Arkib Tag: Kancil

Perodua Kancil The Grasshopper jentera drag dengan kos modifikasi RM75k

BAGI peminat sukan perlumbaan drag, Perodua Kancil masih menjadi buruan kerana beberapa faktor seperti harga alat ganti yang masih berpatutan dan casis yang ringan.

Dipadankan dengan enjin yang telah dimodifikasi, ia memberikan prestasi keseluruhan yang menarik untuk sukan ini.

Kancil berwarna hijau ini dimiliki oleh saudara Che Mat dari CMT Garage Performance. Diberi nama The Grasshopper, modifkasi dan naiktaraf jentera ini dibuat olehnya sendiri dan dibantu tenaga kerja CMT Garage Performance.

Proses pembentukan semula casis boleh dikatakan agak ekstrim, melibatkan kerja-kerja pemotongan dan pematerian pada bahagian-bahagian tertentu bagi mendapatkan berat yang minima. Roll-cage kustom juga ditambah untuk mengekalkan keteguhan casis.

Di bahagian enjin pula, bloknya ditukar sebelum melalui proses rebore dengan memasukkan omboh Wilson Forged. Ia kemudian diberikan intake manifold dari Velocity, throttle body Mitsubishi Evo 3, paip intercooler jenis stainless steel, dan injap blow-off Tial Sport 50mm.

Pelaras bahan api adalah dari AVS dan kesemua ini disempurnakan dengan sistem ekzos saluran terus bersaiz 3-inci. ‘Otak’ kepada sistem enjin adalah ECU Link Monsoon manakala kotak gear jenis dogbox dibangunkan khas oleh Che Mat sendiri.

Untuk menyalurkan kuasa ke jalan dengan sebaiknya, Kancil The Grasshopper ini dipasang dengan suspensi Traction Pro, dan tayar slick Mickey Thompson serta rim bersaiz 13-inci.

Akhir sekali, ruang kabin dipasang dengan meter tambahan Racedash, stereng OMP, dan beberapa komponen keselamatan penting untuk perlumbaan.

Pembangunan Kancil hijau ini menelan belanja hampir RM75,000 dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

Pencapaian terbaik The Grasshopper ialah 7.5 saat untuk drag 200 meter kategori 2WD Pro Drag.

Berminat membina dan kustom sendiri jentera drag anda? Boleh hubungi dan CMT Garage Performance dan berbincang dengan saudara Che Mat.

Gambar oleh: Raziman Sipico

Perodua Kancil bawa durian terbakar, tiga sekeluarga nyaris maut

SEBUAH Perodua Kancil yang membawa muatan buah durian musnah dalam kebakaran di Jalan Changkat Lada-Pasir Salak semalam.

Tiga sekeluarga yang menaiki kereta tersebut bagaimanapun dapat keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Gambar: Facebook

Difahamkan, Kancil yang dipandu lelaki berusia 30-an bersama anak lelaki dan ibunya itu dalam perjalanan dari kebun berhampiran menuju ke rumah mereka di Felcra Changkat Lada.

Gambar: Facebook

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampong Gajah, Qyairul Eqwan Suib berkata, maklumat kejadian itu diperoleh pihaknya pada pukul 7:50 pagi.

Menurut Qyairul, kebakaran melibatkan sebuah kereta di mana tiga sekeluarga sempat menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kereta dinaiki mereka musnah terbakar 80 peratus bersama durian yang dibawa.

“Operasi pemadaman segera dijalankan dan operasi tamat pada pukul 9 pagi. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

MP Kepong lapor DBKL, Kancil ‘legend’ tunggu masa kena tunda

Tindakan seorang lelaki yang masih memandu keretanya di jalan raya walau kenderaan itu sudah remuk teruk mendapat perhatian Ahli Parlimen Kepong.

Lim Lip Eng berkata, satu aduan telah dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan itu.

Menerusi hantaran di Twitter semalam, Lip Eng berkata DBKL telah mengenalpasti lokasi kereta jenis Perodua Kancil itu sebelum mengambil tindakan sita.

“Pihak pejabat saya sudah melaporkan kepada DBKL berkenaan kereta Kancil ‘legend’ ini.

“Mereka sudah tahu lokasinya. Sekarang tunggu masa untuk tunda.

“Tak boleh ‘Mat’, bahaya sangat kalau dibiarkan kat jalan. Tayar yang elok pun tinggal satu je adoi,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sebuah kereta Kancil yang masih berada di jalan raya dalam keadaan remuk.

Orang ramai turut mempersoalkan bagaimana kenderaan itu masih boleh dipandu tanpa diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Jelas mereka, agak mustahil kenderaan itu tidak pernah bertembung dengan pihak berkuasa.

Ia kerana terdapat bilangan sekatan jalan raya yang banyak seluruh negara ketika ini bagi mengawal kenderaan susulan Covid-19.