Arkib Tag: harga

Harga kereta Perodua kekal untuk 2023, kos bahan mentah dan bahan api masih terurus

TIADA perubahan dan kenaikan untuk kereta Perodua bagi 2023 setakat ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Dalam merealisasikannya, kami berharap harga bahan mentah dan harga bahan api kekal terurus dan pada masa yang sama, kami juga berharap pertukaran mata wang asing serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau menambah, buat masa ini, sekiranya faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.

Bagi 2023, beliau berkata Perodua dan rakan niaganya akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasiti.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.

Beliau juga berkata Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya pada masa hadapan serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu para pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.

“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan Januari dan saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan berterusan mereka, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya.

Harga kereta berkemungkinan naik kerana Ringgit lemah

HARGA kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata wujud kemungkinan besar akan berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar.

Katanya, bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Malaysia belum lagi memutuskan kenaikan harga kenderaan atau terus menyerap semua kos yang perlu ditanggung.

“Kenaikan harga bahan mentah, kos logistik, kejatuhan ringgit antara lain akan menjadi penyebab pengeluar terpaksa menaikkan harga kenderaan. Namun, ia belum diputuskan lagi,” kata Aishah.

“Jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir Jun ini tidak disambung, ia akan memburukkan keadaan sekali gus meningkatkan lagi harga kenderaan jika pengeluar memutuskan menaikkan harga produk mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, pengeluar kereta nasional itu masih cuba untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah supaya harga kenderaan keluaran Proton dapat dikekalkan.

Bagaimanapun, katanya, jika keadaan memaksa selain mengambil kira pembabitan vendor, Proton berkemungkinan terpaksa berkongsi kenaikan harga berkenaan dengan pelanggan.

Baru-baru ini, MAA mendedahkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada Mac kepada 73,222 unit, melonjak 63 peratus bulan ke bulan atau 13 peratus tahun ke tahun.

Lonjakan ketara itu didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran oleh pengeluar disokong pesanan tertunggak yang kukuh.

Secara kumulatif, TIV tiga bulan pertama tahun ini melonjak 13 peratus kepada 159,752 unit.

Harga alat ganti kenderaan akan naik hingga 60 peratus

Harga semua jenis alat ganti kenderaan dijangka meningkat sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat berikutan masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.

Menurut Utusan, hal ini adalah susulan dari pembukaan semula semua sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

Peningkatan harga alat ganti ini pastinya menggusarkan pemilik bengkel kenderaan yang terpaksa menaikkan harga perkhidmatan mereka. Terdapat juga kemungkinan pengurangan pelanggan jika kenaikan harga servis terlalu mendadak.

Secara tidak langsung, ini pastinya memberi kesan kepada kita pemilik kenderaan kerana kos selenggara akan bertambah.

Selain itu, kami jangkakan harga kenderaan baharu juga mungkin meningkat kerana pengeluar terpaksa merombak semula senarai harga bagi servis dan penyelenggaraan berkala model-model jualan mereka.

Sejauh manakah kenaikan ini akan memberi impak dalam industri sehingga ke poket kita?

Seperti dapat dilihat, harga makanan juga menyaksikan kenaikan baru-baru ini. Sama-sama kita buat persediaan sekiranya berlaku krisis ekonomi atau bekalan makanan.