Arkib Tag: Honda Access

Honda Access lancar pakej aksesori “Bulldog Style” untuk Super-ONE, imbau kenangan City Turbo II

Bakal pembeli Honda Super-ONE EV kini boleh dapatkan pakej aksesori tulen “Bulldog Style” daripada Honda Access.

Ia direka untuk menonjolkan karakter yang lebih sporti, serta personaliti unik untuk EV kompak ini.

Senarai aksesori menarik untuk Super-ONE

Sekali imbas, ia dilihat sebagai satu penghormatan kepada model klasik Honda City Turbo II 1983 yang turut digelar “Bulldog” oleh golongan peminatnya.

Lebih-lebih lagi jika dilihat pada set decal sisi Bulldog yang menggunakan semula gaya tulisan City Turbo II.

Model asal memaparkan tulisan “Turbo II With Intercooler”, namun pada Honda Super-ONE ia membawakan mesej era baharu: “Bulldog With Electric Power”.

Terdapat juga spoiler tailgate berlekuk untuk imej yang lebih agresif, diikuti lampu kabus dwi-warna (putih atau kuning), serta rim ME-027 saiz 15 inci.

Akhir sekali, Super-ONE ini dikemaskan dengan pakej logo H hitam, serta emblem nama model dalam kemasan gelap.

Pelancaran rasmi tahun ini

Honda dijangka akan melancarkan model ini di pasaran Jepun menjelang pertengahan tahun ini.

Dengan berat sekitar 1,090 kg, Super-ONE EV merupakan antara kereta elektrik yang ringan di dalam kelasnya.

Ia juga mempunyai titik graviti yang lebih rendah berbanding kereta petrol setara, dan mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 274 km (data WLTC).

EV ini juga menawarkan mod pemanduan khas “Boost” yang mampu melonjakkan kuasa daripada 63 hp kepada 94 hp untuk pecutan yang lebih bertenaga.

Selain itu, ia mampu mensimulasikan penukaran gear tujuh-kelajuan dan sistem kawalan bunyi aktif yang meniru bunyi enjin pembakaran dalaman.

Mengikut laporan rakan media Paultan, model ini juga dijangka masuk pasaran Malaysia kelak.

Manual aksesori Honda guna kertas pisang!

Siapa sangka sisa batang pisang boleh jadi manual kereta? Honda Access Co., Ltd. mengumumkan penggunaan manual aksesori Honda yang diperbuat daripada kertas pisang One Planet Paper® bagi menggantikan kertas konvensional untuk Panduan Mula Pantas (Quick Start Guides) produk mereka.

Langkah unik ini akan mula digunakan secara rasmi pada model baharu alat kawalan jauh penghidup enjin yang akan dipasarkan bermula Februari 2026.

Penggunaan bahan daripada pisang ini bukan sekadar gimik, malah merupakan satu revolusi kecil dalam rantaian bekalan aksesori automotif mereka untuk jangka masa panjang.

Peralihan Manual Aksesori Honda Kepada Sumber Lestari

Meskipun Honda Access giat melaksanakan pendigitalan bagi mengurangkan penggunaan kertas, Panduan Mula Pantas tetap disertakan untuk produk tertentu.

Sebelum ini, manual aksesori Honda menggunakan kertas tebal dengan salutan polipropilena (PP).

Melalui inisiatif hijau ini, salutan berasaskan bahan api fosil tersebut akan dihentikan sepenuhnya.

Kertas pisang dipilih kerana pokok pisang tumbuh sangat cepat dan menyerap jumlah karbon dioksida (CO2) yang tinggi.

Langkah ini secara langsung membantu mengurangkan jejak karbon sepanjang kitaran hayat produk bagi setiap unit manual aksesori Honda yang dihasilkan.

Impak Sosial dan Teknikal Kertas Pisang One Planet Paper®

Bahan mentah iaitu serat batang pisang diperoleh daripada ladang organik di Zambia. Batang pisang yang dahulunya dianggap sisa kini diproses menjadi kertas menggunakan teknik pembuatan kertas tradisional Jepun.

Projek ini bukan sahaja memfokuskan kepada isu alam sekitar, malah turut menangani isu sosial termasuk pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan wanita di negara membangun.

Ia merupakan penyelesaian dua hala yang menggabungkan kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial dalam satu produk yang mampan.

Komitmen Neutral Karbon dan Manual Aksesori Honda

Inisiatif ini merupakan salah satu bahagian daripada usaha Honda untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050.

Honda Access nekad mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui inovasi produk dan aktiviti korporat.

