Arkib Tag: honda e

Warga Singapura langgar Honda e Tunku Idris beri keterangan, dibenar pulang ke negara asal

WARGA Singapura yang memandu sebuah BMW 3-Series dan bergesel dengan sebuah Honda e milik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim telah tampil beri keterangan dengan pihak polis.

Kertas siasatan berhubung insiden pergeselan antara dua kereta yang berlaku di Jalan Serampang, Taman Pelangi kini disiapkan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 62 tahun itu tampil merakam percakapan di Balai Polis Trafik Johor petang semalam (Isnin) selepas kejadian mengenai insiden itu tular.

Katanya, tiada tangkapan dibuat terhadap lelaki warganegara Singapura itu setelah dia tampil untuk memberikan keterangan.

“Setelah merakam percakapan pemandu kereta mewah tersebut, warga emas itu dibenarkan pulang dan dibenarkan balik ke Singapura kerana ini bukan kes jenayah.

“Sementara itu, polis dalam proses menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita semalam.

Pada Isnin, kereta Tunku Idris calar ‘digesel’ sebuah BMW bernombor pendaftaran Singapura dalam kejadian yang berlaku di hadapan sebuah kedai roti di Jalan Serampang.

Insiden itu tular selepas Tunku Idris memuatnaik insiden itu di Instagram miliknya.

Honda e yang comel terima livery Red Bull Racing untuk gaya lebih garang

ADIL jika dikatakan bahawa tidak banyak kereta elektrik yang kelihatan comel dan cool pada masa yang sama seperti Honda e. Ramai yang berpendapat ia berpotensi untuk melahirkan versi berprestasi tinggi namun idea ini telah ditolak bulat-bulat oleh ketua projek Honda e sendiri iaitu Kohei Hitomi.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang Innovative Composites daripada meningkatkan lagi penampilan Honda e menerusi kit badan lebar dan livery Red Bull Racing bagi meraikan kejayaan Max Verstappen merangkul gelaran juara dunia Formula 1 musim lalu.

Menurut syarikat dari United Kingdom itu, setiap panel badan yang disertakan dalam kit ini diperbuat daripada gentian karbon. Ia merangkumi bampar depan kustom lengkap dengan canard dan splitter, serta tidak dilupakan fender depan dan belakang yang lebih lebar.

Bagi mendapatkan stance yang sporti, fender itu diisi dengan rim Rotiform KB1 berwarna putih yang dibalut dengan tayar semi-slick. Innovative Composites turut menggunakan spacer bagi memastikan kedudukan tayar selari dengan fender.

Sementara itu, ubah suai untuk bahagian belakang pula terdiri daripada bampar yang lebih singkat, diffuser yang agresif dan spoiler bumbung yang jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan yang asal.

Sentuhan penyudah modifikasi ini tidak lain tidak bukan ialah livery Red Bull Racing yang menampilkan gabungan warna biru gelap, merah dan kuning, serta nama-nama syarikat penaja seperti Honda, IBM dan Siemens. Hasilnya, kereta elektrik kecil molek ini kelihatan tidak ubah seperti jentera yang dipandu oleh Max dalam kejohanan musim lalu.

Sayangnya, tiada sebarang penambahbaikan yang dilakukan pada trenkuasa e, bermakna hasil tangan Innovative Composites ini masih lagi dikuasakan oleh sebuah motor elektrik yang menjana kuasa maksimum 152hp dan 315Nm.

Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam lapan saat – tidaklah teruk mana namun masih tidak cukup untuk menjadikannya sebuah hot hatch sejati. Jarak pemanduan pula adalah sekitar 220km dengan satu cas penuh.

Apa yang menarik, Honda e dengan kit badan lebar ini tidak akan menjadi rekaan one-off kerana Innovate Composites dilaporkan merancang untuk menawarkan kit badan tersebut dalam jumlah yang terhad.

Harga masih belum diumumkan namun memandangkan ia diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon, ia pastinya agak mahal.