Selepas pelancaran model sedan, Honda Malaysia membuka tempahan bagi model Honda City Hatchback 2026 versi facelift.
Dari segi luaran, City Hatchback facelift ini menampilkan perubahan yang hampir sama dibawakan pada model City Sedan.
Yang paling jelas ketara ialah muka hadapan yang membawakan unit lampu yang lebih tirus, diikuti rekaan bampar baharu.
Selain itu, ia turut membawakan rekaan rim 16 inci yang dikemas kini dengan kemasan berbeza mengikut varian.
Masuk ke dalam ruang kabin, City Hatchback menerima perubahan seperti:
- skrin Display Audio 10-inci
- sistem lampu ambien
- kemasan baharu pada papan pemuka
City Hatchback turut mengekalkan fungsi praktikaliti menerusi penawaran tempat duduk Ultra yang menawarkan konfigurasi Utility, Long, Tall dan Refresh.
Dari segi keselamatan, model ini menerima sistem kamera keliling 360 darjah, sistem informasi titik buta dan sistem pemantauan trafik silang.
Sama seperti sedan, City Hatchback ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter (121 PS/145 Nm) serta sistem e:HEV (109 PS/253 Nm).
Honda Malaysia turut menawarkan pakej jaminan selama 8-tahun tanpa had perbatuan untuk setiap pembelian model baharu Honda (petrol & hibrid).
