Arkib Tag: gt3 rs

Porsche 911 GT3 RS tiba di Malaysia – Lebih hardcore, lebih pantas, dari RM2.63 juta

VERSI paling serius dan hardcore untuk Porsche 911 generasi 992, iaitu GT3 RS telah tiba di Malaysia, dibawakan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP). Ia dilancarkan serentak dengan hujung minggu Porsche Carrera Cup Asia 2023 yang dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk model generasi 992, 911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang diinspirasikan dari sukan permotoran termasuk kit aerodinamik dari Formula 1, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan serta enjin yang lebih berkuasa.

Dari segi penampilan, jika dibandingkan dengan 911 GT3, versi RS ini kelihatan lebih serius dan mengancam terima kasih kepada kit badannya yang agresif. Ia merangkumi splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan sudah tentu, spoiler belakang.

Menurut Porsche, spoiler berkenaan mempunyai Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng. Selain membolehkan kereta memecut lebih laju, ia juga didatangkan dengan fungsi airbrake sebagai sokongan kepada brek cakera ketika membrek pada kelajuan tinggi.

Apa yang lebih menarik, spoiler 911 GT3 RS ini lebih tinggi berbanding bumbungnya dan ini merupakan yang pertama bagi model produksi Porsche!

Model baharu ini mempunyai ukuran trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) yang lebih lebar sebanyak 29 mm berbanding GT3. Para jurutera Porsche turut memberikan profil berbentuk teardrop pada komponen double-wishbone depan bagi meningkatkan downforce sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.

Selain itu, kadar spring pada sistem multi-link belakang telah diperbaharui, manakala sistem bantuan pemandu dan stereng gandar belakang mempunyai tetapan yang lebih dinamik.

911 GT3 RS dikuasakan oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter 6-silinder yang sama seperti GT3, namun dengan camshaft dan cam profile baharu, kuasanya meningkatkan dari 510PS kepada 525PS.

Transmisi PDK 7-kelajuan yang memacu roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 296km/j.

Menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti CFRP pada pintu, sayap depan, bumbung, bonet serta tempat duduk bucket antara lainnya, berat jentera ini hanya 1,450 kg walaupun mempunyai komponen-komponen yang lebih besar.

Pelanggan boleh menaik taraf 911 GT3 RS menerusi pakej Clubsport secara percuma. Pakej ini didatangkan dengan rollover bar, tali pinggang keledar enam poin dan juga pemadam api.

Untuk mereka yang lebih serius dengan prestasi, Porsche turut menawarkan pakej Weissach yang merangkumi kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP dan teknologi magnet pada paddle shifter.

Pelanggan yang membeli pakej ini juga boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium yang 8kg lebih ringan berbanding rim standard.

Porsche 911 GT3 RS 2023 serba baharu boleh menjadi milik anda pada harga RM2,630,000.

Porsche 911 S/T – Enjin 4.0 NA dari GT3 RS, tapi tanpa spoiler besar, 518hp, manual sahaja

Tidak cukup dengan lambakan varian Porsche 911, kini satu lagi versi diperkenalkan. Tapi model ini cukup menarik, dikenali sebagai Porsche 911 S/T.

Apa pula ceritanyanya dengan S/T ini? Ia mendapat segala enjin dan komponen prestasi dari GT3 Touring dan GT3 RS, tapi tanpa kehadiran spoiler besar yang agresif. Penampilannya nampak begitu kemas dan minimalis.

Dengan berat sekitar 1,386kg, ia merupakan model 911 generasi 992 paling ringan, malah lebih ringan dari 911 GT3 Touring.

Nadi kepada 911 S/T seperti dikatakan tadi ialah enjin 4.0-liter naturally aspirated dengan 518hp dari GT3 RS, dan manual 6-kelajuan ialah satu-satunya kotak gear untuk model ini.

911 S/T juga mendapat klac dan flywheel ringan khas, dan menurut Porsche, “Kereta ini mampu rev dengan sangat laju dan langsung”. Dari segi prestasi, ia mampu mencapai 96km/j dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksima 300km/j.

