Arkib Tag: jaguar i-pace

Jaguar I-Pace kini boleh didapati dengan pakej Stealth, harga RM12,000

JAGUAR Land Rover Malaysia hari ini melancarkan pakej I-Pace Stealth untuk pemilik sedia ada dan pelanggan baharu Jaguar I-Pace.

Jika anda masih ingat, crossover elektrik itu dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu pada harga bermula dari RM460,800 untuk Black LE, dan RM498,800 untuk HSE.

Dijual pada harga RM12,000, pek Stealth memberikan I-Pace penampilan yang lebih unik dan dinamik menerusi gril depan baharu berwarna kelabu Atlas terang, serta lencana Jaguar dalam warna hitam dan perak.

Selain itu, pek ini juga membawakan cermin sisi berwarna hitam, sementara diffuser belakang, jalur pintu dan bampar didatangkan sedondon dalam warna badan dan bukannya hitam berkilat.

Tiada sebarang naik taraf untuk trenkuasa, bermakna I-Pace kekal dengan motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 400 PS dan 696 Nm.

Dari segi prestasi, EV ini hanya memerlukan 4.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Dengan bateri berkapasiti 90 kWj, ia boleh mencapai jarak pandu sejauh 470 km dengan satu cas penuh (berdasarkan kitaran WLTP).

I-Pace menyokong pengecasan AC 11 kWj yang memerlukan 8.6 jam untuk pengecasan dari 0 hingga 100 peratus. Dengan pengecas pantas DC berkapasiti hingga 100 kW, bateri boleh dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam hanya 40 minit.

Pakej Stealth untuk Jaguar I-Pace boleh didapati di bilik pameran Jaguar Land Rover Malaysia di Ara Damansara dan Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan pada kadar serendah 1.23 peratus setahun, dan memanfaatkan program Subsidi Faedah.

Jaguar I-Pace mendarat di Malaysia – 400hp, 0-100 4.8s, dari RM461k

JAGUAR elektrik sepenuhnya kini telah tiba di Malaysia. Perkenalkan Jaguar I-Pace baharu, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama dari jenama itu. Dan seperti biasa dengan jenama-jenama lain, Jaguar I-Pace ini juga hadir dalam bentuk SUV.

Walaupun berbentuk SUV, ia membekalkan kuasa dan kualiti pemanduan seperti kereta sports, menurut kata Jaguar. Tetapi ini pasti logik, memandangkan I-Pace mempunyai badan dari binaan aluminium dan ketegeran casis setinggi 36kNm/darjah. Senang cerita, memang keras casisnya.

Jaguar I-Pace didatangkan dengan dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu di gandar belakang) dengan output keseluruhan 400hp dan 696Nm tork. Ini menjadikan I-Pace sebuah jentera AWD, dan pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 4.8 saat sahaja.

Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 90kW, dan ini membolehkan I-Pace mempunyai jarak pemanduan sehingga 470km (mengikut kitaran WLTP).

Dari segi pengecasan pula, I-Pace boleh disambungkan kepada pengecaj AC 11kWh dan sifar hingga 100 peratus bateri boleh dicapai dalam masa 8.6 jam. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, ia hanya memerlukan 40 minit untuk dicaj dari sifar hingga 80 peratus.

Untuk maklumat tambahan, walaupun bateri Jaguar I-Pace terletak di tengah dan bawah kabin, SUV EV ini boleh meranduk air sehingga kedalaman 500mm. Jadi, tiada kerisauan jika berlakunya banjir kilat. Ia juga dilengkapi dengan suspensi udara, dan ketinggian boleh dilaras secara automatik.

Di bahagian dalam, Jaguar I-Pace menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci di depan pemandu. Di tengah pula, terdapat skrin infotainmen Pivi Pro bersaiz 10-inci, dan di bawahnya terdapat skrin ketiga bersaiz 5-inci untuk paparan sistem pendingin hawa digital.

Jaguar I-Pace dijual pada harga bermula RM460,800 untuk Black LE, dan RM498,800 untuk HSE. SUV ini hadir dengan jaminan 5-tahun atau 150,000km, pakej servis percuma 5-tahun, dan jaminan bateri sehingga 8-tahun atau 160,000km.

Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU mereka bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023, yang membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.