Arkib Tag: gadis

Gadis pakai skirt pendek ‘ride’ Yamaha R15 di Bukit Bintang tarik perhatian, bikin ramai bimbang

SEORANG gadis tular di Tiktok apabila dilihat menunggang Yamaha R15 di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menariknya, dia menunggang hanya dengan memakai skirt pendek, lantas menarik perhatian serta membuatkan ramai bimbang akan keselamatannya.

“Sebenarnya ketika itu saya pergi ambil barang, tak tahu ada orang shoot video saya. Ianya dirakam secara spontan. Selepas dapat video, saya kongsi di TikTok saya.

“Pada saya, apabila orang tegur mengenai pakaian, saya tak nak lawan sebaliknya saya kena terima teguran.

“Betul apa yang mereka tegur. Kalau kemalangan, memang risiko kepada saya sebab pakai begitu. Saya sedar kesalahan saya,” katanya kepada mStar.

Dikenali sebagai Yim Ahmeng, gadis berusia 22 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu meminati dunia permotoran sejak kecil lagi sehingga ia turut menjadi sebahagian daripada kerjayanya hari ini.

“Saya minat motor sejak kecil lagi sebab ayah dan mak pun ‘main’ motor. Sampai satu tahap saya rasa nak bawa motor besar ke sekolah.

“Kemudian masa umur 18, saya tak sambung belajar tapi saya terus kerja. Dalam tiga ke empat bulan simpan duit, saya terus beli motor Ysuku.

“Masa Januari tahun lepas, saya beli pula sport bike model Yamaha R15 V3,” katanya.

“Kini, saya bekerja di kedai motor. Sebab tu juga saya banyak kongsi video mengenai motor. Pada masa sama, saya juga dealer topi keledar,” tambahnya.

Sepanjang menunggang motosikal, dia yang senang disapa Yim pernah berdepan beberapa kejadian malang, namun hatinya tetap kental untuk meneruskan hobi berkenan.

“Saya pernah alami kemalangan ketika layan selekoh di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan. Cedera teruk daripada paras pinggang sampai kaki.”

Katanya lagi, dia sebelum ini terpaksa melupakan hobi itu seketika kerana tidak mendapat sokongan bekas teman lelaki, namun kini kembali aktif selepas kecundang dalam percintaan.

“Saya bawa motor laju sebab nak kurangkan stres. Apabila laju, jadi lupa masalah sekejap.

“Saya biasanya akan ride dengan perempuan secara berkumpulan,” ujarnya yang memiliki lebih 100,000 pengikut di laman TikTok.

Gadis hampir jadi mangsa ‘tonto’, bapa kongsi detik cemas

SEORANG gadis berdepan detik cemas selepas dikepung sekumpulan lelaki dipercayai ‘tonto’ dalam satu kejadian di Kajang, semalam.

Insiden berlaku ketika gadis tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai menjalankan kerja amal.

Memetik hantaran Facebook Zulkifli Mohd Salleh yang juga bapa kepada gadis itu, kereta dipandu anaknya pada mula dikatakan mengalami masalah di bahagian tayar.

Sangsi dengan situasi berlaku, gadis tersebut kemudian bertindak memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi melakukan pemeriksaan.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan secara tiba-tiba muncul dua buah kereta dinaiki beberapa lelaki menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan.

“Hati-hati ya. Menjelang Maghrib tadi (semalam) anak perempuan saya pergi ke Family Mart Sungai Long, Kajang.

“Selepas keluar dia terus drive ke rumah. Tapi beberapa minit drive dia rasa kereta melelong. Terus dia berhenti di lorong tepi. Dia check tayar kereta pancit.

“Dia terus call saya. Saya pesan dekat dia masuk balik ke dalam kereta. Lock pintu. Tunggu saya dan anak-anak lelaki saya datang. Jangan sesekali benarkan tow truck tarik.

“Tidak sampai lima minit datang kereta Proton ‘WJM’, kemudian dalam dua minit datang sebuah lagi kereta Toyota ‘RAJ’. Kedua-dua mereka offer tow truck,” katanya.

Salah sebuah kenderaan dipercayai dipandu oleh ‘tonto’. – Foto ihsan Facebook/Zulkifli Mohd Salleh

Sementara itu, beberapa orang anak lelaki Zulkifli bertindak segera ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan.

Sebaik tiba di lokasi, kesemua lelaki terbabit kemudian segera beredar tanpa sempat melakukan sebarang tindakan.

Jelas Zulkifli, tidak mustahil insiden itu berpunca daripada perbuatan khianat memandangkan terdapat kesan torehan pada bahagian tayar kereta anak perempuannya.

“Bila diperiksa, dua tayar pancit dan ada kesan dihiris dengan pisau atau benda tajam.

“Jadi anak-anak lelaki saya ganti tayar bocor tu menggunakan spare tyre kereta anak perempuan dan satu lagi nasib baik muat lubang spare tyre kereta anak lelaki.

“Cuma size tyre tak sama. Boleh la jalan perlahan2 sampai rumah,” katanya lagi.

Susulan insiden itu, Zulkifli menitipkan pesan agar sentiasa berhati-hati dengan pelbagai sindiket penipuan.

Zulkifli juga sempat memberikan beberapa tips penting jika berdepan situasi sama antaranya seperti berikut:

    • Segera hubungi ahli keluarga terdekat

    • Sekiranya kenderaan terpaksa ditunda, gunakan perkhidmatan tunda oleh syarikat insurans kenderaan

    • Pastikan tahu nombor telefon kecemasan syarikat insurans kereta

    • Jangan gunakan perkhidmatan trak tunda ‘tonto’

    • Berhenti di lokasi selamat dan tunggu dalam kenderaan sehingga bantuan tiba