Arkib Tag: GIIAS

Mitsubishi Xforce diperkenalkan di Indonesia – garang lain macam!

GAIKINDO Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung di Jakarta menyaksikan kemunculan pesaing terbaru dalam segmen SUV kompak iaitu Mitsubishi Xforce.

Menurut Mitsubishi, model itu akan dilancarkan di Indonesia terlebih dahulu sebelum memasuki negara-negara ASEAN lain seperti Vietnam dan Filipina, serta pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika. Bagaimana pula dengan Malaysia? Kita tunggu apa kata Mitsubishi Motors Malaysia (MMM).

Seperti yang boleh dilihat, Xforce tampil rugged dan garang dengan konsep rekaan ‘Silky & Solid’ yang mengetengahkan elemen-elemen seperti bumbung terapung, dapra yang lebar serta rim berukuran 18 inci.

Ia juga menampilkan evolusi terkini ‘wajah’ Dynamic Shield yang ditemani dengan lampu utama dengan grafik berbentuk T dan lampu nyalaan siang LED berbentuk L. Grafik berbentuk T juga boleh ditemui pada lampu belakang.

Ruang dalaman pula direka berdasarkan konsep Horizontal Axis yang memberikan pemandu sudut pandangan yang lebih luas.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuk paparan monolithic berukuran 12.3 inci, panel instrumen digital lapan inci, sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium dengan lapan pembesar suara, pengecas wayarles pada konsol tengah dan port USB Type A dan C di hadapan dan belakang.

Mitsubishi mendakwa kerusi hadapan direka untuk memberikan sokongan yang cukup pada bahagian bahu, serta mengehadkan pergerakan penumpang terutamanya ketika memandu di atas permukaan yang tidak rata.

Untuk tempat duduk belakang, ia dikatakan mempunyai ruang kaki yang cukup luas untuk memuatkan tiga orang penumpang dengan selesa. Selain itu, penyandarnya mempunyai lapan tahap pelarasan dan boleh dilipat sepenuhnya secara 40:20:40.

Apa yang menarik, kabin Xforce dikatakan boleh menyimpan sehingga 21 botol plastik 600 ml, dengan pemegang minuman pada bahagian pintu, konsol lantai serta di dalam kotak konsol yang mempunyai ciri pendingin.

Xforce dikuasakan oleh enjin MIVEC DOHC 1.5-liter yang sama dengan Xpander, dengan 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Bagaimanapun, ia tidak menggunakan transmisi automatik empat kelajuan, sebaliknya transmisi CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Sistem suspensi terdiri daripada topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Menurut syarikat itu, caster trail, nisbah stereng, bushing dan saiz silinder penyerap hentak telah dioptimumkan untuk memberikan kestabilan pada laluan lurus.

Xforce mempunyai kelegaan tanah setinggi 222 mm, manakala sudut approach dan departure masing-masing ialah 21 dan 30.5 darjah. Radius putaran adalah yang terkecil dalam kelasnya iaitu 5.2 meter, membolehkan SUV ini membuat putaran U dengan mudah.

Xforce dilengkapi dengan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang membolehkan ia dipandu di atas pelbagai jenis kondisi permukaan. Active Yaw Control (AYC) bertindak untuk melaras pacuan pada roda kiri atau kanan hadapan untuk memberikan kawalan dan cengkaman terbaik.

Mitsubishi Xpander Cross facelift tampil dengan imej lebih lasak di GIIAS

Acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung di Jakarta menyaksikan kemunculan Mitsubishi Xpander Cross versi facelift. Ia tampil dengan perubahan yang sama seperti yang dibawakan oleh Xpander facelift, namun dengan perwatakan lebih agresif.

Pada bahagian depan, rekaan Dynamic Shield menampilkan gabungan gril besar dengan motif trapezoid dan bampar berbentuk guard-bar bagi memberikan Xpander Cross penampilan SUV yang lasak.

Lampu depannya didatangkan dalam bentuk T yang menyerlah, manakala lampu isyarat membelok kini diintegrasikan ke dalam lampu posisi bagi meningkatkan keterlihatan. Selain itu, overhang depan dan belakang dipanjangkan sebanyak 95 mm, dan bonet juga dijadikan lebih tebal.

Di belakang, tailgate diberikan rekaan tiga dimensi yang lebih menonjol dan dipadankan dengan lampu LED berbentuk T. Melengkapkan imej rugged MPV tujuh tempat duduk ini adalah rim aloi berukuran 17 inci dengan kemasan dwi-tona.