Diet yang menjadikan kereta ini ringan terdiri dari komponen CFRP (carbon-fibre-reinforced-plastic) pada hud depan, fender, pintu, bumbung, bar anti-oleng belakang, dan panel pengukuh di belakang. Rim pula adalah magnesium, bersaiz 20-inci depan dan 21-inci belakang.

Brek komposit seramik adalah standard, tetapi tiada sistem stereng roda belakang. Selain itu, terdapat cermin jenis ringan dan penggunaan penebat bunyi yang kurang berbanding varian 911 lain.

Porsche memastikan rekaan luar 911 S/T ini kemas dan minima. Terdapat ruang udara di bampar depan seperti GT3 Touring, tetapi versi S/T mendapat flap Gurney pada spoiler belakang aktifnya.

Untuk kabin, anda boleh pilih tempat duduk bucket CFRP atau Sports Seats Plus. Kemasan lain pula boleh dipilih antara balutan fabrik Classic Cognac dengan pinstripe hitam atau balutan kulit semi-aniline hitam dan Classic Cognac.

911 S/T juga hadir dengan pilihan Heritage Design Package yang memberikan warna Shore Blue Metallic dan rim putih Ceramica. Anda juga boleh pilih angka antara 0 hingga 99 untuk roundel yang ditampal di pintu. Kemudian ia mendapat lencana khas pada beberapa bahagian luar dan dalaman.

Porsche 911 S/T mengambil inspirasi dari 911 S yang mula dikeluarkan pada 1969. Hanya 1,963 unit akan dihasilkan bagi 911 S/T ini, dengan tanda harga USD291,650 (RM1.325 juta).

Selain itu, pembeli 911 S/T boleh menggandingkan kereta mereka dengan jam tangan Porsche Design Chronograph 1 – 911 S/T khas. Ia mempunyai tiga sub-dial untuk pelbagai fungsi, dan terdapat imej manual 6-kelajuan pada jam 1 dan 2. Kemas!

Jam tangan ini berharga USD13,500 (RM61,344) dan terhad kepada 1,963 utas.

Imej Porsche 911 GT3 RS RS 2023 didedah, pelancaran rasmi 17 Ogos

TIDAK mudah untuk menjangkakan yang ini, selepas 911 GT3 dilancarkan, kini versi yang lebih hardcore pula menyusul, iaitu 911 GT3 RS.

Jentera dengan elemen perlumbaan ini telah diintip beberapa kali melakukan ujian di litar Nurburgring dan kini gambar-gambar rasminya didedahkan. Hanya beberapa gambar luaran kerana pelancaran sebenar akan berlangsung pada 17 Ogos depan.

Tidak banyak maklumat yang didedahkan oleh Porsche bersama gambar-gambar ini, tetapi sekurang-kurangnya GT3 RS sah akan dikuasakan oleh enjin 4.0-liter flat-six naturally-aspirated.

Enjin ini dijangka menjana sekitar 520hp dengan kemampuan rev sehingga 9,500rpm.

“911 GT3 RS baharu ini lebih dioptimakan untuk kegunaan litar berbanding model sebelumnya,” kata Andreas Preuninger, Director GT Model Line di Porsche.

“Enjin yang high-revving yang responsif dengan anggaran 500hp ini telah terbukti ideal untuk kegunaan track day dan acara-acara kelab.”

“Kerana itulah kami fokus lebih kepada aerodinamik dan casis dalam pembangunan 911 GT3 RS ini,” tambah Preuninger.

Perincian yang dapat dilihat pada gambar ini termasuklah fin menegak di kedua-dua sisi bampar untuk lebih aerodinamik.

Terdapat juga rongga udara lebih besar di atas hud, sirip di fender depan, aero tambahan di roda depan, dan ruang kemasukan udara di fender belakang.

Porsche 911 GT3 semasa dilancarkan di Malaysia pada November 2021 dijual pada harga bermula RM1.76 juta dengan pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik PDK 7-kelajuan.

Jangkakan 911 GT3 RS yang lebih hardcore dan padu ini untuk menghampiri harga permulaan RM2 juta.