Arkib Tag: info

Kenapa jet pejuang buat u-turn atas lapangan terbang sebelum mendarat?

PERNAHKAH anda lihat beberapa buah jet pejuang tiba di lapangan terbang, kemudian seakan-akan membuat bulatan atau pusingan-U sebelum berpusing semula menghadap landasan untuk mendarat?

Ini sedikit berbeza dengan pesawat komersial yang kita biasa naiki, yang terus perlahan dari jauh menuju lapangan terbang dan terus mendarat sebaik tiba.

Secara asasnya, sama ada anda perasan atau tidak, jet pejuang membuat approach atau ketibaan ke lapangan terbang dalam bentuk bulatan manakala pesawat komersial terbang dalam laluan lurus sahaja.

Teknik approach jet pejuang ini dinamakan Overhead Break Pattern. Persoalannya, mengapa?

Imej oleh: DVIDS

Overhead Break Pattern ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama adalah untuk ‘buang’ kelajuan. Jet pejuang sangat aerodinamik untuk terbang pada kelajuan tinggi, maka ia memerlukan masa untuk diperlahankan mendekati lapangan terbang.

Jadi, belokan tajam 180-darjah ke belakang semasa ‘break’ sangat membantu memperlahankan pesawat dengan cepat sebelum gear pendaratan dibuka.

Keduanya, ‘break’ ini membolehkan formasi ‘dipecahkan’ untuk pesawat mengambil giliran mendarat satu per satu. Sela masa ‘break’ beberapa saat dari formasi untuk setiap pesawat memberikan mereka jarak sesuai untuk giliran mendarat.

Sesebuah formasi jet pejuang (bergantung kepada angkatan udara) akan tiba di pangkalan pada kelajuan sekitar 350 hingga 500 knot, di ketinggian kira-kira 1,000 kaki.

Kemudian mereka ‘break’ atau berpecah satu demi satu membentuk barisan dengan jarak kira-kira 30 saat antara mereka untuk mengambil giliran mendarat.

Dalam video di bawah, anda dapat lihat dengan jelas pesawat-pesawat pejuang dalam formasi sebelum berpecah mendarat mengikut giliran. Formasi ini adalah dari Eksesais PARADISE antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Dari sudut lain pula, jika dalam situasi peperangan, Overhead Break Pattern membolehkan juruterbang melihat secara visual keadaan landasan dari atas sebelum berpusing dan melakukan pendaratan.

Teknik ini juga lebih sesuai dalam situasi peperangan kerana juruterbang lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Pergerakan pesawat juga lebih sukar dijangka pihak musuh berbanding jika terbang rendah dan perlahan dalam garisan lurus menuju ke lapangan terbang untuk mendarat.

KAI FA-50 Block 20

Aset utama pesawat pejuang dalam situasi peperangan bukanlah senjatanya, tetapi kelajuan dan altitud (ketinggian). Jadi, juruterbang pejuang seboleh-bolehnya mahu mengelak berada dalam posisi rendah dan perlahan untuk tempoh yang lama.

Sukhoi Su-30 MKM milik TUDM.

Selain itu, jika dalam situasi aman, teknik Overhead Break Pattern ini membolehkan juruterbang pejuang ‘show off’ sedikit kepada juruterbang biasa yang lain. Ibarat kita memandu kereta sports dan ‘belanja’ bunyi atau pecutan kepada pengguna jalan raya lain!

Kini, anda sudah tahu ilmu baharu! Jika anda berminat untuk lebih banyak info sebegini, boleh nyatakan di ruangan komen.

Subaru jenama cool, bukan untuk semua orang?

SUBARU boleh dikatakan satu jenama untuk enthusiast. Cara mereka buat kereta berbeza sedikit dari pengeluar lain, dan hasilnya selalu kereta yang mempunyai gaya pemanduan unik, dihargai oleh driving enthusiasts.

Dan ini menjadikan Subaru sebuah jenama yang cool. Jom kita tengok dengan lebih mendalam kenapa Subaru cool dan best, kami senaraikan lima hujah.

1. Enjin Boxer

Semua kereta Subaru tidak kira sedan, sports sedan, sports coupe, roadster, malah SUV, menggunakan enjin dengan konfigurasi Boxer.

