Arkib Tag: harga minyak

PM perjelas sebab harga minyak tidak boleh diturunkan

UMUM sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji untuk menurunkan harga petrol sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kini, setelah diangkat sebagai PM ke-10 susulan keputusan PRU15, ucapan itu secara berterusan dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang terhadapnya.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat semalam, Anwar mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara itu.

Jelas beliau, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

Anwar berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).

“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.

“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.

Kerajaan tidak turunkan harga minyak sebab hutang negara tinggi

TANGGUNGAN hutang yang besar menjadi punca kerajaan tidak boleh melaksanakan penurunan harga minyak, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi lagi, keadaannya berbeza ketika beliau berkempen menurunkan harga minyak pada 2007 dan 2008 pada waktu hutang negara tidak setinggi sekarang.

Katanya, ketika itu hutang kerajaan tidak sampai RM600 bilion namun sekarang meningkat tiga kali ganda.

“Dahulu, subsidi boleh lagi ditanggung. Jadi keputusan kerajaan terdahulu menaikkan harga minyak secara mendadak memberi kesan kepada inflasi, harga barang naik terutamanya inflasi makanan.

“Sedangkan kita masih lagi ada ruang fiskal yang boleh menanggung subsidi minyak. Hutang boleh lagi ditangani, pendapatan kerajaan masih boleh tanggung harga minyak, sebab itu kita kata tiada keperluan untuk menaikkan harga minyak mendadak,” katanya.

Sumber gambar: Facebook Rafizi Ramli

Jumaat lalu, Rafizi menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel buat masa ini.

Tambah Rafizi, disebabkan formula beliau kempen, harga minyak sekarang tidak naik melonjak.

“Ia adalah dasar daripada kerajaan Pakatan Harapan dahulu dan formula itu dikekalkan sampai sekarang. Bagaimanapun, harga barang makanan bila sudah naik, peniaga susah mahu turunkan.

“Sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, untuk bantu kesusahan rakyat dengan cara segera, kalau kita menang pilihan raya umum (PRU) pada 2008 minyak akan turun,” jelasnya.

Kerajaan perlu lebih masa untuk kaji turunkan harga petrol – Rafizi Ramli

KERAJAAN persekutuan akan memerlukan lebih masa untuk menentukan kemungkinan menurunkan harga runcit petrol walaupun harga bahan api global sedang mengalami penurunan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor termasuk keadaan kewangan semasa dan peruntukan aktiviti ekonomi yang akan mempunyai kesan berganda.

Rafizi Ramli. Gambar oleh: Malay Mail

“Ini lebih dari sekadar isu formula (penetapan harga), tapi lebih penting ialah keadaan ekonomi semasa,” katanya.

“Persoalannya adalah, harga minyak mentah dunia kini berada sekitar USD83 hingga USD85 setong dan ada yang berkata harganya telah menurun antara empat hingga lima bulan kebelakangan selepas melepasi paras USD100 setong.

“Disebabkan itu, apabila harga menurun, adakah ianya cukup untuk kita menurunkan harga runcit? Sudah tentu, mereka yang memahami sektor minyak dan gas pasti akan bertanya soalan ini,” kata Rafizi kepada media.

Menurut laporan New Straits Times, Rafizi berkata kerajaan perlu mengkaji kemampuan kewangan semasa sebelum mengambil keputusan mengkaji harga runcit bahan api.

Tambahnya, “Kita perlu melihat kepada keuntungan sebenar kerajaan sekarang dan jika kita lihat harga semasa RM2.05 untuk petrol, berapa banyak peruntukan tambahan perlu kita berikan?”

Ahli Parlimen Pandan itu menambah bahawa kerajaan perlu mengkaji sama ada meningkatkan subsidi untuk menurunkan harga bahan api itu berbaloi, berbanding menyalurkan peruntukan untuk aktiviti ekonomi lain.

“Semua ini memerlukan kita lebih masa untuk mengkaji setiap aspek, kerana apabila kita meyertai sesuatu organisasi atau pentadbiran sama ada dalam syarikat atau kerajaan, kita tidak terus ubah semuanya.

“Kita mempunyai hala tuju, tapi kita perlu kaji apa yang ada dahulu, yang mana elok dan yang mana perlu dibaiki.

“Kita perlu fokus kepada hal-hal yang perlu dielakkan dulu, lakukan pendekatan baharu, semua ini akan memakan masa.”

“Bahaya jika semua menteri, selepas 24 jam pertama (memegang jawatan) mengumumkan itu dan ini, ianya mengundang bahaya.

“Oleh itu, saya rasa kita kena ambil langkah satu persatu kerana ini bukannya seperti menguruskan syarikat kita sendiri tetapi menguruskan ekonomi,” terangnya.

Terus bela rakyat, kerajaan kaji mekanisme pemberian subsidi petroleum

MEKANISME pemberian subsidi produk petroleum akan dikaji semula oleh kerajaan bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan I berkata, sebarang kaedah pemberian subsidi bagaimanapun akan diperhalusi serta diteliti terlebih dahulu.

Jelas Datuk Mohd Shahar Abdullah, kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk memperincikan kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol.

“Kita berjumpa dengan semua syarikat petroleum untuk kita berbincang dahulu dan lihat kaedah yang terbaik untuk subsidi bersasar ini,” katanya.

Ketika ini, setiap US$1 setong kenaikan harga minyak mentah memberikan hasil RM300 juta kepada kerajaan dan jumlah subsidi ditanggung untuk RON95 adalah RM1.65.

“Tetapi masalahnya setiap kenaikan US$1 setong akan memberi implikasi sebanyak RM600 juta.

“Jadi dia tak breakeven (pulang modal) kerana kita melaksanakan harga siling.

“Kita tetapkan harga siling sebanyak RM2.05 seliter untuk RON95 tetapi harga sebenar adalah RM3.70 seliter dan kerajaan tanggung sebanyak RM1.65,” katanya lagi.

Harga petroleum sering mendapat perhatian ramai memandangkan ia memberi kesan besar kepada banyak perkara khusus sektor ekonomi.

Namun, kerajaan sentiasa memberi jaminan akan terus menjaga kepentingan rakyat agar tidak terlalu terkesan dengan peningkatan harga bahan api.

Harga RON97 RM2.75 seliter sehingga 29 September

HARGA runcit petrol RON95 serta diesel kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan harga itu berkuatkuasa 22 sehingga 29 September ini.

Bagaimanapun harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.75.

Kesemua harga baharu ini adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

RON97 naik satu sen, harga baharu RM2.74 seliter

HARGA bahan api bagi RON97 naik 1 sen berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 4 Ogos depan.

Ia menjadikan harga bahan bakar itu kepada RM2.74 seliter berbanding RM2.73 sen sebelum ini.

Bagaimanapun, tiada kenaikan bagi bahan api RON95 sekaligus menjadikan ia kekal pada harga siling RM2.05 seliter.

Sementara itu, harga diesel Euro B10/B20 juga kekal pada RM2.15 seliter termasuk gred Euro 5 B7 (RM2.25 seliter).