Arkib Tag: harga petrol

Subsidi bersasar: Kerajaan akan guna data bersepadu, bukan cc semata-mata

KERAJAAN akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif membabitkan data daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisma pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Gambar oleh: Malay Mail

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham yang mengatakan kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (cc) kenderaan sahaja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

“Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

“Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain kajian dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.

“Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ sahaja diperlukan,” tambahnya.

Menurutnya, memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.

Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Kami kemudian ada menambah bahawa pemberian subsidi bersasar berdasarkan kuasa kuda (cc) sahaja tidak tepat, malah kuasa kuda juga tidak sama dengan cc. Dua perkara berbeza.

Diharapkan kerajaan dan kementerian berkaitan akan dapat mencari solusi terbaik dan paling tepat agar hanya golongan yang layak sahaja mendapat subsidi petrol bersasar ini.

Kerajaan perlu lebih masa untuk kaji turunkan harga petrol – Rafizi Ramli

KERAJAAN persekutuan akan memerlukan lebih masa untuk menentukan kemungkinan menurunkan harga runcit petrol walaupun harga bahan api global sedang mengalami penurunan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor termasuk keadaan kewangan semasa dan peruntukan aktiviti ekonomi yang akan mempunyai kesan berganda.

Rafizi Ramli. Gambar oleh: Malay Mail

“Ini lebih dari sekadar isu formula (penetapan harga), tapi lebih penting ialah keadaan ekonomi semasa,” katanya.

“Persoalannya adalah, harga minyak mentah dunia kini berada sekitar USD83 hingga USD85 setong dan ada yang berkata harganya telah menurun antara empat hingga lima bulan kebelakangan selepas melepasi paras USD100 setong.

“Disebabkan itu, apabila harga menurun, adakah ianya cukup untuk kita menurunkan harga runcit? Sudah tentu, mereka yang memahami sektor minyak dan gas pasti akan bertanya soalan ini,” kata Rafizi kepada media.

Menurut laporan New Straits Times, Rafizi berkata kerajaan perlu mengkaji kemampuan kewangan semasa sebelum mengambil keputusan mengkaji harga runcit bahan api.

Tambahnya, “Kita perlu melihat kepada keuntungan sebenar kerajaan sekarang dan jika kita lihat harga semasa RM2.05 untuk petrol, berapa banyak peruntukan tambahan perlu kita berikan?”

Ahli Parlimen Pandan itu menambah bahawa kerajaan perlu mengkaji sama ada meningkatkan subsidi untuk menurunkan harga bahan api itu berbaloi, berbanding menyalurkan peruntukan untuk aktiviti ekonomi lain.

“Semua ini memerlukan kita lebih masa untuk mengkaji setiap aspek, kerana apabila kita meyertai sesuatu organisasi atau pentadbiran sama ada dalam syarikat atau kerajaan, kita tidak terus ubah semuanya.

“Kita mempunyai hala tuju, tapi kita perlu kaji apa yang ada dahulu, yang mana elok dan yang mana perlu dibaiki.

“Kita perlu fokus kepada hal-hal yang perlu dielakkan dulu, lakukan pendekatan baharu, semua ini akan memakan masa.”

“Bahaya jika semua menteri, selepas 24 jam pertama (memegang jawatan) mengumumkan itu dan ini, ianya mengundang bahaya.

“Oleh itu, saya rasa kita kena ambil langkah satu persatu kerana ini bukannya seperti menguruskan syarikat kita sendiri tetapi menguruskan ekonomi,” terangnya.

RON97 naik 1 sen seliter, harga baharu RM2.76

HARGA runcit bagi bahan api petrol RON97 naik 1 sen seliter daripada RM2.75 kepada RM2.76.

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan, harga baharu itu akan berkuatkuasa bermula 30 September sehingga 6 Oktober ini.

Bagaimanapun, petrol RON95 masih kekal pada harga siling iaitu RM2.05.

Sementara itu, harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter termasuk gred Euro 5 B7 (RM2.25 seliter).

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia selain mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan terpelihara.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel.

“Meskipun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

RON97 naik dua sen, RON95 dan diesel kekal

HARGA petrol RON97 naik dua sen kepada RM2.54 sen seliter bagi tempoh 8 sehingga 14 April ini.

Bagaimanapun, harga bagi petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga runcit APM bagi RON95 dan diesel telah meningkat melebihi harga siling yang ditetapkan,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian.

Langkah itu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.