Arkib Tag: g80

Genesis G80 EV Magma Concept buat kemunculan di Beijing

SELEPAS memperkenalkan GV60 Magma Concept pada Mac lalu, sub-jenama prestasi dari Genesis iaitu Magma kini kembali dengan model konsep keduanya iaitu G80 EV Magma Concept.

Diperkenalkan di Auto China 2024, ia tampil berbeza dengan model-model konsep dengan warna Acme Blue yang diinspirasikan oleh api biru yang membakar pada julat suhu tertinggi.

Jika dibandingkan dengan model asas Electrified G80, jentera yang mendapat sentuhan Magma ini tampil lebih agresif dengan rekaan bampar lebih sporty, fender lebih lebar, spoiler ekor itik, diffuser dan rim 21 inci.

Gambar ruang dalaman tidak disediakan namun menurut Magma, ruang kabin kereta konsep ini dihiasi dengan elemen-elemen mewah seperti Alcantara, upholsteri kulit dan kemasan gentian karbon dengan anyaman berwarna biru.

Dari segi prestasi, G80 EV Magma Concept mendapat beberapa naik taraf yang terdiri daripada ukuran track yang lebih lebar, sistem suspensi canggih, serta sistem brek berventilasi di bahagian hadapan dan belakang.

Tidak cukup dengan itu, rim tersebut didatangkan dengan rekaan khas yang bukan sahaja mengurangkan berat malah membantu menyejukkan cakera brek.

Magma bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai trenkuasa. Ia mungkin didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang sama seperti Electrified G80 namun dengan kuasa yang lebih tinggi daripada 365 hp.

Genesis G80 Sport dengan pengedalian lebih mantap, sistem RWS

GENESIS, jenama mewah yang bernaung di bawah Hyundai Motor Group, baru-baru ini mendedahkan lebih banyak perincian mengenai G80 Sport sempena pelancarannya di Korea Selatan.

Ditayangkan kepada umum buat pertama kali pada bulan lalu, G80 Sport secara asasnya adalah sedan G80 yang telah diberikan suntikan elemen sporty pada penampilan serta pengendaliannya.

Penampilan luaran G80 Sport boleh dibezakan menerusi rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, berserta kemasan krom hitam di sekeliling gril radiator dan bezel hitam di dalam perumah lampu hadapan.

Selain itu, warna Cavendish Red yang ditampilkan ini ditawarkan secara eksklusif untuk model ini sahaja, begitu juga dengan rim aloi 20-inci dengan corak G-Matrix. Angkup brek pula boleh didapati dalam warna merah atau hitam.

Di dalam, ciri-ciri unik G80 Sport yang tidak ditawarkan pada versi standard adalah stereng tiga jejari dan tiga pilihan trim untuk papan pemuka iaitu aluminium, karbon atau tenunan hibrid bercorakkan permata.

Pelanggan juga boleh memilih corak jahitan pada tempat duduk, sama ada bermotifkan bentuk permata atau corak V.

Sesuai dengan nama ‘Sport’ yang digunakan, model ini hadir dengan penambahbaikan mekanikal yang pastinya boleh menjadikan ia lebih cekap di jalan raya. Yang pertama adalah sistem stereng roda belakang atau Rear Wheel Steering (RWS).

Pada kelajuan sehingga 60 km/j, sistem berkenaan akan membelokkan roda belakang mengikut arah bertentangan dengan tayar hadapan bagi mengurangkan radius putaran, sekaligus menjadikan kereta lebih lincah.

Sebaliknya pada kelajuan yang lebih tinggi, roda belakang akan dibelokkan mengikut arah yang sama dengan roda hadapan bagi mendapatkan lebih kestabilan.

Bukan itu sahaja, sistem suspensi G80 Sport turut ditala semula dengan kadar redaman yang berbeza mengikut mod pemanduan yang dipilih. Bercakap tentang mod pemanduan, Genesis telah menambah mod Sport+ yang dapat memaksimumkan prestasi pecutan dan pengendalian.

Sayangnya, tiada sebarang modifikasi yang dilakukan pada enjin dan transmisi. Ini bermakna, seperti G80, model Sport ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.5-liter empat silinder turbo dengan 300hp/422Nm dan 3.5-liter V6 dwi-turbo dengan 375hp/530Nm.

Ia juga boleh didapati dengan enjin turbodiesel berkapasiti 2.2-liter yang menghasilkan 207 hp dan 441 Nm. Ketiga-tiganya didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda.