Arkib Tag: kempen panggil semula

8,878 unit Chery Omoda 5 terlibat dalam kempen panggil semula terbaharu

Chery Auto Malaysia mengesahkan sejumlah 8,878 unit Omoda 5 (varian C & H) terlibat dalam kempen panggil semula terbaharu.

Pemilik kenderaan boleh menyemak status masing-masing dengan memasukkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) di laman web rasmi Chery Malaysia.

Semua kenderaan yang terlibat dalam kempen ini layak menerima pemeriksaan dan penggantian komponen secara percuma.

Ia boleh dibuat di mana-mana pusat servis sah Chery di seluruh negara.

Dalam pada itu, Chery Malaysia juga sedang berusaha mempercepatkan penghantaran komponen gantian dan pengedaran akan dibuat secara berperingkat.

Chery Malaysia umum kempen panggil semula untuk model Omoda 5

Chery Auto Malaysia mengumumkan kempen panggil semula untuk model SUV Chery Omoda 5 susulan insiden yang berlaku di Johor Bahru minggu lalu.

Kempen terbaharu ini melibatkan varian C & H di mana pihak Chery akan menjalankan pemeriksaan dan menggantikan komponen yang terkesan sekiranya perlu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Chery Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam siasatan berkaitan perkara tersebut.

Semakan nombor VIN boleh dibuat menerusi laman web rasmi Chery Malaysia. Kos pemeriksaan dan penggantian komponen akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Chery.

Terdahulu, pihak JPJ telah menggantung sementara sijil kelulusan jenis kenderaan (VTA) bagi model Chery Omoda 5, serta menangguhkan pendaftaran baharu sehingga siasatan teknikal selesai.

Dalam pengumuman yang dibuat Ahad lalu, pihak JPJ mahukan Chery Malaysia mengenal pasti unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan perkara berikut:

  • nombor komponen
  • kelompok pengeluaran
  • nombor casis (VIN)
  • parameter teknikal berkaitan

Pihak JPJ juga akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan merangkumi:

  • pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP)
  • sistem kawalan kualiti
  • prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan
  • tahap keselamatan komponen yang digunakan

Untuk makluman, model Chery Omoda 5 yang terjejas itu tidak lagi dijual di pasaran Malaysia.

Ini kerana pihak Chery Malaysia telah mengumumkan model pengganti facelift yang dinamakan sebagai Chery O5.

Chery O5 facelift kini menggunakan tetapan suspensi belakang jenis multi-link dan tidak langi menggunakan tetapan torsion beam seperti model Omoda 5.

Mforce umum kempen panggil semula gantikan lengan ayun Keeway XDV180 Evo

Keeway Malaysia mengumumkan pelaksanaan kempen panggil semula melibatkan model skuter Keeway XDV180 Evo.

Panggilan semula ini bertujuan untuk menggantikan komponen lengan ayun (swingarm) kepada komponen baharu yang dipertingkatkan.

Difahamkan sebanyak 5,000 unit skuter terbabit dalam kempen panggil semula terbaharu ini.

Pemilik Keeway XDV180 Evo boleh membuat semakan status motosikal masing-masing menerusi pautan https://productrecall.mforceservice.my/

Sekiranya tersenarai, pemilik boleh terus berhubung atau berkunjung ke pengedar sah di mana pembelian asal dibuat untuk mengatur jadual temu janji penggantian.

Pihak Mforce turut mengesahkan proses penggantian ini akan dilaksanakan secara percuma termasuklah kos alat ganti baharu dan kos upah.

Masalah stereng, Honda USA panggil semula 1.7 juta kenderaan

Di Amerika Syarikat, Honda dan Acura melaksanakan kempen panggil semula melibatkan sejumlah 1,693,199 unit kenderaan, menurut laman Automotive News.

Berdasarkan info daripada agensi NHTSA, terdapat masalah pada proses pemasangan komponen stereng yang mengakibatkan berlakunya geseran dalaman yang berlebihan.

Keadaan ini boleh menyebabkan sesetengah pemilik berdepan kesukaran untuk mengendalikan kenderaan.

Honda mengesyaki masalah rak stereng tersebut hanya melibatkan satu peratus kenderaan sahaja, atau sekitar 17,000 unit daripada jumlah yang dipanggil semula.

Masalah pada stereng ini mula dikesan sejak September 2021, di mana sehingga kini sebanyak 10,328 tuntutan waranti telah diterima oleh Honda.

Agensi NHTSA turut menerima 13 laporan kemalangan berkaitan dengan masalah stereng, termasuk 11 kes yang diadu oleh pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik. Mujur tiada sebarang insiden kecederaan dilaporkan.

Antara model yang terjejas termasuklah Acura Integra (model tahun 2023-2025), Honda Civic (2023-2025, termasuk model hibrid), Honda Civic Type R (2023-2025), Honda CR-V (2023-2025 termasuk CR-V FCEV 2025) dan juga Honda HR-V (2023-2025).

Honda USA merancang untuk menggantikan komponen worm gear spring dengan komponen baharu, dan menambah gris untuk mengurangkan geseran pada setiap kereta yang dipanggil semula tanpa sebarang kos tambahan.

1.6 juta EV Tesla dipanggil semula di China, kemaskini fungsi Autopilot

Pihak berkuasa China mengarahkan Tesla untuk memanggil semula kira-kira 1.6 juta kenderaan elektrik di negara tersebut.

Tindakan panggil semula itu bertujuan untuk mengemaskini semula fungsi berkaitan bantuan pemanduan Autopilot bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Ini kerana sistem Autosteer yang terdapat dalam fungsi Autopilot mudah untuk disalahguna oleh kebanyakan pemandu Tesla.

Penyelesaiannya ialah dengan menambah amaran berbentuk audio dan visual sewaktu fungsi tersebut diaktifkan atau dimatikan.

 

Menurut laporan Reuters, kempen panggil semula itu melibatkan semua model Tesla yang dijual di China, termasuklah Tesla Model S, Model X, Model 3 dan Model Y.

Fungsi Autopilot itu akan ditambah baik menerusi kemaskini over-the-air (OTA), di mana pemilik tidak perlu menghantar kereta masing-masing ke pusat servis Tesla.

Sementara itu, Tesla turut mengemaskini perisian penguncian pintu melibatkan 7,538 unit Model S dan Model X di China, disebabkan kebimbangan pintu yang boleh terbuka secara automatik sewaktu kemalangan.