Arkib Tag: hiace

Toyota Hiace SLWB kini dibuka untuk tempahan – 2.8L diesel, panjang 5.9 meter, RM169k

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi Hiace SLWB (Super Long Wheelbase).

Menurut UMWT, varian baharu van panel itu dikatakan satu versi yang dinantikan dan menawarkan keluasan serta prestasi tersendiri dalam kelas kenderaan komersil utiliti.

Toyota Hiace SLWB ini lebih besar dari sebelumnya, mempunyai ukuran 5,915mm panjang, 1,950mm lebar, dan 2,280mm tinggi.

Jarak roda (wheelbase) kini mencapai 3,860mm, bermakna ia akan mempunyai ruang dalam yang luas serta menawarkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.

Hiace SLWB ini dikuasakan oleh enjin 2.8-liter 1GD-FTV turbo-diesel dengan output 177hp pada 3,400rom dan 450Nm tork dari 1,600 hingga 2,400rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan dengan Sequential Shift.

Van ini dilangkapi dengan rim 16-inci, cermin kuasa di depan, lampu DRL, lampu depan reflektor, lampu kabus, serta suspensi MacPherson di depan, dan leaf spring di belakang.

Ciri standard pada Toyota Hiace baharu ini termasuklah tali pinggang keledar 3-poin untuk semua tempat duduk, lampu di pemijak sisi pintu gelungsur, DVR (dashcam), dua soket kuasa, RFID binaan dalam, ruang keluar kecemasan di bumbung, tiga beg udara, dan Emergency Stop Signal (ESS).

Van ini boleh mula ditempah dengan harga RM169,000.

“Kami telah menerima banyak permintaan dari rakan kongsi niaga kami berkenaan Hiace baharu ini. Dengan pengenalan model SLWB ini, kami berbesar hati menawarkan kenderaan yang menepati keperluan dari segi ruang, kuasa, dan keselesaan buat pelanggan kami,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMWT.

TAS 2023: Toyota Hiace dan Perodua Ativa versi retro dari Alpine Style

JIKA anda peminat modifikasi kereta moden bertemakan retro, maka anda perlu tengok hasil kerja terbaharu Alpine Style ini.

Mereka mempersembahkan Carica dan Havana di Tokyo Auto Salon 2023 (TAS 2023), iaitu versi retro bagi van Toyota Hiace dan SUV Perodua Ativa (Toyota Raize dan Daihatsu Rocky).

Carica

Nama Carica merupakan singkatan dari “California Dreaming Car”, kini menukar rupa Hiace menjadi seperti sebuah van Scooby Doo.

Terdapat dua versi bagi Carica ini, pertamanya gaya Amerika dengan warna badan dwi-tona, panel putih dan bahagian krom pada gril, bampar, cermin sisi, belakang, dan rim. Gaya Euro pula mendapat bampar brushed dan kemasan hitam di bahagian lain badannya.

Di dalam kabin pula menampakkan teknologi Alpine. Terdapat skrin infotainmen 11-inci, cermin pandang belakang digital 12-inci, dan paparan 12.8-inci untuk penumpang belakang.

Sistem audio juga jenis fancy, dengan stereo dinaik taraf berserta lampu. Ciri tambahan pula adalah khemah yang boleh dikembangkan di belakang untuk anda bermalam.

Havana

Havana pula mengambil inspirasi dari kenderaan-kenderaan lama di ibu negara Cuba. Toyota Raize (Perodua Ativa) itu dilengkapi komponen gaya retro seperti gril, perumah lampu depan, dan bampar krom. Di bawah lampu depan terletaknya DRL LED dan lampu isyarat.

Di dalam pula, aksesori Alpine merangkumi paparan infotainmen 9-inci dan cermin pandang belakang digital 12-inci. Sistem audio juga dinaik taraf, manakala paparan untuk penumpang belakang merupakan aksesori tambahan.

Harga permulaan untuk Carica adalah sekitar 4.98 juta Yen (RM168k) manakala untuk Havana pada 3.98 juta Yen (RM134k).