Arkib Tag: jesko

Koenigsegg Jesko tampil dengan badan gentian karbon, trim emas 24 karat

KOENIGSEGG Jesko diperkenalkan pada 2019 sebagai pengganti kepada Agera. Megacar Sweden ini dinamakan sempena nama Jesko von Koenigsegg, bapa kepada pengasas dan CEO, Christian von Koenigsegg.

Menurut Koenigsegg, pengeluaran Jesko dihadkan kepada 125 unit sahaja. Dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini, syarikat itu telah mendedahkan unit terbaru yang dihasilkan.

Pemilik Jesko ini dikatakan mendapat inspirasinya daripada sebuah Agera RS ‘Pheonix’ yang dibina khas untuk mogul hartanah terkenal Amerika Syarikat iaitu Manny Khoshbin.

Seperti Pheonix, setiap panel badan Jesko ini diperbuat daripada gentian karbon diselaputi lapisan clear coat untuk efek berkilat, dengan trim emas 24 karat pada beberapa bahagian termasuk canard depan, lengan cermin sisi, bonet dan bampar depan, sirip skirt sisi dan endplate spoiler.

Bukan itu sahaja, logo Koenigsegg dan bumbung turut dihiasi dengan trim emas, menandakan ia bukanlah sebuah Jesko biasa-biasa.

Jentera ini merupakan varian Attack yang ditala khusus untuk prestasi di litar lumba, seperti yang boleh dilihat pada komponen-komponen aerodinamik yang ditambah untuk meningkatkan downforce termasuk splitter depan, serta diffuser dan spoiler yang lebih agresif.

Di samping Attack, Jesko juga boleh didapati dalam varian Absolut yang secara teorinya boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 480 km/j. Varian ini tidak mempunyai spoiler.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin twin turbo 5.0 liter V8 yang boleh menghasilkan kuasa mencecah 1,280 hp dengan petrol biasa atau 1,600 hp dengan bahan api E85.

Dengan transmisi multi clutch sembilan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang 2.5 saat.

Koenigsegg CC850 ini ialah kereta manual terpantas dan paling berkuasa di dunia – 1,385hp

SEDAR-sedar sudah 20 tahun berlalu sejak Koenigsegg CC8 mula memasuki pasaran. Legasi ini diteruskan dengan Koenigsegg CC850, hypercar moden yang nampak mirip kereta asal yang dikeluarkan pada 2002.

Walaubagaimanapun, di bawahnya sangat berbeza, termasuk kotak gear manual 9-kelajuan. Sekejap, biar betul?! Ya, anda tak salah membaca.

Kami akan terangkan selepas ini. Apa pun, beberapa angka. Koenigsegg berkata enjin pada CC850 ini adalah unit 5.0-liter V8 twin-turbo dari Jesko, dan ia menjana 1,385hp dengan bahan api E85.

Dengan petrol biasa, kuasanya menurun sedikit kepada 1,185hp. Tork pula adalah 1,385Nm dan menariknya, berat hypercar ini juga 1,385kg.

Baik, untuk kotak gear tadi. Sama seperti enjin dari Jesko, kotak gear juga dari model ini, yang merupkan “Light Speed Transmission”.

Di dalam kabin, tombol gearnya menampilkan rekaan gated shifter tetapi sedikit berbeza dari Jesko yang merupakan transmisi automatik sequential. Bagi CC850, terdapat pedal klac, bermakna kotak gear ini perlu anda tukar sendiri.

Walaubagaimanapun, ianya bukan sistem manual tradisional. Koenigsegg memasang sistem lebih moden untuk manual ini.

Hasilnya, sebuah kereta yang Koenigsegg gelarkan sebagai – TWMPAFMPC. Fuh, apa maksudnya? The World’s Most Powerful And Fastest Manual Production Car.

Dalam mod manual, CC850 boleh dipandu seperti kereta biasa. Klac perlu ditekan untuk menukar gear, dan jika anda melepaskan klac terlalu laju seperti anda lakukan pada Perodua Axia semasa di sekolah memandu, enjinnya akan termati.

Hanya enam kelajuan dari sembilan gear boleh digunakan pada satu-satu masa, dan gearnya bergantung kepada mod pemanduan. Hanya mod tertentu yang akan membolehkan anda akses kepada semua sembilan gear.

Untuk prestasi, Koenigsegg belum bersedia untuk mendedahkan sebarang angka. Dengan kuasa sedikit rendah berbanding Jesko, ia bukanlah jentera yang akan memecahkan rekod kelajuan tertinggi dunia.

Tetapi dengan lebih dua kali ganda kuasa dari CC8S asal, ia tidaklah perlahan juga.

Hanya 50 unit Koenigsegg CC850 akan dibina, sempena ulang tahun ke-50 pengasas jenama Sweden itu, iaitu Christian von Koenigsegg.