Arkib Tag: ID.7 Tourer

ID.7 GTX Tourer, wagon elektrik paling berkuasa dari Volkswagen!

Bulan lepas, Volkswagen telah memperlihatkan model wagon berkuasa elektrik pertama mereka, iaitu ID.7 Tourer dengan jarak gerak mampu mencapai 685 km.

Tidak cukup dengan itu, Volkswagen mahu memenuhi impian ketua keluarga yang mencari sebuah kereta mesra famili yang praktikal dan berkuasa dalam masa yang sama.

Memperkenalkan, ID.7 GTX Tourer yang mungkin sekali takkan dibawa masuk secara rasmi oleh Volkswagen Malaysia.

 

 

Penampilan luaran ID.7 GTX Tourer ini boleh dibezakan menerusi kehadiran komponen bampar yang telah direka semula, aksen hitam berkilat, serta rekaan rim aloi bersaiz 20 atau 21 inci.

ID.7 GTX Touer merupakan wagon elektrik berprestasi tinggi yang dibekalkan dengan dua motor elektrik (depan 107 hp, belakang 282 hp) menghasilkan kuasa keseluruhan 355 hp, dibantu dengan komponen pembeza kekunci elektronik dan kawalan AWD kustom.

 

 

Biarpun dengan tetapan dua motor elektrik, VW mengesahkan kuasa motor elektrik gandar depan hanya akan digunakan dalam situasi yang memerlukan.

Secara standard, ID.7 GTX Tourer mendapat pek bateri 86.0 kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (10-80% bawah setengah jam).

Sayang sekali, jarak gerak maksimum wagon elektrik ini tidak dinyatakan, dan berkemungkinan besar lebih pendek berbanding jarak yang ditawarkan oleh ID.7 Tourer standard.

 

Namun, aspek praktikaliti masih lagi sama macam model standard ID.7 Tourer, dengan kapasiti kargo sebesar 603 liter atau sehingga 1,713 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Susun atur ruang kabin juga tidak banyak berubah, melainkan dengan kehadiran aksen merah yang sporti, diikuti dengan logo GTX pada tempat duduk dan roda stereng.

Volkswagen ID.7 GTX Tourer akan mula dijual di pasaran Eropah pada musim bunga tahun ini.

 

ID.7 Tourer – Inilah wagon EV pertama Volkswagen, boleh pergi 685km sekali cas

Volkswagen ID.7 Tourer diperkenalkan – 282 hp, jarak pandu 685 km

MASIH ingat dengan Volkswagen ID.7 yang diperkenalkan pada April tahun lalu? Ini adalah versi wagonnya yang dikenali sebagai ID.7 Tourer dan ia merupakan wagon elektrik pertama dari jenama Jerman itu.

Kebiasaannya, wagon mempunyai ukuran yang lebih panjang jika dibandingkan dengan sedan namun tidak dalam kes ini. Ukuran ID.7 Tourer sama sahaja dengan ID.7 iaitu 4,961 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,536 mm tinggi. Malah, ukuran tapak rodanya juga tidak berubah iaitu 2,971 mm.

Bagaimanapun, bumbung yang panjang memberikan ID.7 Tourer kelebihan dari segi ruang. Dalam konfigurasi standard, wagon elektrik ini mempunyai ruang kargo sebesar 605 liter, 73 liter lebih besar berbanding ID.7.

Jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya, ia mendapat ruang sebesar 1,714 liter atau 128 liter lebih besar berbanding sedan tersebut. Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan kotak bumbung berkapasiti 460 liter.

Seperti yang dijangka, ID.7 Tourer menampilkan rekaan ruang kabin yang sama dengan versi sedan. Ini bermakna ia mempunyai skrin tengah 15 inci, paparan head-up dengan realiti terimbuh (AR) dan konsol tengah yang kemas dengan ruang simpanan yang besar di bawahnya.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan kerusi ergoActive dengan fungsi urutan, corong pendingin hawa yang dioperasikan secara automatik dan bumbung panoramik dengan kaca pintar yang boleh ditukar menjadi telus atau legap.

Volkswagen akan menawarkan dua pilihan bateri untuk ID.7 Tourer iaitu 77 kWj dan 86 kWj, dengan jarak pandu maksimum mencecah 685 km mengikut kitaran WLTP.

Pek bateri yang lebih besar itu menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti maksimum sehingga 200 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam kurang 30 minit.

Pacuan pula dibekalkan oleh sebuah motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 282 hp (210 kW) dan 585 Nm tork, sama seperti yang terdapat pada versi sedan.

Seperti ID.7 dan ID.4, ID.7 Tourer akan dipasang di kilang pemasangan Volkswagen di Emden, Jerman. Buat masa ini, model ini akan ditawarkan di Eropah sahaja.