Arkib Tag: GoEV

GoCar Malaysia perkenal kadar baharu GoEV yang lebih jimat

GOCAR Malaysia kini menawarkan servis perkongsian kereta elektrik GoEV lebih mampu milik menerusi pelaksanaan kadar baharu.

Menurut syarikat itu, kadar jam telah dikurangkan hampir 30 peratus, manakala kos tempahan untuk tempoh 30 hari dan ke atas kini lebih jimat hampir 50 peratus.

Pengurangan harga itu selari dengan usaha berterusan GoCar untuk mengembangkan pengalaman memandu EV di Malaysia dengan menjadikan GoEV lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Ditawarkan untuk tempahan Pergi Balik, kadar jam untuk GoEV Share kini ialah RM17.90 (turun daripada RM24.90 sejam), manakala kadar harian dikurangkan daripada RM249 sehari sebelum ini kepada RM179.

Kadar untuk tempahan jangka masa panjang iaitu 30 hari dan ke atas kini RM120 sehari berbanding RM232 sebelum ini.

Bukan itu sahaja, GoCar juga telah menambah dua zon baharu iaitu IOI City Mall (Level P1, di antara tiang F7 dan F8) serta 1 Mont Kiara (Zone C5, Level P3, Bay 162-164) bagi meningkatkan kebolehdapatan GoEV di Lembah Klang.

Lokasi sedia ada termasuklah GoCar Petaling Jaya Hub, GoCar Lot92 Cuba Beli Chow Kit, Avenue K KLCC, ERL Station KL Sentral, The LINC KL Jalan Tun Razak, MidValley Megamall, MyTown Cheras, Nissan/Renault ETCM Glenmarie dan 163 Retail Park Mont Kiara.

Program GoEV catat 500,000 km perjalanan dalam tempoh setahun

GOCAR Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah merekodkan perjalanan keseluruhan flit kenderaan elektrik (EV) lebih 500,000 km sejak program GoEV dilancarkan di Lembah Klang pada Disember 2021.

Menurut syarikat itu, lebih 1,000 pengguna GoCar telah mengambil peluang untuk memandu EV menerusi pilihan GoEV Share. Lebih 90 peratus daripada mereka berkata ia merupakan pengalaman pertama memandu EV.

Untuk terus mengembangkan operasinya, GoCar telah menambah jumlah kenderaan dalam flit GoEV Share dan akan menawarkan lebih 30 unit Nissan Leaf di 20 zon di Lembah Klang.

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan GoEV kepada lebih 50 unit bagi tujuan perkongsian dan langganan.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, “Harga EV yang mahal tidak mampu dicapai oleh kebanyakan rakyat Malaysia, terutama dalam keadaan ekonomi sekarang yang mencabar.”

“GoEV cuba merapatkan jurang ini dan kami berbangga untuk menjadi platform perkongsian kereta pertama menawarkan penyelesaian EV yang menarik di Malaysia,” tambah beliau.

Bagi meraikan ulang tahun pertama GoEV, GoCar menawarkan penjimatan sehingga 70 peratus (dihadkan pada RM80) ke atas tempahan perkongsian kereta GoEV dengan menggunakan kod promo “1STGOEV”.

Promosi tempoh terhad itu hanya sah untuk tempahan yang dibuat di antara 12 hingga 15 Disember tetapi pengguna mempunyai masa sehingga 31 Januari untuk menebus tempahan mereka berdasarkan kepada pelan perjalanan masing-masing.

Sebagai tambahan, GoCar juga akan menghadiahkan 100,000 GoPocket Points bernilai RM1,000 kepada 10 pengguna bertuah.

Kadar normal GoEV bermula RM24.90 sejam dan RM249 sehari, serta RM232 sehari untuk tempahan selama sebulan.

Setiap kenderaan GoEV didatangkan dengan kad chargeEV secara percuma yang membolehkan pengguna mengakses kepada hampir 300 stesen pengecasan di seluruh negara. Stesen pengecasan di zon GoEV adalah percuma untuk semua ahli GoEV.

Bukan itu sahaja, menerusi integrasi dengan platform JomCharge, pengguna GoEV boleh mengetahui lokasi pengecasan, kebolehdapatan dan jenis pengecas dalam rangkaian JomCharge dengan mudah melalui aplikasi mudah alih GoCar.

GoCar lancar GoEV, tawar pengalaman pemanduan EV buat pengguna

PENGGUNAAN electric vehicle atau EV bukan suatu yang baharu apabila ramai pengguna mula memilih menggunakan kenderaan jenis itu.

Sedar akan hal ini selain ingin memelihara persekitaran, GoCar menawarkan sewa kenderaan jenis itu kepada pelanggan menerusi program GoEV.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) Go Car Malaysia Wong Hoe Mun berkata, perkhidmatan itu ditawarkan dengan harga berpatutan serendah RM24.90 sehari atau RM250 sehari.

“Sedar akan kepentingan penggunaan kenderaan EV, kami dengan penuh rasa bangga mengumumkan pelancaran GoEV yang boleh dilanggan mulai hari ini.

“Para pelanggan boleh merasai pengalaman memandu EV dan boleh mengecas kenderaan di lebih 300 lokasi pengecasan seluruh negara,” katanya.

Wong berkata demikian pada program pelancaran GoEV yang diadakan secara maya, hari ini.

Foto ihsan GoCar Malaysia

Sementara itu, Wong berkata pihaknya juga menawarkan pelbagai perkhidmatan menarik kepada para pelanggan menerusi GoEV.

Antara lain termasuk perkhidmatan penyelenggaraan dan perkhidmatan towing yang ditawarkan dalam tempoh 24 jam sehari.

“Para pelanggan diminta tidak bimbang dengan perkhidmatan kami (towing) kerana ia ditawarkan 24 jam sehari.

“Misalnya, pelanggan lupa mengecas kenderaan dan ia ‘mati’ di tengah jalan. Anda hubungi kami dan bantuan susulan akan diberi dengan segera,” katanya lagi.

GoCar memiliki lebih seribu kenderaan pelbagai jenis model termasuk jenis pelbagai guna (MPV), utiliti sukan (SUV) dan trak pikap.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi GoCar ke telefon pintar daripada App Store dan Google Play Store untuk langganan.