Arkib Tag: Honda Accord

Lelaki cuba curi ekzos maut selepas dihempap kereta

SEORANG lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan maut selepas dipercayai dihempap sebuah kereta ketika cuba mencuri ekzos kenderaan itu di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, semalam (19 Oktober 2022).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 4 hingga 6 pagi.

Tambah beliau lagi, pihaknya terdahulu menerima laporan dari pembantu perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang yang telah merawat seorang lelaki tempatan yang meninggal dunia di tepi sebuah kenderaan jenis Honda Accord.

Siasatan polis di tempat kejadian mendapat kejadian berlaku semasa si mati dan seorang rakannya dipercayai sedang cuba untuk mencuri tabung ekzos kereta tersebut.

“Tiba-tiba alat pengangkat kereta yang digunakan telah terjatuh sebelum kereta itu menghempap si mati,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan pasukan ronda cegah jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang telah berjaya menahan rakan sejenayah si mati di sekitar kawasan Telok Panglima Garang pada 10.45 pagi hari yang sama.

Suspek berusia 32 tahun yang memiliki tujuh rekod jenayah dan dua kes dadah itu kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Proton Wira dihempap pokok, lima sekeluarga terselamat

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki dihempap sebatang pokok dalam satu kejadian di Alor Gajah, Melaka.

Kejadian pada 6.30 petang semalam menyebabkan pasangan suami isteri cedera di bahagian kepala sementara tiga anak mereka mengalami cedera ringan.

Insiden turut membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.

Laporan pihak bomba memaklumkan lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian pokok tumbang itu berlaku ekoran hujan lebat.