Dengan mengintegrasikan bahan mampan ke dalam rantaian bekalan, syarikat berharap dapat terus memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.

Langkah ini juga membuktikan bahawa perincian sekecil manual aksesori Honda pun mampu memberi impak besar kepada dunia.

Ringkasan Inisiatif Kertas Pisang Honda Access

  • Bahan Utama: One Planet Paper® yang diperbuat daripada serat batang pisang organik.
  • Tarikh Peralihan: Bermula Februari 2026 untuk Panduan Mula Pantas penghidup enjin kawalan jauh.
  • Perubahan: Menggantikan penggunaan kertas tebal bersalutan plastik polipropilena (PP) yang berasaskan fosil.
  • Sumber Serat: Diperoleh melalui perdagangan adil dari ladang organik di Zambia.
  • Teknik Pembuatan: Dihasilkan menggunakan kepakaran teknik pembuatan kertas tradisional Jepun.
  • Manfaat Alam Sekitar: Membantu mengurangkan pelepasan CO2 dan menyokong isu sosial global.

BACA: Miliki NSX? Honda Heritage Works tawar alat ganti dan baik pulih!

Honda Civic Type R ditawarkan stereng kulit dari Honda Access! Pilihan kepada Alcantara®

Honda Access Co., Ltd. memperkenalkan aksesori tulen baharu untuk model Honda Civic Type R sedia ada, iaitu stereng yang dibalut dengan kulit licin.

Aksesori ini dijadualkan untuk dikeluarkan di Jepun pada pertengahan Januari 2026.

Pilihan kepada Alcantara®

Penambahan stereng baharu ini dilakukan sebagai respons kepada permintaan pelanggan yang tinggi yang mahukan pilihan stereng kulit.

Sebelum ini, model standard Civic Type R didatangkan dengan stereng Alcantara®.

Stereng baharu ini mengekalkan reka bentuk dan bentuk sama seperti stereng Alcantara® standard.

Honda CIvic Type R 2023 – Balutan Alcantara®.

Perbezaan utama terletak pada bahan yang digunakan iaitu kulit tulen yang licin, memberikan rasa sentuhan yang lebih lembut dan mewah.

Untuk mengekalkan identiti Civic Type R yang sporti, stereng baharu ini masih menggunakan jahitan merah yang sama seperti model standard.

Penggunaan kulit licin bertujuan untuk menambah sentuhan mewah pada bahagian dalam tanpa menjejaskan estetika unik model prestasi tinggi ini.

Spesifikasi Produk dan Harga

  • Nama Produk: Stereng kulit tulen/hitam dengan jahitan merah

  • Model Yang Berkenaan: Civic Type R (Model yang dikeluarkan selepas September 2022: FL5-100/FL5-110/FL5-120)

  • Harga: 49,500 yen (RM 1,328.67)

Harga yang dinyatakan hanyalah harga runcit cadangan pengeluar. Kos pemasangan perlu ditanggung secara berasingan oleh pembeli.

Keperluan Pemasangan Teknikal

Pemasangan stereng ini melibatkan prosedur teknikal yang khusus:

  • Stereng standard mesti ditanggalkan sebelum proses pemasangan stereng kulit tulen baharu.
  • Kerja penetapan (setting work) atau penyesuaian wajib dilakukan menggunakan peralatan khas pengedar Honda (HDS) untuk memastikan stereng berfungsi dengan betul dan selamat selepas pemasangan.

 

Kei car elektrik Honda N-One e: debut, boleh gerak sejauh 270 km

Memperkenalkan, kereta elektrik Honda yang paling kecil pernah dihasilkan, iaitu Honda N-One e:.

Dengan dimensinya yang berada di dalam kelas kei car, ia sekaligus menggantikan Honda e yang telah ditamatkan produksi pada Januari tahun lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu:

 

1. Kei car elektrik kedua Honda

Ia bukanlah kereta elektrik saiz ultra kompak yang pertama, memandangkan Honda sebelum ini telah melancarkan EV komersial N-Van e: pada tahun lepas.

Spesifikasi N-One e: dijangka mengikut apa yang ditawarkan pada N-Van e:, seperti motor elektrik tunggal memacu roda hadapan (64 hp).

 

2. Jarak gerak

Dengan pek bateri 29.6 kWh, N-Van e: boleh bergerak sejauh 245 km, namun bila dipadankan pada N-One e: ia mampu bergerak sejauh lebih 270 km berdasarkan data WLTC.

N-Van e: juga turut menyokong pengecasan pantas DC 50 kW, di mana bateri boleh dicas dalam tempoh 30 minit, atau 4.5 jam menggunakan pengecasan AC 6.0 kW.

