Arkib Tag: i4 m50

BMW i4 M50 di Malaysia Autoshow 2023 – 544 PS, jarak 510 km

HAMPIR dua tahun selepas ia diumumkan untuk pasaran Malaysia, model BMW M elektrik sepenuhnya yang pertama iaitu BMW i4 M50 akhirnya membuat kemunculan sulungnya secara menerusi acara Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS, Serdang.

Untuk pasaran tempatan, i4 M50 didatangkan standard dengan logo 50 Tahun BMW M, diserlahkan lagi dengan pakej M Aerodynamics, spoiler belakang, dan diffuser berwarna hitam. Ia menggunakan rim aloi berukuran 20 inci.

Di dalam, EV sporty ini menampilkan trim dalaman M, kemasan gentian karbon, kemasan Sensatec pada panel instrumen, bumbung kaca elektrik, serta kerusi M Sport lengkap dengan tali pinggang keledar M.

Pacuan dibekalkan oleh sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang mampu menjana kuasa keseluruhan sebanyak 544 PS dan 795 Nm mod Sport Boost.

Gandingan ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.

Dengan bateri berkapasiti 83.9 kWh, i4 M50 boleh dipandu sejauh 510 km (berdasarkan kitaran WLTP) dengan satu cas penuh. Pengecasan AC 11 kW dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa 8 jam 15 minit, manakala pengecasan DC 200 kW berupaya memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, model ini didatangkan dengan ciri BMW IconicSounds Electric yang mampu menghasilkan bunyi ala enjin BMW M.

Dari segi keselamatan, pemandu boleh berlapang dada dengan adanya sistem keselamatan yang canggih seperti Acoustic Protection for Pedestrians, Active Protection for Pedestrians, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus serta Active Protection.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) i4 M50 dengan Waranti Lanjutan dan Inklusif Servis & Pembaikan BMW adalah RM445,800.

BMW i4 M50 Gran Coupe polis Jerman terima sentuhan AC Schnitzer

AC Schnitzer merupakan salah satu nama terbesar dalam dunia talaan terutamanya apabila melibatkan kereta BMW. Terbaru, syarikat yang berpangkalan di Aachen, Jerman itu telah memperkenalkan hasil tangan terbarunya iaitu sebuah kereta polis peronda BMW i4.

Berasaskan i4 M50 Gran Coupe, kereta peronda ini ditala oleh AC Schnitzer sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Tune It! Safe!’ yang memfokuskan kepada modifikasi yang selamat untuk digunakan di jalan raya.

Apa yang menjadikan ia berbeza daripada versi standard? Sudah tentu, i4 ini memakai livery polis Jerman yang menampilkan warna kuning biru dan tulisan ‘POLIZEI’ pada bahagian bonet, sisi dan but.

Sisi sporty sedan elektrik ini diserlahkan lagi menerusi elemen-elemen aerodinamik seperti, spoiler depan, splitter depan, sayap sisi, spoiler bumbung, dan spoiler karbon belakang.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan lowering kit yang berfungsi untuk mengurangkan ketinggian suspensi sebanyak 20 hingga 25 mm berbanding model standard. Stance yang agresif ini dilengkapkan dengan rim AC Schnitzer AC4 Flow Forming berukuran 20 inci yang dibalut tayar Hankook Ventus S1 Evo 3.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah sistem isyarat khas dari Hella, kerajang Foliatec dan kerajang keselamatan Securlux pada tingkap sisi. Ruang dalaman turut dinaik taraf dengan kemasan aluminium pada pedal dan trim Black Line pada tombol sistem i-Drive.

Trenkuasa dibiarkan standard, bermakna i4 talaan AC Schnitzer ini mempunyai kuasa berjumlah 544 PS dan 795 Nm yang dibekalkan oleh motor elektrik pada gandar depan dan belakang. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.

BMW dedah i4 M50, Safety Car untuk MotoE

PADA Mac lepas, MINI mempersembahkan Safety Car (kereta keselamatan) untuk Formula E yang menggantikan BMW i8.

Tetapi kini BMW mendedahkan sebuah Safety Car baharu untuk MotoE iaitu i4 M50. Ia menjadi Safety Car elektrik sepenuhnya (EV) yang pertama dari BMW.

i40 M50 ini akan membuat kemunculan dinamik pertama di litar semasa Motorcycle Grand Prix of Australia pada 15 Ogos ini di litar Red Bull Ring. Sesuai dengan kejuaraan motosikal elektrik, sedan EV ini akan mengetuai perlumbaan MotoE yang menjadi siri sampingan kepada MotoGP.

BMW i40 M50 dikuasakan oleh dua motor elektrik – satu di depan dan satu di belakang – yang memberikan output keseluruhan 544hp (406kW). Konfigurasi ini juga menjadikannya sebuah AWD (pacuan semua-roda).

Terdapat juga tambahan prestasi dari divisyen M, yang merangkumi teknologi casis M khas, brek lebih besar, dan penambahbaikan aerodinamik. Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 4 saat.

“Walaupun versi produksi Gran Coupe empat-pintu akan memasuki pasaran pada musim luruh, peminat kami boleh menikmati kemunculannya di litar lumba pada musim panas ini,” kata CEO BMW M, Markus Flasch.

“Tiada lagi kereta keselamatan lebih sesuai untuk MotoE berbanding BMW i40 M50 – penuh prestasi, elektrik sepenuhnya. Kami tak sabar untuk kemunculannya di Spielberg.”

Dari luaran, kereta keselamatan MotoE ini mengenakan kombinasi warna menyerlah dengan kelabu gelap dan disulami hijau elektrik.