Selain pilihan warna yang sedia ada seperti Quartz White Pearl, Blade Silver Metallic, Graphite Gray Metallic dan Jet Black Mica, Xpander Cross facelift juga boleh didapati dalam warna baharu iaitu Green Bronze Metallic.

Jika dibandingkan dengan model pra-facelift, reka bentuk papan pemuka Xpander Cross facelift direka berdasarkan konsep Horizontal Axis yang memberikannya penampilan yang lebih mendatar. Menurut Mitsubishi, ini bagi membuatkan ruang kabin terasa lebih luas.

Apa yang baharu di sini adalah stereng multifungsi empat batang, skrin LCD berukuran lapan inci yang diposisikan di atas corong pendingin hawa tengah, kluster instrumen digital dan pengecas wayarles. Tiga tombol kawalan pendingin hawa juga telah ditukarkan dengan panel kawalan digital.

Spesifikasi trenkuasa tidak berubah namun untuk sistem keselamatan, Xpander Cross facelift mendapat Active Yaw Control (AYC) yang menggunakan data seperti sudut stereng, daya G, tekanan brek dan kelajuan untuk mempertingkatkan prestasi pengendalian di selekoh.

Contohnya, apabila membelok di permukaan jalan yang lincin, AYC akan mengenakan brek pada roda di bahagian dalam selekoh untuk mengurangkan kesan understeer. Sistem ini bekerja dengan Anti-lock Braking System (ABS) dan Active Stability Control (ASC).

Bukan itu sahaja, Mitsubishi turut mempertingkatkan ketegaran tapak topang depan, memperbesarkan saiz penyerap hentak belakang serta menggunakan injap berprestasi tinggi bagi memberikan pemanduan yang selesa walaupun di atas permukaan jalan yang kasar.

Untuk pasaran Indonesia, Xpander Cross facelift ditawarkan dalam dua varian iaitu CVT Premium Package yang berharga 333.75 juta rupiah (RM101,173) dan Manual yang berharga 309.95 juta rupiah (RM93,958).

Daihatsu Ayla EV muncul di Indonesia, bakal jadi Axia EV?

PT Astra Daihatsu Motor (ADM) menyertai pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 dengan membawakan sembilan model menarik. Salah satu daripadanya adalah model kompak elektrik sepenuhnya iaitu Ayla EV.

Ya, kembar kepada Perodua Axia yang juga dikategorikan sebagai Low Cost Green Car (LCGC) di Indonesia itu kini mempunyai trenkuasa elektrik. Menurut otomotif.kompas.com, ia dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan ADM sejak 2020.

 

Bagaimanapun, jangan terlalu teruja kerana Ayla EV masih lagi dalam peringkat konsep dan ADM juga masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk menjadikannya model produksi.

Untuk projek ini, ‘nadi’ asal Ayla iaitu petrol enjin 1.2-liter tiga silinder telah dikeluarkan dan digantikan dengan sebuah motor elektrik yang mampu menjana 80.5 hp dan pek bateri berkapasiti 32 kWj. Perincian lain seperti jarak pemanduan, kelajuan maksimum dan pengecasan tidak didedahkan.

Modifikasi turut dilakukan pada bahagian casis, di mana Ayla EV dipasangkan dengan sistem suspensi yang lebih kukuh bagi menampung berat tambahan daripada bateri. Selain itu, bahagian bawah badan kereta konsep ini turut diubah suai, kemungkinan besar untuk meningkatkan aspek aerodinamik.

Dari segi penampilan, Ayla EV tampil jauh lebih bergaya berbanding versi standard dengan jalur LED yang merentasi bahagian depan ala Volkswagen Golf Mk8, rekaan bampar tertutup sepenuhnya dan warna dwi-tona yang dikontraskan dengan perincian berwarna kuning.

Gambar ruang dalaman pula menampakkan sepasang skrin kecil yang memaparkan suapan (feed) dari kamera cermin sisi, tombol rotary untuk pemilihan gear, kluster instrumen digital serta perincian kuning pada corong pendingin hawa dan butang mula/henti.

Untuk mengatakan yang kemunculan Ayla EV ini akan membuka jalan kepada pembangunan Perodua Axia versi elektrik masih lagi terlalu awal, namun ia setidak-tidaknya menunjukkan yang Daihatsu mempunyai kepakaran untuk menghasilkan EV dan bersedia untuk menceburi segmen itu apabila tiba masanya.

Sumber foto: otomotif.kompas.com