 

3. Imbau kembali kereta era 60-an Honda

Honda menggunakan pendekatan e:Daily Partner pada N-One e: yang menawarkan rekaan luar yang menarik, serta ruang kabin yang luas.

N-One e: juga menawarkan manfaat pemanduan yang mudah untuk dikendalikan – mengimbau kembali ciri yang wujud pada kereta kei klasik Honda N360 era 60-an dan 70-an.

 

4. Ruang kabin

Ruang kabin N-One e: menggunakan pendekatan Man Maximum Machine Minimum yang nampak minimalis.

Ia hadir dengan skrin kluster LCD, skrin tengah sembilan inci, slot pengecasan USB, butang pemilihan PRND dan kawalan iklim di tengah, serta roda stereng dua jejari yang sama seperti model N-Van e:.

Aspek praktikaliti disumbangkan oleh kehadiran dulang kecil pada papan pemuka, ruang meletak cawan pada bahagian pemandu dan konsol tengah, serta tempat duduk baris belakang yang boleh dilipat mengikut keperluan.

 

5. Varian

Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk pasaran Jepun, iaitu e: L yang lebih lengkap dengan varian asas e: G.

Secara standard, kedua-dua varian hadir dengan lampu LED depan dan belakang, serta sistem ADAS (lengkap dengan kamera),

Varian asas e: G pula didatangkan dengan rim keluli 14 inci yang lengkap dengan penutup hab.

Untuk ruang kabin pula, nampak lebih minimalis kerana ia hanya didatangkan dengan sistem audio yang ringkas lengkap dengan sokongan Bluetooth.

Varian e: L pula dilengkapi dengan rim aluminium enam jejari saiz 14 inci yang lebih sporti, serta ruang kabin yang lengkap dengan skrin infohibur yang disebutkan pada poin nombor 4.

 

6. Aksesori Honda Access

Seperti biasa, tidak lengkap penawaran sesebuah kereta Honda tanpa barisan aksesori yang meluas.

Honda Access menawarkan kit penyesuai V2L yang menawarkan kuasa sehingga 1,500W untuk kegunaan kecemasan.

Terdapat juga modul lampu indikasi pengecasan disediakan supaya pemilik dapat melihat tahap pengecasan bateri dari luar walaupun kereta sudah dikunci.

Pakej Premium Style pula menambah hiasan jalur perlumbaan pada bonet, pintu belakang, bahagian sisi kereta serta jeriji hadapan.

 

7. Jualan

Honda Jepun akan memulakan penjualan N-One e: bermula September ini.

Menariknya, kei car ini juga akan debut secara rasmi di pasaran Eropah pada acara IAA di Munich pada bulan yang sama.

 

Honda N-One e: G (sumber CarWatch JP)

 

Aksesori Honda Access

 

Honda Civic Type R FL5 kini boleh didapati dengan spoiler gentian karbon

TIDAK seperti FK8 yang kelihatan seperti robot Gundam, Honda Civic Type R generasi baharu (FL5) hadir dengan reka bentuk yang lebih matang dan bersahaja. Pemilik yang ingin menyerlahkan lagi penampilan jentera mereka tanpa membuatkannya kelihatan terlalu agresif kini boleh mendapatkan kit aksesori oleh Honda Access.

Anda mungkin perlu melihat dengan teliti untuk membezakannya dengan versi standard. Ini kerana, untuk bahagian luaran, perubahannya terhad kepada cermin sisi berwarna merah dan juga spoiler belakang yang diperbuat daripada gentian karbon.

Menurut Honda, spoiler Honda Access ini 1 kg lebih ringan berbanding spoiler standard. Ia dipasang di atas tapak yang sama namun rekaan spoiler ini lebih aerodinamik dengan bahagian tengah yang menjungkit dan panel sisi yang lebih tajam.

Untuk ruang dalaman pula, pelanggan boleh menaikkan seri kabin menerusi aksesori seperti karpet eksklusif berwarna merah, tombol gear dengan balutan kulit dan trim gentian karbon untuk konsol tengah.

Lampu lopak (puddle lamp) yang memancarkan logo Type R, pengecas wayarles, filem perlindungan cat untuk bampar dan skirt sisi, lampu LED but dan luggage tray juga disediakan.

Menurut laporan, kit aksesori Honda Access ini akan ditawarkan untuk model pasaran Jepun sahaja. Harga masih belum diumumkan.

Apa pendapat anda tentang aksesori ini? Adakah anda akan membelinya atau tunggu penawaran yang lebih sporti dan agresif seperti kit Mugen?