Arkib Tag: kereta klasik

Heritage Motor Exchange Asia 2026 bakal pamer 50 kereta klasik di WTC KL

Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada penganjuran sulung Heritage Motor Exchange Asia 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.

Bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), acara ini bakal menghimpunkan sehingga 50 kereta klasik dan koleksi eksklusif dari seluruh rantau Asia.

Bertemakan When Passion Meets Acquisition, acara ini bukan sekadar pameran automotif, malah menyediakan platform jual beli kereta koleksi dengan sistem penilaian lebih telus.

Tarikan utama

Antara tarikan utama ialah pengenalan 100-Point Concours Judging System, iaitu sistem penilaian 100 mata bagi menentukan kondisi, ketulenan komponen dan anggaran nilai pasaran sesebuah kenderaan.

Setiap kenderaan yang dinilai akan menerima sijil penilaian rasmi, manakala kereta terpilih untuk jualan akan memaparkan julat harga pada cermin hadapan.

Sebanyak enam kategori kenderaan bakal dipamerkan iaitu Vintage, Classic, Modern Classic, Contemporary Exotic, Luxury dan Performance.

Acara ini turut menampilkan lima segmen utama:

  • Concours de Vente – Pameran dan penilaian kereta koleksi untuk jualan.
  • Concours d’Elegance – Pengiktirafan terhadap reka bentuk, sejarah dan restorasi kenderaan.
  • Private Consignment Paddock – Platform jual beli kereta koleksi.
  • Back From the Future – Penampilan robot humanoid Mornine daripada AiMOGA.
  • Historic Motorsport – Pameran kereta lumba dan rali ikonik sejak 1970-an.

Selain itu, Cycle & Carriage turut menyertai acara ini sempena memperingati hubungan 75 tahun bersama Mercedes-Benz di Malaysia dan Singapura.

JPJ dan PUSPAKOM juga akan hadir bagi menyokong urusan pemeriksaan kenderaan, pertukaran hak milik serta dokumentasi berkaitan.

Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Dewasa: RM23
  • Pelajar: RM16
  • Warga emas dan OKU: RM13
  • Pakej tiga orang: RM66
  • Kanak-kanak bawah 12 tahun: Percuma

Acara dibuka kepada orang awam pada 23 Oktober bermula jam 1 tengah hari hingga 10 malam, manakala 24 dan 25 Oktober dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Tiket boleh dibeli menerusi CloudJoi atau terus di lokasi acara.

Auto Bavaria perkenal pakej servis khas untuk BMW, MINI berstatus klasik

AUTO Bavaria muncul sebagai pengedar pertama di Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan khas untuk kenderaan BMW dan MINI yang telah mencapai status klasik.

Perkhidmatan berkenaan disediakan di pusat pengedar Auto Bavaria Ara Damansara bermula 26 November 2023, khusus untuk memenuhi keperluan peminat kereta klasik.

Menurut syarikat itu, inisiatif ini membuktikan komitmennya untuk meneruskan legasi kenderaan-kenderaan yang tidak lenyap ditelan zaman.

Kumpulan BMW mentakrifkan kereta klasik sebagai kenderaan yang telah melebihi umur 15 tahun dari tarikh siri pengeluaran terakhir model, yang lazimnya berlaku selepas kitaran hayat tujuh tahun model tersebut.

Auto Bavaria menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh dengan dua ruang servis dan pasukan khas yang terdiri daripada dua juruteknik, seorang penyelia dan dua penasihat servis diperuntuk khusus untuk kereta klasik BMW dan MINI.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penyenggaraan servis, pembaikan komponen, baik pulih dan penggantian.

Untuk menjamin ketulenan dan kualiti perkhidmatan, Auto Bavaria membeli alat dan aksesori terus daripada BMW Jerman. Jika alat khusus tersebut tidak lagi dikeluarkan, pusat pengedar ini akan mencari sumber alternatif terus daripada pembekal OEM sambil mengekalkan piawaian kualiti yang ketat.

Semua rekod servis akan dicatatkan dengan teliti di dalam buku servis kereta klasik BMW, memastikan sejarah lengkap penyenggaraan dan pembaikan semuanya disimpan di dalam sistem Auto Bavaria.

Bagi membuat temu janji, pelanggan boleh mendapatkan slot menerusi saluran servis biasa Auto Bavaria. Mereka yang berminat boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Auto Bavaria di 1300-13-3338 atau kunjungi cawangan Ara Damansara untuk pertanyaan lanjut.