Arkib Tag: Hospital

Lelaki ini tidur dalam Proton Satria di hospital untuk mudah melawat anak sakit

RAMAI yang berkata kasih sayang ibu tiada batasannya, tetapi begitu juga dengan kasih seorang ayah.

Adi Saifullizam Abdul Sani yang berusia 40 tahun telah menjadikan keretanya sebagai rumah sejak Jumaat lalu. Dia meletakkan keretanya di perkarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun agar berada dekat dengan anaknya yang sedang menjalani rawatan tumor otak.

Gambar-gambar Proton Satria milik Adi dengan khemah di belakangnya telah tular di media sosial.

Anaknya yang berusia lapan tahun disahkan menghidap penyakit itu pada Jumaat lepas, menurut laporan New Straits Times. Dia kemudiannya dimasukkan ke wad dan menjalani pembedahan untuk mengambil sampel sel.

Adi berkata bahawa anaknya kini stabil, tetapi masih memerlukan rawatan di hospital. Menurutnya, walaupun isterinya berada di sisi anak mereka di wad, dia masih perlu tinggal berdekatan dengan mereka.

Dengan tinggal di dalam kereta, dia akan dapat berjalan kaki sahaja untuk melawat anaknya.

“Isteri saya di wad dengan anak kami. Tetapi saya tidak boleh berjauhan. Jika apa-apa berlaku, sekurang-kurangnya saya sudah di sini,” kata Adi.

Beliau yang bekerja di sebuah kilang di Bidor berkata dia telah mengambil cuti tanpa gaji untuk berada dekat dengan anaknya.

Dua lagi anak mereka kini dalam jagaan saudara mereka buat masa ini.

“Tidur dalam kereta tidak begitu selesa tetapi tidak mengapa, asalkan saya sudah berada berdekatan jika berlaku apa-apa,” tambah Adi.

“Beberapa kawan di Ipoh juga ada menawarkan tempat tinggal tetapi saya terpaksa menolak kerana jaraknya kira-kira sejam dari hospital.”

Sama-sama kita doakan agar anaknya sembuh seperti sedia kala dan urusan keluarga ini dipermudahkan semuanya.

Perodua sumbang kelengkapan bernilai RM151,000 kepada dua lagi hospital awam

PERODUA menyumbang sebanyak RM151,000 (dalam bentuk barangan dan peralatan) kepada dua hospital awam sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat yang berterusan dalam meningkatkan lagi sistem penjagaan kesihatan awam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata: “Hasrat kami adalah untuk membantu institusi yang memberi manfaat terbesar kepada semua rakyat Malaysia, seperti hospital-hospital kerajaan yang tersedia untuk semua.”

Perodua telah menyumbang barangan termasuk peralatan diagnostik, peralatan pemulihan, peralatan penjagaan pesakit, mesin dialisis dan juga hamper untuk para pesakit serta pasukan barisan hadapan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan Hospital Selayang baru-baru ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Encik JH Rozman Jaafar, Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd kepada pihak pengurusan hospital dengan disaksikan oleh para pegawai perubatan dan kakitangannya.

Setakat ini, Perodua telah menyumbang peralatan perubatan dan kesihatan kepada hospital-hospital awam di seluruh negara.

Ini termasuk Hospital Umum Sarawak, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Hospital Shah Alam, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Ampang, Hospital Putrajaya dan beberapa klinik komuniti di daerah Hulu Selangor.

“Kami percaya dalam membuat sesuatu perubahan, kami perlu konsisten dalam usaha kami dan kami amat berbangga kerana dapat membantu mereka yang bekerja dan berkhidmat tanpa jemu untuk negara.

“Kami akan terus bekerjasama dengan badan-badan seumpama ini pada masa akan datang kerana ini adalah cara terbaik untuk kami membalas sokongan yang telah diberikan kepada kami selama ini,” kata Dato’ Sri Zainal.