Arkib Tag: Ipoh

Tanah dijual, pembinaan lapangan terbang baharu Perak mungkin lewat

RAKYAT negeri Perak mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki lapangan terbang baharu.

Hal ini kerana kerajaan negeri masih tidak mempunyai kawasan yang sesuai memandangkan tanah sedia ada telah dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini pihaknya masih berusaha mencari lokasi strategik bagi membina lapangan terbang baharu.

“Tanah itu telah dijual semasa zaman PH (Pakatan Harapan), mereka masa itu sudah jual jadi kita tidak ada tanah untuk bina lapangan terbang baharu.

“Tanah itu tidak boleh diambil semula, memandangkan syarikat swasta berkenaan sudah pun mendapat kebenaran merancang untuk melaksanakan pembangunan,” katanya.

Suasana di dalam Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah. – Foto ihsan Wikipedia

Mengulas lanjut, Saarani berkata pihaknya perlu mencari tapak baharu bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa seperti yang dirancang.

Saarani tidak menolak kemungkinan terpaksa memindahkan lokasi lapangan terbang baharu jika tiada kawasan sesuai di Seri Iskandar.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong mendakwa cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Nga Kor Ming berkata, perbuatan itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab selain menuntut pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Ipoh bakal terima kemudahan LRT, pengangkutan awam makin efisyen

BERITA baik untuk warga Ipoh yang mana bakal menikmati perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tidak lama lagi.

Exco kerajaan negeri Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia antara rangka pembangunan bagi mewujudkan hab pengangkutan lebih moden.

Jelasnya, LRT juga diharap dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Ipoh dan kawasan sekitar pada masa hadapan.

“Kos dan tempoh pembinaan hab pengangkutan itu masih dalam peringkat kajian.

“Kita akan jadikan ia sebagai hab pengangkutan yang lebih efisien dan moden kerana di Ipoh ini masih banyak lagi (tempat) perlu menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam,” katanya.

Selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong dengan kemudahan bas rapid transit, trem, bas serta teksi bagi meningkatkan mobiliti penduduk.

Pada masa sama, ia juga memberi kemudahan pengangkutan kepada pelancong yang berkunjung ke Ipoh.

Hari pertama buka kaunter pandu lalu, JPJ Perak kutip RM12,114

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak memperoleh kutipan RM12,114 dalam tempoh 24 jam hasil pembayaran cukai jalan dan lesen memandu.

Ia susulan pra-pelancaran kaunter pandu lalu dibuka di Ibu Pejabat JPJ di Ipoh, semalam.

Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu hasil kutipan 56 kereta menggunakan perkhidmatan kaunter pandu lalu.

“Sebanyak 240 transaksi berjaya dilakukan sepanjang pra-pelancaran semalam dengan dikelolakan enam anggota.

“Saya yakin lebih banyak lagi yang akan menggunakan kaunter pandu lalu ini yang lebih menjimatkan masa,” katanya.

JPJ Perak menyasarkan lebih 100 kereta dapat menggunakan perkhidmatan bayaran pandu lalu setiap hari.

Kaunter pandu lalu berkenaan dilancarkan sepenuhnya pada Khamis ini sehingga 30 September depan.

Terdahulu, Mohammad Yusoff berharap orang ramai dapat memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) secepat mungkin.

Ini kerana tarikh akhir moratorium kedua-dua lesen berkenaan berakhir pada 30 September.

Sementara itu, JPJ Perak mengeluarkan kompaun RM16,000 ke atas lima kenderaan pekerja termasuk bas kilang.

Kompaun dikeluarkan atas kesalahan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) menerusi Ops Patuh sekitar Ipoh.

Tindakan dibuat selaras dengan penurunan kuasa kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kemalangan lima buah lori di Ipoh, seorang pemandu maut

Seorang pemandu lori maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan lima buah lori di Kilometer 288.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Insiden berlaku malam tadi di Ipoh itu turut menyaksikan tiga yang lain mengalami kecederaan.

Memetik laporan Bernama, kemalangan berlaku apabila sebuah lori dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori lain.

“Mangsa memandu lori tersebut hilang kawalan apabila tiba di lokasi kemalangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori lain.

“Ia menyebabkan lori itu menggelongsor melanggar tiga lagi buah lori yang berada di hadapannya.

“Mangsa mengalami kecederaan dan tersepit dalam kenderaan serta meninggal dunia di lokasi kemalangan,” memetik kenyataan polis.

Mangsa meninggal dunia dikenali sebagai Ahmad American Ahmad Danial berusia 42 tahun.

Pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian terpaksa memotong tiang rangka lori terbabit bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Sementara itu, bomba mengesahkan tiada sebarang kebocoran pada lori tangki dipandu mangsa yang membawa bahan kimia LPG dengan muatan 20,000 kilogram.

Kes kemalangan maut di Ipoh, polis selesai kertas siasatan

PEMANDU lori yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Ipoh kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis dalam satu kenyataan berkata, pemandu lori terbabit dibebas selepas kertas siasatan insiden selesai dilengkapkan.

Sebelum ini, polis turut mengambil keterangan pemandu lori berusia 44 tahun bagi membantu siasatan nahas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kelmarin, seorang wanita maut di Jalan Chemor-Jelapang selepas kereta dipandu dirempuh lori yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

Noor Aishah Mohd Tahir, 26, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan sekitar jam 10.30 pagi itu.