Arkib Tag: jalan glow in the dark

Jalan ‘glow in the dark’ 3 kilometer di Kedah, terpanjang di Malaysia

NAMPAKNYA Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mula menggunakan teknologi garisan jalan glow in the dark di seluruh negara.

Selepas Semenyih, teknologi itu kini dilaksanakan pula di Padang Sanai di Padang Terap, Alor Setar. Ia merupakan lokasi yang pertama bagi negeri Kedah.

Menurut Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, garisan jalan itu adalah sepanjang tiga kilometer, menjadikannya garisan jalan glow in the dark terpanjang di Malaysia.

“Alhamdulillah, siap dipasang di jalan Padang Sanai/ Durian Burung. Terima kasih Pegawai Kewangan Negeri yang meluluskan peruntukan ini.

“Terima kasih Jabatan Kerja Raya Padang Terap/Pokok Sena yang berusaha keras untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau memaklumkan, projek garisan jalan yang siap dibina pada Selasa lepas berkenaan memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Foto: Facebook Hj Munir Mohamad Yusoff

“Cahaya matahari dikumpulkan dan apabila waktu malam (maka) akan nampak satu garisan yang terang-benderang melalui kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 oleh Pegawai Kewangan,” katanya.

Beliau menambah, Kedah adalah negeri yang mempunyai sumber cahaya matahari tertinggi sekali gus sesuai untuk pelabur mengusahakan ladang solar.

Apa yang menarik, Kedah juga memiliki kelebihan lain iaitu hanya memerlukan lebih empat jam untuk menyimpan tenaga solar berbanding negeri lain yang memerlukan enam jam.

Dalam perkembangan sama, JKR Padang Terap/ Pokok Sena dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook mereka memaklumkan jalan bercahaya kini sedang diuji di Jalan Padan Sanai/Durian Burung (K11), Kedah.

Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dilaporkan akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi berkenaan sebelum hujung tahun ini.

Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.

Johor guna teknologi garisan jalan ‘glow in the dark’ tahun depan

SELEPAS Hulu Langat, teknologi garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark nampaknya akan digunakan di Johor pula.

Menurut laporan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi berkenaan sebelum hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.

Beliau berkata jalan raya yang terlibat akan menggunakan teknologi tersebut pada tahun hadapan.

Jalan glow in the dark di Hulu Langat

“JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi glow in the dark terutama di kawasan tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan untuk menaik taraf garisan jalan dengan menggunakan teknologi glow in the dark, Mohamad Fazli berkata teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan biasa.

“Berbanding garisan pembahagi jalan biasa, kos bagi teknologi glow in the dark ini harga adalah berlipat kali ganda. Tetapi apabila digunakan teknologi ini, mungkin kita tidak perlu lagi menggunakan lampu jalan.

“Peruntukan RM1 juta ini mungkin tidak banyak, tetapi ini adalah permulaan untuk kita mempelbagaikan teknologi seumpama ini di Johor,” katanya.