIA.

Ia terdiri daripada tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz.

Sumbangan kenderaan tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perodua.

Penyerahan kenderaan dibuat secara berperingkat bermula April lalu, di mana tiga unit Perodua Ativa disumbangkan kepada IPD Hulu Selangor.

Baki enam unit kenderaan diserahkan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 12 Oktober 2026.

Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Kami menghargai peranan polis dalam menjaga keselamatan negara serta memuju pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan usaha pihak polis untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Sejak 2019, Perodua telah menyumbang sebanyak 21 unit kenderaan kepada beberapa IPD di Selangor.

Perodua sebelum ini telah menyerahkan dua unit Bezza (pada 2019), empat unit Myvi (2022) serta enam unit kenderaan pelbagai model pada tahun 2024.

PDRM terima dua unit MPV Peugeot 408 untuk ujian penilaian

Siapa sangka, crossover sedan yang nampak garang ini sudah pun menjadi sebahagian daripada armada kereta peronda (MPV) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, usah bergembira terlalu awal, kerana dua unit Peugeot 408 yang diserahkan oleh Peugeot Malaysia ini merupakan unit yang dipinjamkan kepada PDRM untuk tujuan penilaian dalam dunia sebenar.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, unit yang dipinjamkan itu merupakan varian Allure.

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 memiliki tanda harga bermula dari RM146,055, dan dikuasakan oleh enjin Puretech 1.6 liter turbo menghasilkan 218 PS dan 300 Nm.

Buat masa ini, pihak PDRM mempunyai armada kereta peronda yang terdiri daripada sedan segmen C Honda Civic generasi FC dan juga FE.

 

 

View on Threads

 

Kenderaan polis iring trak tunda potong di garisan berkembar, ini penjelasan Pemangku Ketua Polis Kelantan

POLIS Kelantan mengesahkan video kejadian sebuah kenderaan pengiring polis mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memotong di garisan berkembar yang tular di media sosial sejak semalam berlaku di Jalan Gua Musang-Kota Bharu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menjelaskan, kenderaan pengiring tersebut telah memberi amaran atau peringatan secukupnya dengan membunyikan siren dan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya lain.

Tegasnya, selain itu, berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai perkara itu kerana kenderaan tersebut mempunyai pergerakan dan arahan yang sah untuk mengiringi ketiga-tiga kenderaan berkenaan.

“Persoalan orang ramai mengenai video yang tular adalah kereta pengiring itu mengundang bahaya. Sebenarnya, kereta pengiring itu menjalankan tugas mengatur dan mengawal mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.

“Ini bermakna, pengguna jalan raya yang lain perlu memberi kerjasama sama ada memperlahankan kenderaan, memberi laluan kepada kereta pengiring atau berhenti bagi mengelakkan sesuatu berlaku.

“Kenderaan pengiring ada peraturan tersendiri malah mereka tidak boleh sewenang-wenangnya kerana sedang bertugas. Saya tidak menyalahkan sesiapa, namun mungkin ramai yang masih keliru dengan perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berharap pengguna jalan raya sentiasa memberi kerjasama apabila berdepan dengan kenderaan pengiring polis di jalan raya. Ini kerana tugas kenderaan pengiring tidak seperti pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, tular rakaman video dashcam berdurasi 11 saat di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan polis pengiring yang memotong di garisan berkembar sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Menerusi video itu, kenderaan itu sedang mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memasuki lorong bertentangan dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kenderaan lain terpaksa mengelak ke tepi jalan.

Insiden itu menyebabkan ramai yang mengecam tindakan bahaya kenderaan pengiring polis yang dilihat membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Polis Perancis mula terima kereta peronda Alpine A110

KIRA-KIRA enam bulan yang lalu, Kementerian Dalam Negeri Perancis menyatakan minat untuk mendapatkan kereta baharu untuk pasukan polis negara itu.

Setelah melalui proses rundingan, Alpine akhirnya dipilih untuk membekalkan kereta sport dua tempat duduk mereka iaitu A110.

Daripada 26 unit yang ditempah, dua telah pun diserahkan kepada polis Perancis baru-baru ini, manakala baki selebihnya akan dihasilkan dalam tempoh empat tahun. Penghantaran unit-unit selebihnya ini dijangka bermula awal tahun hadapan.

A110 akan digunakan oleh pasukan Gendarmerie untuk tugas-tugas campur tangan pantas (rapid intervention), kejar-mengejar dalam operasi narkotik dan juga misi-misi lain yang sesuai.

Berbeza dengan Police Nationale yang menjaga Paris dan bandar-bandar besar lain, Gendarmerie merupakan pasukan polis Perancis yang bertanggungjawab ke atas bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang dari 20,000 orang.

Berbalik kepada A110 itu, setiap unit didatangkan dalam warna biru gelap, dengan pelekat reflektif, tulisan ‘Gendarmerie’ pada bahagian depan, sisi dan belakang, serta slogan dalam bahasa Perancis yang bermaksud “Komitmen Kami, Keselamatan Anda”.

Sudah tentu, sebagai kereta polis, ia dilengkapi dengan lampu siren berwarna biru di atas bumbung. Apa yang menarik, A110 didatangkan standard dengan rim berukuran 17-inci namun untuk pembelian ini, kerajaan Perancis memilih untuk mendapatkan rim 18-inci.

Ruang dalamannya pula seperti yang boleh dijangka dengan mana-mana kereta jabatan penguatkuasa. Ia telah dinaik taraf dengan sistem radio polis dan juga tablet untuk memberikan akses kepada pengkalan data.

Bagaimanapun, tiada sebarang penambahbaikan diperlukan untuk enjinnya. Ini kerana A110 sudah cukup berkuasa, dengan 252PS dan 320Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 1.8-liter empat silinder.

Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.

Sebagai pengeluar kenderaan dari Perancis, ini bukanlah kali pertama Alpine atau Renault Group dipilih sebagai pembekal kereta untuk pasukan polis negara itu.

Model asal A110 pernah menjadi kenderaan Rapid-Intervention Brigade yang pertama pada 1966, diikuti dengan A310 dan Renault 18 Turbo serta beberapa lagi model lain.