fbpx

BMW i4 M50 Gran Coupe polis Jerman terima sentuhan AC Schnitzer

BMW i4 AC Schnitzer 01

AC Schnitzer merupakan salah satu nama terbesar dalam dunia talaan terutamanya apabila melibatkan kereta BMW. Terbaru, syarikat yang berpangkalan di Aachen, Jerman itu telah memperkenalkan hasil tangan terbarunya iaitu sebuah kereta polis peronda BMW i4.

Berasaskan i4 M50 Gran Coupe, kereta peronda ini ditala oleh AC Schnitzer sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Tune It! Safe!’ yang memfokuskan kepada modifikasi yang selamat untuk digunakan di jalan raya.

Apa yang menjadikan ia berbeza daripada versi standard? Sudah tentu, i4 ini memakai livery polis Jerman yang menampilkan warna kuning biru dan tulisan ‘POLIZEI’ pada bahagian bonet, sisi dan but.

Sisi sporty sedan elektrik ini diserlahkan lagi menerusi elemen-elemen aerodinamik seperti, spoiler depan, splitter depan, sayap sisi, spoiler bumbung, dan spoiler karbon belakang.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan lowering kit yang berfungsi untuk mengurangkan ketinggian suspensi sebanyak 20 hingga 25 mm berbanding model standard. Stance yang agresif ini dilengkapkan dengan rim AC Schnitzer AC4 Flow Forming berukuran 20 inci yang dibalut tayar Hankook Ventus S1 Evo 3.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah sistem isyarat khas dari Hella, kerajang Foliatec dan kerajang keselamatan Securlux pada tingkap sisi. Ruang dalaman turut dinaik taraf dengan kemasan aluminium pada pedal dan trim Black Line pada tombol sistem i-Drive.

Trenkuasa dibiarkan standard, bermakna i4 talaan AC Schnitzer ini mempunyai kuasa berjumlah 544 PS dan 795 Nm yang dibekalkan oleh motor elektrik pada gandar depan dan belakang. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved