Arkib Tag: i4

BMW i4 eDrive35 dilancarkan di Malaysia pada harga bermula dari RM258,210

BMW Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua varian baharu BMW i4 iaitu eDrive35 dan eDrive35 M Sport yang dijual pada harga bermula dari RM258,210 hingga RM284,210.

Untuk makluman anda, harga-harga di atas merupakan harga on-the-road tanpa insurans dengan waranti standard selama dua tahun. Jika pelanggan memilih waranti dan pakej servis lanjutan, mereka perlu membayar RM273,800 untuk eDrive35 dan RM299,800 untuk versi M Sport.

Seperti varian eDrive40, i4 eDrive35 mempunyai motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Dalam versi ini, motor elektrik tersebut menjana 286 PS dan 400 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya enam saat.

Untuk jarak pemanduan, bateri litium-ion berkapasiti 70.2 kWj membolehkan sedan elektrik ini dipandu sejauh 483 km dengan satu cas penuh, berdasarkan kitaran WLTP. Ia boleh dicas menerusi pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC pada kadar sehingga 180 kW.

Pemilik akan mempunyai akses kepada lebih 1,000 kemudahan pengecasan di seluruh negara yang disediakan oleh penyedia pengecasan EV tempatan utama yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.

Dari segi kelengkapan, i4 eDrive35 didatangkan dengan lampu LED serta gril kidney yang dihiasi dengan bilah-bilah yang disusun secara mendatar. Versi asas menggunakan rim 18 inci 853 Bicolour manakala versi M Sport pula mendapat rim aerodinamik M berukuran 18 inci dengan kemasan 858 M Bicolour.

Di dalam, terdapat paparan melengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 14.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa automatik tiga zon, sistem Comfort Access, pelarasan elektrik dengan fungsi memori untuk kerusi pemandu, pencahayaan ambien, tailgate elektrik dan pengecas wayarles.

eDrive35 M Sport mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti kemasan aluminium Rhombicle, stereng M dengan balutan kulit dan pelapik bumbung M.

Sistem bantuan pemandu sama bagi kedua-dua varian iaitu Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Brake Intervention, Rear Cross Traffic Warning, Rear Collision Prevention, Speed Limit Info, Parking Assistant dan pelbagai lagi.

Kereta EV tidak perlu mempunyai kapasiti jarak pemanduan terlalu tinggi – BMW

DALAM membeli kenderaan elektrik (EV), jarak pemanduan dengan satu cas penuh akan menjadi satu faktor utama. Rangkaian pengecasan juga semakin berkembang walaupun tidak sebanyak stesen minyak, jadi adalah penting bagi kita memastikan kereta mampu sampai ke tempat mengecaj sebelum kehabisan bateri.

Sebab itulah pengeluar sedang giat membangunkan kenderaan EV yang mampu menawarkan jarak pemanduan sejauh mungkin. Ada yang kini mencecah 1,000km.

Namun tidak bagi BMW, nampaknya. Menurut ketua projek BMW i4, David Ferrufino dalam satu temubual oleh WhichCar, jarak sehingga 1,000km tidak menjadi sasaran mereka dengan kenderaan EV.

Ferrufino berkata jarak maksimum bergantung kepada segmen kenderaan itu. Dalam hal pengeluar Jerman itu, kenderaan EV bandar BMW i3 tidak memerlukan kapasiti sehingga 600km.

Setakat ini, teknologi bateri BMW mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 590km mengikut kitaran WLTP dan 480km menurut EPA.

Pendirian Ferrufino ini berlandasakan hakikat bahawa BMW juga sedang melabur untuk menambahbaik rangkaian pengecasan mereka. Ini akan menjadikan perjalanan jauh lebih praktikal tanpa kenderaan mereka mempunyai kapasiti jarak teralu tinggi.

“Kami bukan sahaja mempunyai kemajuan dalam teknologi bateri, tetapi juga rangkaian pengecasan awam – yang kini sedang berkembang,” katanya.

“Perjalanan jauh di Eropah dari Norway ke Itali sudahpun menjadi satu pengalaman menarik jika dilakukan dengan kereta EV.”

Ferrufino menambah bahawa kelajuan pengecasan juga perlu lebih baik. Dalam kes i4, ia didakwa mampu mengecas dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit menggunakan pengecas DC 200kW.