Enjin Boxer ialah silinder dalam kedudukan mendatar, dan dua piston kiri dan kanan bergerak berlawanan arah (dari kiri dan kanan bertemu di tengah).

Enjin ini yang leper dan rendah memindahkan kuasa ke transmisi dengan lebih menerus (direct), kurang komponen tambahan, jadi kurang juga drivetrain loss. Lebih cekap.

Binaan yang leper juga mempunyai pusat graviti lebih rendah, pengendalian lebih baik dan stabil. Sebab itu walaupun Forester dan XV merupakan SUV, pengendalian tetap cukup mantap.

Boxer juga mempunyai agihan berat kiri dan kanan yang sekata, juga menyumbang kepada pengendalian yang baik.

2. Symmetrical All-Wheel Drive

Symmetrical AWD atau pacuan semua-roda ini berbeza dari sistem AWD atau 4WD lain. Disebabkan Subaru menggunakan enjin Boxer, flywheel berada di tengah, maka kotak gear juga di tengah. Ini membolehkan driveshaft kiri dan kanan sama panjang, jadi penghantaran kuasa juga lebih sekata dan seimbang.

Symmetrical AWD juga satu sistem pacuan semua-roda sepenuh masa. Sistem ini disokong pula oleh X-Mode yang membantu beri cengkaman lebih baik di permukaan mencabar.

Dalam lineup Subaru sekarang, semua model ada SAWD kecuali BRZ.

3. Legenda rali

Subaru Impreza 555. Sumber: Youtube

Tak sah kalau cerita Subaru tanpa sentuh dunia rali. Lancia mungkin ada jumlah kemenangan paling banyak, tapi akhir 90-an, Subaru Impreza memang menyerlah. Menang kategori pengeluar tiga tahun berturut-turut dari 1995 hingga 1997.

Masa ni Subaru bersaing sengit dengan Mitsubishi, dan menjadikan road car mereka (Impreza dan Evo) juga sering dibandingkan bersama. Traditional rivalries.

Disebabkan kemenangan ini dan juga ulangtahun ke-40 mereka, Subaru menghasilkan Impreza yang dikatakan paling legenda dan desirable, iaitu Impreza 22B STI.

Ia bukan seperti Impreza sebelum itu yang mempunyai 4-pintu, tetapi khas kali ini Impreza dikeluarkan dengan 2-pintu, badan lebar di belakang, memang nampak muscular dan laju.

Enjin 2.2-liter Boxer-nya menghasilkan 280hp, dan 22B ini juga dilengkapi rim BBS 17-inci berwarna emas, brek STi, dan differential tengah dengan kawalan elektronik.

4. Forester STI

Subaru Forester STI. Sumber: Autogesport

Disebabkan penglibatan dan pengetahuan Subaru dalam dunia dan teknologi rali, mereka ada memindahkannya kepada kereta yang boleh kita beli.

Dan kadang-kadang ia dijelmakan kepada kereta wagon atau SUV, sebagai contoh Forester STi.

Apa mereka buat ialah ambil Impreza WRX STi, cabut body, dan letak body Forester. Hasilnya, anda dapat sebuah wagon dengan prestasi Impreza.

Tapi jelas tak nampak rupa baik sangat Forester STI ni dengan rim besar, skup atas hud, dan ekzos besar. Dikuasakan enjin 2.5-liter turbo, kotak gear manual 6-kelajuan, standard menjana 260hp.

5. Rupa dan rekabentuk ikut kepala sendiri

Dengan penggunaan Symmetrical All-Wheel Drive dan enjin Boxer, Subaru ni memang pengeluar yang degil dan ikut kepala sendiri. Macam Mazda.

Jadi boleh tengok rekabentuk pun ikut kepala sendiri. Bersegi, ada ruang-ruang kemasukan udara besar, dan rendah.

XV sebagai contoh, antara crossover paling mantap pengendaliannya, tapi ruang but sangat kecil sebab ada differential untuk SAWD. BRZ dan MX-5 pun dapat direka dengan hud rendah sebab enjin Boxer yang leper.

Anda setuju dengan lima perkara yang buatkan Subaru cool? Jemput tonton video di bawah untuk lebih penerangan dan maklumat lanjut.